MAJLIS PERASMIAN PROGRAM HARI SUKAN NEGARA 2018 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROGRAM HARI SUKAN NEGARA 2018
PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG
13 OKTOBER 2018
KOMPLEKS BELIA & SUKAN BATU UBAN
SELAMAT PAGI DAN SALAM SEJAHTERA
YB SAUDARA SOON LIP CHEE
EXCO BELIA DAN SUKAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
DATO’ SERI FARIZAN BIN DARUS
SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
TUAN HAJI ZAHARI BIN ABD MUBIN
PENGARAH JABATAN BELIA DAN SUKAN NEGERI PULAU PINANG
DATO’ SYED MOHAMED AIDID BIN SYED MUSTAZA
PRESIDEN, PERSATUAN OLAHRAGA AMATUR PULAU PINANG
KETUA/WAKIL KETUA JABATAN NEGERI PULAU PINANG
PESERTA MUTIARA FUN RUN
RAKAN-RAKAN MEDIA
TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN SEKALIAN
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi menjemput saya bagi merasmikan Hari Sukan Negara Tahun 2018 Peringkat Negeri Pulau Pinang pada pagi yang mulia ini.
Saya difahamkan sambutan pada tahun ini merupakan edisi yang ke- 4 sejak penganjurannya bermula pada tahun 2015. Ia dijalankan serentak di seluruh negara di pelbagai peringkat seperti di sekolah-sekolah, universiti, kolej, jabatan-jabatan kerajaan, dan sektor swasta. Malah saya turut difahamkan kelima-lima daerah di Pulau Pinang turut menganjurkan sambutan Hari Sukan Negara ini dengan pelbagai aktiviti kecergasan dan aktiviti sukan di kawasan masing-masing. Syabas dan tahniah saya ingin ucapkan kepada semua rakyat Pulau Pinang yang sangat ‘sporting’ dan sanggup keluar awal pagi untuk menyertai sambutan ini.
Saya yakin dengan semangat iltizam sejajar dengan ‘Malaysia Baharu’, kita akan terus memandang ke hadapan demi negara Malaysia yang kita cintai ini. Hari Sukan Negara bertujuan untuk merealisasikan hasrat dan inspirasi Kementerian Belia dan Sukan bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terkenal dengan budaya sukan ini. Melalui Hari Sukan Negara juga, perpaduan negara dapat dieratkan melalui aktiviti yang telah disusun dan direncanakan oleh pihak Kementerian di samping meningkatkan pengetahuan serta kepentingan bersukan di kalangan masyarakat kita.
Hari Sukan Negara ini adalah penting di dalam usaha Kerajaan menggalakkan rakyat menerapkan amalan budaya hidup cergas dan aktif memandangkan peratusan masyarakat Malaysia yang aktif bersukan masih lagi rendah iaitu pada kadar sekitar 40% sahaja berbanding dengan 50-60% di negara-negara maju.
Pihak Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang telah menganggarkan penyertaan seramai 60,000 di 120 program di seluruh Pulau Pinang. Dan statistik Hari Sukan Negara menjadi bukti dengan rekod penyertaan pada tahun 2015 seramai 259,261 penyertaan, statistik tahun 2016 seramai 374,674, dan pada tahun 2017 seramai 106,391 penyertaan.
Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada semua warga Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang serta jabatan-jabatan Kerajaan yang bertungkus-lumus membuat persiapan sempena program Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang ini.
Dengan ini, saya merasmikan program Hari Sukan Negara 2018 Peringkat Negeri Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih.