MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG PENTADBIRAN SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022  

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG PENTADBIRAN SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022

 

8 MEI 2023 (ISNIN)

BERTAM RESORT, KEPALA BATAS

 

 

YB Dato' Mohd Sayuthi bin Bakar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

 

YB Puan Zabidah binti Safar

Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang

 

Yang Berbahagia Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Haji Wan Salim bin Wan Mohd Noor

Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang

 

Yang Amat Arif Dato’ Muhamad Abdul Karim bin Wahab

Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang

 

Yang Berbahagia Dato’ Ahmad Rizal bin Mohd Hanapiah

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pengurusan)

 

Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Setiausaha-Setiausaha Bahagian

 

Pegawai-Pegawai Kanan dan Warga Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

 

Para Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang diraikan

 

Rakan-rakan Media

 

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin yang saya hormati sekalian

 

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan rasa syukur atas peluang dan kesempatan yang diberikan untuk berhimpun sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 pada petang yang berbahagia ini.

Sesungguhnya saya amat gembira dan berbesar hati dapat bersama dengan tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis yang diatur secara ringkas tetapi pastinya memberi makna yang cukup besar terutama kepada 309 penerima APC yang diraikan ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Dengan masih mengekalkan tema yang sama iaitu “Penjawat Awam Cemerlang, Meneraju Visi Penang2030”, Kerajaan Negeri amat berterima kasih dan menghargai komitmen serta dedikasi yang telah diberikan oleh tuan-tuan dan puan-puan sepanjang melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan meskipun berdepan dengan cabaran pemulihan wabak COVID-19 dan juga perubahan ketara terhadap landskap politik negara.

Dalam konteks ini, saya amat bangga dengan prestasi dan nilai kebersamaan kita semua sebagai sebuah keluarga besar yang membentuk sinergi dan kekuatan  untuk mengharungi cabaran besar ini dengan cekap dan jayanya tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Adalah diharapkan agar prestasi cemerlang ini dapat menyuntik semangat dan mencetus inspirasi kepada semua warga pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang lain untuk bersama-sama memberikan khidmat yang cemerlang dan seterusnya melonjakkan negeri Pulau Pinang ke tahap yang lebih gemilang.

Ekspektasi rakyat terhadap penjawat awam menuntut setiap daripada kita untuk terus memberikan komitmen yang tinggi dalam menyampaikan perkhidmatan dengan baik dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Justeru, kita semua perlu memastikan perkhidmatan awam berada seiring dengan dasar kerajaan, khususnya dalam usaha memantapkan modal insan dengan kompetensi masa hadapan dan pengukuhan perkhidmatan berpaksikan teknologi digital.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Meskipun wujud stigma negatif yang sering dikaitkan dengan penerima APC namun berdasarkan pengalaman, saya yakin dan percaya masih ramai  yang sedang dan telah berusaha dalam melunaskan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi, cekap dan produktif.

Ini termasuklah para penerima APC di hadapan saya ini yang benar-benar cemerlang dan layak diangkat sebagai ikon jabatan/bahagian masing-masing. Teruskan menjadi role model, kecemerlangan dan mutu kerja yang berkualiti ini demi merealisasikan penyampaian perkhidmatan yang mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negeri.

Semoga penganugerahan dan pengiktirafan ini memberikan motivasi kerja dan impak positif kepada semua warga SUK Pulau Pinang dalam membentuk ekosistem kerja yang lebih mampan dan bermutu.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Jawatankuasa Penganjur yang diterajui oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) dan seluruh anggota jawatankuasa daripada bahagian-bahagian lain yang terlibat atas komitmen, usaha dan tenaga dalam merealisasikan majlis pada hari ini.

Saya berkeyakinan dengan keikhlasan, kerjasama dan semangat seluruh pasukan warga kerja Pentadbiran SUK Pulau Pinang, kita mampu mengangkat organisasi dan nama negeri ini ke peringkat yang lebih membanggakan, serta sama-sama mendukung aspirasi Visi Penang2030 dan juga gagasan Malaysia Madani cetusan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sekian, terima kasih.

MAJLIS WACANA ILMU APRESIASI PENDIDIKAN DAN ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG PERINGKAT DAERAH TIMUR LAUT TAHUN 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS WACANA ILMU APRESIASI PENDIDIKAN DAN ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG PERINGKAT DAERAH TIMUR LAUT TAHUN 2023

8 Jun 2023 | 1230 tengah hari | Lot 33, Prangin Mall

Salam Sejahtera, Salam Penang 2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana menjemput saya pada hari ini untuk meraikan barisan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2022 dan Apresiasi Pendidikan Daerah Timur Laut Tahun 2023. Syabas juga kepada warga Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut kerana berjaya menganjurkan majlis ini dengan jayanya.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

Penganugerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Pendidikan ini bukan sahaja merupakan manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada guru-guru yang cemerlang, malah perlu dilihat sebagai penyuntik semangat serta pencetus azam untuk terus berkhidmat dengan lebih berintegriti dan menjadi suri teladan kepada rakan-rakan yang lain khususnya dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Tahniah diucapkan kepada 421 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan 25 penerima Anugerah Apresiasi Pendidikan. Ingin saya katakan di sini bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menghargai segala jasa, pengorbanan Tuan-Tuan dan Puan-Puan warga pendidik yang dihormati sekalian.

Besar harapan saya agar dengan penganugerahan ini, ia dapat menjadi dorongan kepada para penerima untuk terus menunjukkan prestasi yang cemerlang meliputi semua aspek pedagogi, pengurusan, pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kerajaan, khususnya untuk warga Kementerian Pendidikan Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

Guru merupakan penggerak atau pemangkin dalam pembentukan generasi madani yang berkualiti, bertanggungjawab, berdaya saing dan beretika. Peranan guru adalah amat penting dalam merealisasikan masyarakat yang mempunyai tahap kesusilaan dan keperibadian terpuji.

Hal ini bertepatan dengan teras yang digariskan oleh KPM iaitu memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti.

Gurulah sebagai ejen yang perlu memainkan peranan sebagai insani terlebih dahulu iaitu mempunyai sifat-sifat kemanusiaan yang baik seperti kesabaran, empati dan keprihatinan terhadap murid-murid. Malahan elemen roh dan jiwa guru serta pengetahuan dan kemahiran perlu dibangkitkan serta dijadikan prioriti demi memartabatkan profesion keguruan berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk pembinaan generasi madani.

Dari aspek akademik, Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut memberi fokus kepada pembangunan modal insan para pelajar bagi memastikan pasaran tenaga kerja di Pulau Pinang kekal relevan dengan keperluan industri untuk masa hadapan.

Kerajaan Negeri sentiasa mengorak langkah proaktif dalam perkara ini. Misalnya, seramai 2,072 peserta merangkumi pelajar sekolah rendah dan menengah telah dilatih dalam pelbagai topik di bawah bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi tempoh Januari hingga Jun tahun lalu oleh pusat-pusat STEM seperti Tech Dome Penang, Penang Science Cluster dan Penang Math Platform. Serentak itu, Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 2.18 juta untuk meneruskan usaha tersebut pada tahun ini.

Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga menyalurkan peruntukan bagi Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Mubaligh, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil saban tahun. Bayaran bantuan Pendidikan ini akan diteruskan pada tahun 2023 dengan kos berjumlah RM13.50 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM500 ribu berbanding tahun 2022.

 Hadirin yang dimuliakan,

Sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2022 dan Apresiasi Pendidikan Tahun 2023.

Saya berharap penganugerahan ini dapat menggalakkan tuan-tuan dan puan-puan untuk terus memberikan mutu kerja yang berkualiti tinggi terutamanya dalam menghasilkan ruangan pengajaran dan pembelajaran  yang terbaik di dalam bilik darjah.

Akhir kata daripada saya, kecemerlangan dan kehebatan guru perlu diiktiraf dan dirai sepanjang zaman. Cikgu, Anda semua Hebat! Teruskan kecemerlangan dan kegemilangan demi anak bangsa! Dengan lafaz Salam Madani, saya dengan ini merasmikan Majlis Wacana Ilmu Apresiasi Pendidikan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Daerah Timur Laut Tahun 2023.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang