MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG PENTADBIRAN SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG PENTADBIRAN SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022
8 MEI 2023 (ISNIN)
BERTAM RESORT, KEPALA BATAS
YB Dato' Mohd Sayuthi bin Bakar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
YB Puan Zabidah binti Safar
Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang
Yang Berbahagia Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Haji Wan Salim bin Wan Mohd Noor
Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Yang Amat Arif Dato’ Muhamad Abdul Karim bin Wahab
Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang
Yang Berbahagia Dato’ Ahmad Rizal bin Mohd Hanapiah
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pengurusan)
Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Setiausaha-Setiausaha Bahagian
Pegawai-Pegawai Kanan dan Warga Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Para Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang diraikan
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin yang saya hormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan rasa syukur atas peluang dan kesempatan yang diberikan untuk berhimpun sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 pada petang yang berbahagia ini.
Sesungguhnya saya amat gembira dan berbesar hati dapat bersama dengan tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis yang diatur secara ringkas tetapi pastinya memberi makna yang cukup besar terutama kepada 309 penerima APC yang diraikan ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Dengan masih mengekalkan tema yang sama iaitu “Penjawat Awam Cemerlang, Meneraju Visi Penang2030”, Kerajaan Negeri amat berterima kasih dan menghargai komitmen serta dedikasi yang telah diberikan oleh tuan-tuan dan puan-puan sepanjang melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan meskipun berdepan dengan cabaran pemulihan wabak COVID-19 dan juga perubahan ketara terhadap landskap politik negara.
Dalam konteks ini, saya amat bangga dengan prestasi dan nilai kebersamaan kita semua sebagai sebuah keluarga besar yang membentuk sinergi dan kekuatan untuk mengharungi cabaran besar ini dengan cekap dan jayanya tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Adalah diharapkan agar prestasi cemerlang ini dapat menyuntik semangat dan mencetus inspirasi kepada semua warga pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang lain untuk bersama-sama memberikan khidmat yang cemerlang dan seterusnya melonjakkan negeri Pulau Pinang ke tahap yang lebih gemilang.
Ekspektasi rakyat terhadap penjawat awam menuntut setiap daripada kita untuk terus memberikan komitmen yang tinggi dalam menyampaikan perkhidmatan dengan baik dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Justeru, kita semua perlu memastikan perkhidmatan awam berada seiring dengan dasar kerajaan, khususnya dalam usaha memantapkan modal insan dengan kompetensi masa hadapan dan pengukuhan perkhidmatan berpaksikan teknologi digital.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Meskipun wujud stigma negatif yang sering dikaitkan dengan penerima APC namun berdasarkan pengalaman, saya yakin dan percaya masih ramai yang sedang dan telah berusaha dalam melunaskan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi, cekap dan produktif.
Ini termasuklah para penerima APC di hadapan saya ini yang benar-benar cemerlang dan layak diangkat sebagai ikon jabatan/bahagian masing-masing. Teruskan menjadi role model, kecemerlangan dan mutu kerja yang berkualiti ini demi merealisasikan penyampaian perkhidmatan yang mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negeri.
Semoga penganugerahan dan pengiktirafan ini memberikan motivasi kerja dan impak positif kepada semua warga SUK Pulau Pinang dalam membentuk ekosistem kerja yang lebih mampan dan bermutu.
Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Jawatankuasa Penganjur yang diterajui oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) dan seluruh anggota jawatankuasa daripada bahagian-bahagian lain yang terlibat atas komitmen, usaha dan tenaga dalam merealisasikan majlis pada hari ini.
Saya berkeyakinan dengan keikhlasan, kerjasama dan semangat seluruh pasukan warga kerja Pentadbiran SUK Pulau Pinang, kita mampu mengangkat organisasi dan nama negeri ini ke peringkat yang lebih membanggakan, serta sama-sama mendukung aspirasi Visi Penang2030 dan juga gagasan Malaysia Madani cetusan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sekian, terima kasih.