MAJLIS PERASMIAN PUSAT PENANG 2030 DAN KEBUN KOMUNITI KADUN SUNGAI PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN

PUSAT PENANG 2030 DAN KEBUN KOMUNITI

KADUN SUNGAI PINANG

 

4 JUN 2023

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada YB Lim Siew Khim selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang atas jemputan sempena Majlis Perasmian Pusat Penang2030 & Kebun Komuniti Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Pinang pada petang ini.

Ini merupakan Pusat Penang2030 yang ke-25 yang telah beroperasi secara rasminya, daripada keseluruhan 40 pusat yang kita sasarkan di seluruh negeri Pulau Pinang.

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan ADUN yang menyambut baik dan menyokong inisiatif ini serta merealisasikannya di kawasan masing-masing.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Sebagaimana maklum, inisiatif khas yakni penubuhan Pusat Penang2030 ini merupakan cetusan idea serta tekad Kerajaan Negeri ke arah mempercepatkan aspirasi Visi Penang2030 iaitu untuk Pulau Pinang muncul sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Di sini, akan wujudnya sebuah pusat berkonsepkan guna sama atau ‘shared space’ bagi membolehkan aktiviti kemasyarakatan, pembangunan sosial dan pemerkasaan komuniti berteraskan nilai-nilai murni, mengikut kreativiti dan kesesuaian kawasan masing-masing.

Justeru, adalah diharapkan Pusat Penang2030 KADUN Sungai Pinang ini dapat digunakan secara optimum dengan penyertaan semua lapisan komuniti termasuk golongan belia, wanita dan juga warga emas secara menyeluruh.

Malah, apa yang paling penting dan diharapkan oleh Kerajaan Negeri adalah ia dapat mencapai serta menetapi objektif penubuhan asalnya dalam memperkasakan komunti setempat pada semua aspek kehidupan.

Kita ingin melihat komuniti yang sihat dan bergerak selaras dengan aspirasi Visi Penang2030 yang menjadi panduan penting kepada pembangunan ekonomi serta sosial negeri yang kita cintai ini tanpa meminggirkan mana-mana golongan.

Di pihak Kerajaan Negeri, saya dan rakan-rakan ADUN akan terus bekerja dan berkhidmat dalam membawa negeri ini terus gemilang di masa hadapan. Bersama-sama kita membangunkan negeri yang dicintai dengan semangat LovePENANG.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada ADUN Sungai Pinang, YB Lim Siew Khim dan pasukan serta semua yang terlibat dalam menjayakan Pusat Penang2030 KADUN Sungai Pinang dan juga inisiatif Kebun Komuniti di belakang dewan ini.

 

Sekian, terima kasih.

PUSAT PENANG2030, PENANG2030, SUNGAI PINANG

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang