MAJLIS PERASMIAN INISIATIF SURUHJAYA SEKURITI MALAYSIA “BERSAMA INVESTSMART® @PENANG2030”
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN INISIATIF SURUHJAYA SEKURITI MALAYSIA
“BERSAMA INVESTSMART® @PENANG2030”
26 MEI 2023
CENTRAL ATRIUM, QUEENSBAY MALL
YB Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Hussain
Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan
YB Puan Zabidah binti Safar
Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang
Yang Berbahagia Dato’ Seri Dr. Awang Adek bin Haji Hussin
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Yang Berbahagia Datuk Umar Swift
Ketua Pegawai Eksekutif, Bursa Malaysia Berhad
Encik Kamaruddin bin Hashim
Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Para Pengurusan Kanan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Para Jemputan
Rakan-Rakan Media
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di atas penganjuran acara pendidikan pelabur “Bersama InvestSmart®@Penang2023” pada petang yang berbahagia ini.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, semestinya saya amat berbesar hati dan mengalu-alukan usaha SC membawa acara tahunan utama pendidikan pelabur InvestSmart® ke negeri ini.
Dengan tema Silap Labur Duit Lebur, saya percaya inisiatif ini mampu mendedahkan masyarakat untuk menyemai sikap tanggungjawab terhadap diri sendiri dengan mempersiapkan diri dengan ilmu pelaburan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa skim penipuan pelaburan yang semakin berleluasa pada masa kini.
Tiada jalan yang mudah untuk memperolehi pulangan pelaburan dalam masa singkat. Hanya dengan ilmu pengetahuan dan langkah-langkah proaktif dapat membantu kita menjadi seorang pelabur yang berhemah dan tidak terperangkap dalam skim penipuan pelaburan.
Sebagai negeri pembuatan kedua terbesar dalam negara, Pulau Pinang mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan negeri ini terus kekal berdaya saing dan mengekalkan kedudukannya sebagai antara destinasi utama bagi pelaburan berkualiti di rantau ini.
Justeru, penganjuran pendidikan pelaburan ini amat bertepatan dengan hala tuju negeri ini untuk membina ekonomi yang kukuh dan makmur. Saya percaya dengan pendidikan pelaburan ini, ia bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan kedua-dua pihak dalam berurus niaga tetapi paling penting ia meningkatkan kualiti hidup masyarakat Pulau Pinang secara keseluruhannya.
Oleh itu, saya mengalu-alukan usaha SC untuk mengadakan acara seperti ini di negeri ini. Saya difahamkan juga usaha SC merupakan gandingan kerjasama pelbagai institusi dan agensi kerajaan yang semuanya komited untuk meningkatkan literasi kewangan rakyat Malaysia seiring dengan Strategi Literasi Kebangsaan 2019-2023 yang dikeluarkan oleh Financial Education Network.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Bagi membantu meningkatan pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang, negeri ini perlu menggalakkan pelaburan daripada sektor swasta, termasuk perusahaan kecil, sederhana dan mikro (MSMEs).
Di sini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SC kerana telah menganjurkan dua (2) acara sampingan semalam, khas untuk pemain industri sektor awam dan swasta, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (“SMEs”).
Saya dimaklumkan bahawa acara sampingan pertama adalah bengkel separuh hari yang direka untuk memberikan pemahaman tentang amalan mampan dalam rantaian bekalan (sustainable practices within the supply chain),manakala acara sampingan kedua pula adalah seminar separuh hari bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kemampanan pembiayaan (financing sustainability)melalui produk pembiayaan pasaran modal seperti pendanaan ramai ekuiti (equity crowdfunding (“ECF”)) dan pembiayaan antara rakan setara (peer-to-peer financing (“P2P”).
Semoga kedua-dua acara ini dapat memberikan manfaat kepada lebih kurang 120 peserta/ pemain industri yang terlibat, selari dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memajukan industri PKS di Pulau Pinang yang berteraskan ekonomi hijau dan kemampanan.
Saya gembira apabila mendengar PKS-PKS di Pulau Pinang adalah antara penerima terbesar yang telah mendapat manfaat dari pembiayaan alternatif ECF dan P2P yang telah dibangunkan oleh SC di bawah inisiatif teknologi kewangannya.
Diharapkan dengan sesi-sesi yang diadakan semalam, banyak lagi PKS di Pulau Pinang akan memohon dan mendapat manfaat dari pembiayaan alternatif ini.
Pulau Pinang juga telah menghasilkan banyak syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia. Sebagai contoh, 4 dari 7 syarikat Malaysia yang tersenarai dalam 2022 Forbes Asia’s Best List terdiri dari syarikat dari Pulau Pinang yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Adalah menjadi harapan saya agar SC dapat meneruskan usaha membantu dan menarik minat syarikat-syarikat di Pulau Pinang yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Usaha SC dalam membanteras skim-skim penipuan pelaburan dan aktiviti-aktiviti pelaburan tanpa lesen, seperti Senarai Peringatan Pelabur (Investor Alert List), menyekat laman web dan inisiatif pendidikan pelabur InvestSmart® amatlah mustahak dalam melindungi rakyat Malaysia dari menjadi mangsa dan seterusnya membantu memperbaiki tahap kesejahteraan ekonomi rakyat Malaysia.
Oleh yang sedemikian, saya menyeru masyarakat Pulau Pinang supaya merebut peluang selama tiga (3) hari ini untuk menimba ilmu dan pengetahuan tentang produk-produk dan perkhidmatan pelaburan yang sah, dalam usaha kita untuk menambah pendapatan dan mengembangkan kekayaan demi meningkatkan kesejahteraan kewangan kita.
Rebutlah peluang yang disediakan oleh SC melalui inisiatif #FinPlan4U (financial planning for you) untuk berbincang dengan perancang kewangan berlesen secara percuma supaya anda dapat merancang kewangan anda, termasuklah berkaitan dengan persaraan, dengan lebih efektif dan sempurna. Perancangan kewangan dan juga persaraan bukan sekadar menyimpan wang untuk masa depan.
Ia juga tentang memastikan pelaburan kita selamat dan terjamin. Inisiatif-inisiatif pendidikan pelabur yang diadakan oleh SC, melalui InvestSmart® ini, amatlah penting untuk memperkasakan masyarakat Pulau Pinang menjadi celik kewangan, selari dengan kemajuan pesat dan pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang.
Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada SC kerana membawa acara tahunan utama InvestSmart® ke Pulau Mutiara ini. Saya berharap agar SC akan meneruskan usaha pendidikan pelaburnya melalui InvestSmart® bagi menyokong agenda kerajaan negeri dalam mewujudkan masyarakat pelabur yang bijak dan bermaklumat.
Akhir kata, saya dengan penuh sukacita merasmikan acara Bersama InvestSmart® @Penang 2023.
Sekian, terima kasih.