MAJLIS PENYAMPAIAN REPLIKA CEK KEPADA 28 SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN TAMIL DAN PUSAT PENDIDIKAN PUNJABI NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2024
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
YAB CHOW KON YEOW BERSEMPENA
MAJLIS PENYAMPAIAN REPLIKA CEK KEPADA 28 SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN TAMIL DAN PUSAT PENDIDIKAN PUNJABI NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2024
18 JUN 2024 ; 3 PETANG
AUDITORIUM A, TINGKAT 5, KOMTAR
_____________________________________________
Terima kasih diucapkan kepada saudara/i pengerusi majlis,
(SALUTASI)
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, dalam suasana yang gembira dan penuh kesyukuran ini, saya ingin merakamkan ucapan selamat datang kepada semua hadirin yang dapat bersama-sama dalam Majlis Penyampaian Replika Cek Kepada 28 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil dan Pusat Pendidikan Punjabi di negeri Pulau Pinang pada petang yang berbahagia ini.
Sekalung penghargaan juga diucapkan kepada barisan ahli jawatankuasa majlis yang diketuai oleh Dato’ Seri Sundarajoo serta pasukannya yang mana telah bertungkus lumus dalam memastikan kelancaran majlis yang diadakan ini.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
Majlis ini bukan sekadar sebuah majlis penyerahan sumbangan, sebaliknya ia merupakan cerminan komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk terus memperkasakan lagi pembangunan pendidikan vernakular, terutamanya pendidikan vernakular Tamil di negeri Pulau Pinang.
Sebagai pembuka bicara pada petang ini, saya ingin melahirkan kesyukuran dan amat berbesar hati menyatakan bahawa tahun ini merupakan tahun ke-16 Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan bantuan khas tahunan kepada Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan juga Pusat Pendidikan Punjabi di negeri ini. Syabas!
Bagi tahun 2024, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil telah memperuntukkan sejumlah RM2.3 juta kepada pembangunan sekolah Tamil, tadika sekolah Tamil, peruntukan Tabung Khas Jawatankuasa Sekolah Tamil dan sebanyak RM120,000 juga disumbangkan kepada tiga (3) buah Pusat Pendidikan Punjabi di Pulau Pinang.
Berdasarkan pecahan peruntukan, sebanyak RM2 juta telah disalurkan kepada 28 sekolah Tamil mengikut keperluan pembangunan infrastruktur sekolah masing-masing; RM150,000 kepada 17 tadika sekolah Tamil; RM150,000 kepada Tabung Khas Jawatankuasa Sekolah Tamil Negeri Pulau Pinang. Sebagai tambahan, peruntukan khas kepada Pusat Pendidikan Punjabi juga telah ditingkatkan daripada RM30,000 kepada RM40,000 bagi setiap sekolah dengan jumlah sebanyak RM120,000.
Tuan-tuan dan Puan-Puan yang saya muliakan,
Meratapi pembangunan sekolah-sekolah Tamil dan juga Punjabi di negeri ini, banyak pencapaian yang kita telah kita ukir bersama dan dapat dibanggakan. Bukan hanya pada aspek akademik anak-anak kita, malah juga penambaikan infrastruktur di sekolah-sekolah yang kini dilengkapi dengan kemudahan makmal sains, bilik komputer dan pelbagai lagi ke arah pembangunan bidang STEM iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan juga Matematik selaras dengan keperluan sejagat kini. Dalam pada itu, adalah menjadi komitmen Kerajaan Negeri supaya kita dapat menggerakkan yang terbaik daripada segi penyediaan infrastruktur dan fasiliti yang optimum demi keselesaan serta suasana Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) lebih kondusif dan terjamin.
Lebih membanggakan adalah pencapaian serta penglibatan anak-anak kita di pelbagai platform pendidikan sama ada pada peringkat kebangsaan dan jua antarabangsa antaranya, penyertaan SJKT Permatang Tinggi di Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation, and Technology Exposition (IPITEx) 2024; kemenangan Anugerah Terbaik Eco–Green Technology Honourable Innovation Competition (E-Thic 20) pada tahun 2023 oleh barisan pelajar SJKT Mak Mandin dan banyak lagi. Secara tidak langsung, pengiktirafan-pengiktirafan ini membuktikan testimonial kecemerlangan anak-anak kita yang menuntut di institusi vernakular di negeri ini.
Sebagai Ketua Menteri, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk terus memperkukuhkan lagi sektor pendidikan yang menjadi asas kepada pembangunan sosioekonomi negeri kita terutamanya dalam penyediaan pembekalan modal insan yang mencukupi dan secara menyeluruh.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang lazimnya bukan sahaja sedar betapa signifikannya bantuan ini kepada pembangunan infrastuktur sekolah-sekolah terlibat, malah juga akur akan betapa signifikannya bantuan ini sebagai tanda pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap kelangsungan pendidikan vernakular di Pulau Pinang selaras dengan kedudukan negeri kita sebagai sebuah negeri pelbagai kaum, agama dan juga budaya. SJKT dan Pusat Pendidikan Punjabi merupakan antara aset penting bagi pembangunan intelektual serta kemajuan Pulau Pinang, justeru, demi memastikan segala perancangan dan pelaksanaan ini berjaya, kita semua perlu bekerjasama bagi memastikan kedua-duanya membangun dengan lebih baik.
Sebagaimana terukir di dalam Manifesto Perpaduan, Kerajaan Negeri komited menyediakan tuisyen percuma kepada 1,500 pelajar setiap tahun dengan tertumpu kepada golongan B40, malah, sumbangan komputer riba percuma juga akan diberikan kepada pelajar dari golongan serupa yang memperoleh tawaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Kepada barisan pendidik yang dihormati,
Anda merupakan tulang belakang kepada kejayaan pendidikan di negeri kita yang mana pengorbanan dan dedikasi yang ditunjukkan dalam mendidik anak-anak kita adalah amat bernilai dan tidak ternilai harganya. Oleh itu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru tanpa mengira di mana jua anda berada atas segala komitmen tanpa mengenal penat lelah demi mencorak masa depan anak-anak kita ini.
Adalah diharapkan semua guru dapat terus bersama-sama dengan Kerajaan Negeri dalam usaha-usaha memajukan pendidikan di Pulau Pinang. Dengan kerjasama yang erat antara pihak kerajaan dan para pendidik, kita dapat memastikan bahawa setiap para pelajar mendapat peluang pendidikan yang berkualiti dan adil untuk membentuk generasi masa depan yang berilmu, berintegriti dan mampu bersaing di peringkat negeri Pulau Pinang dan Malaysia di pentas global.
Sebagai penutup kata, sekali lagi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menjayakan penganjuran majlis ini dan juga pihak-pihak yang terus memartabatkan tahap pendidikan di negeri ini. Marilah kita menyambut majlis ini dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran sambil memperkukuhkan lagi ikatan perpaduan sedia ada. Dengan ini, saya sukacitanya merasmikan Majlis Penyampaian Replika Cek Kepada 28 SJKT dan Pusat Pendidikan Punjabi Negeri Pulau Pinang Bagi Tahun 2024.
Sekian, terima kasih.