MAJLIS PENYERAHAN REPLIKA CEK BANTUAN KEWANGAN TABUNG AMANAH / PERUNTUKAN KHAS RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM (RIBI) NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2024

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW BERSEMPENA MAJLIS PENYERAHAN REPLIKA CEK BANTUAN KEWANGAN TABUNG AMANAH / PERUNTUKAN KHAS RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM (RIBI) NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2024

18 JUN 2024 ; 4.15 PETANG
AUDITORIUM C, TINGKAT 5, KOMTAR
_____________________________________________

Terima kasih diucapkan kepada saudara/i penegerusi majlis,

Yang Berhormat Puan Lim Siew Khim
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tabung Amanah/Peruntukan Khas Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI)

Barisan Exco, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli-ahli Parlimen

Yang Dihormati Ahli-ahli Jawatankuasa Tabung Amanah/Peruntukan Khas RIBI; para pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa RIBI

Rakan-rakan media; Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Tabung Amanah/Peruntukan Khas Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) dalam memastikan majlis pada petang ini dapat dijalankan dengan jayanya.

Sekalung penghargaan juga saya ucapkan kepada barisan pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa RIBI yang telah memberi kerjasama bermula dari proses permohonan, penilaian, lawatan tapak sehinggalah kepada proses kelulusan permohonan-permohonan yang dikemukakan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Saya ingin memulakan majlis ini dengan berkongsi satu berita gembira khususnya kepada RIBI di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang mana Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memperuntukkan sebanyak RM1,019,594 kepada enam (6) buah RIBI bawah Inisiatif Penyelenggaraan RIBI Seluruh Negara Tahun 2024 menerusi Program Sentuhan Kasih KPKT.

Antara RIBI yang bakal menerima peruntukan berkaitan adalah:-

(i) Persatuan Amal Chin Chee Kok Nibong Tebal membabitkan peruntukan berjumlah RM109,400.00;

(ii) Persatuan Kebajikan Nibong Tebal (RM191,851.00);

(iii) Rumah Berhala Thean Hor Seah Boh Changkat (RM115,600.00);

(iv) Rumah Berhala Kwong Hock Keong Teik Cheng Sin (RM221,740.00);

(v) Rumah Berhala Sri Veeranakaliamman (RM201,003.00);

(vi) Rumah Berhala Hock Teik See Sungai Bakap (RM180,000.00)

Malah, sebagai makluman semua, permohonan inisiatif di bawah KPKT berkaitan untuk seluruh negara bagi tahun 2024 masih lagi dibuka sehingga 30hb Jun ini. Pendekatan ini secara tidak langsung membuktikan bahawa selain Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan juga komited dalam menjaga kebajikan penganut-penganut agama bukan Islam di seluruh negara.

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

Pada peringkat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kita telah menubuhkan Jawatankuasa Tabung Amanah/Peruntukan Khas RIBI sejak tahun 2016, dan usaha sedemikian merupakan inisiatif pihak kerajaan dalam memastikan kebajikan serta keperluan RIBI adalah sentiasa dipelihara dan terjaga. Sejak tempoh berkaitan sehingga kini, jawatankuasa ini telah memperakui dan meluluskan sebanyak 279 permohonan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM11,735,919.32. Syabas diucapkan!

Daripada jumlah tersebut, jawatankuasa yang kini dipengerusikan oleh Saudari Lim Siew Khim iaitu Exco yang bertanggungjawab, sejak Oktober 2023 sehingga kini, sebanyak RM1,730,000 telah diperuntukkan kepada 43 buah RIBI di seluruh Pulau Pinang membabitkan kepelbagaian kategori. Peruntukan yang disalurkan berjumlah RM750,000 adalah bersamaan dengan 43 peratus membabitkan Skop Kerja Pembinaan; RM950,000 iaitu bersamaan dengan 55 peratus adalah untuk Skop Kerja Penyelenggaraan, manakala RM30,000 bersamaan dengan 2 peratus adalah untuk Skop Kerja Kecemasan. Meskipun jumlah peruntukan yang disalurkan adalah tidak seberapa, adalah diharapkan ia sedikit sebanyak dapat menampung kos-kos pembinaan, penyelenggaraan dan kerja-kerja kecemasan dalam memastikan kelancaran operasi di premis RIBI masing-masing.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, komitmen ini akan diteruskan demi kebajikan semua pihak terutamanya seluruh rakyat Pulau Pinang yang dikasihi sekalian, dan amanat ini turut dinyatakan menerusi Manisfesto Perpaduan Kerajaan Negeri dengan penekanan pemberian peruntukan berjumlah RM10 juta bagi memenuhi keperluan RIBI sehingga tahun 2028.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Terkini, menerusi Perbadanan Harmoni Pulau Pinang (HARMONICO), Kerajaan Negeri telah mewujudkan Sistem eRIBI yang mana ia bakal berfungsi sebagai ‘one-stop centre’ dalam penawaran perkhidmatan berkaitan hal ehwal bukan Islam kini. Justeru, saya menyeru semua pihak pengurusan RIBI supaya dapat menggunakan sistem berkenaan untuk sebarang urusan permohonan kelak, yang mana ia juga merupakan salah satu syarat wajib dalam sebarang urusan berkaitan jawatankuasa ini.

Serentak itu, adalah menjadi harapan saya juga supaya melalui platform Sistem eRIBI, kita mampu dan boleh memperbanyakkan lagi ‘Sesi Perbincangan antara Kerajaan Negeri dengan Pihak Pengurusan RIBI’ sama ada secara dua hala iaitu bilateral ataupun pelbagai hala, multilateral dari semasa ke semasa. Nescaya, Sistem eRIBI ini akan memainkan peranan yang begitu signifikan sebagai Hub Inventori Data RIBI, Sumber Perkongsian Maklumat RIBI, Platform Penawaran Perkhidmatan RIBI dan lain-lain berkaitan demi kepentingan semua pihak di negeri ini.

Tuan-tuan dan Puan-Puan sekalian,

Saya tidak lagi ingin memanjangkan ucapan pada hari ini, sebagai penutup kata, terima kasih sekali lagi kepada Saudari Lim Siew Khim dan pasukannya yang telah berkerja keras merealisasikan majlis pada hari ini. Mengambil kesempatan ini, adalah menjadi harapan saya agar kita semua terus berganding bahu ke arah pembentukan masyarakat Pulau Pinang yang lebih inklusif dan harmoni. Bak kata pepatah, serumpun bak serai, sesusun bak sirih.

Berpegang kepada aspirasi perpaduan dalam kepelbagaian, bersama-sama kita meraikan semangat kekitaan, kebersamaan serta keterangkuman yang menjadi tunjang kepada kelestarian dan kemakmuran yang kita miliki hari ini. Dengan ini, saya sukacitanya merasmikan Majlis Penyerahan Replika Cek Bantuan Kewangan Tabung Amanah/Peruntukan Khas RIBI Negeri Pulau Pinang Bagi Tahun 2024.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang