MAJLIS PELANCARAN KARNIVAL KESEDARAN DENGGI

UCAPAN PERASMIAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN KARNIVAL KESEDARAN DENGGI

PADA 17 NOVEMBER 2018 DI TECH DOME, KOMTAR 

1. Bersyukur kita pada hari ini kita dapat berkumpul untuk Majlis Pelancaran Karnival Kesedaran Denggi yang mana seperti yang dimaklumkan oleh YB Dr Afif sebentar tadi, tahun ini adalah kali ketiga kita menganjurkan karnival ini. Seperti yang saya pasti semua hadirin sedia maklum, Kerajaan Negeri amat mengambil berat tentang penularan demam denggi di Pulau Pinang dan sentiasa memberikan komitmen dan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan dan jabatan serta agensi lain bagi memastikan penularan wabak denggi ini dapat dibendung.

2. Bagi negeri Pulau Pinang, kita sedang menghadapi peningkatan kes demam denggi yang amat membimbangkan pada ketika ini. Bermula dari bulan Januari sehingga minggu ke 45, tahun 2018, jumlah kumulatif kes Denggi dilaporkan adalah sebanyak 4690 kes berbanding 2273 kes bagi tempoh yang sama tahun 2017, peningkatan sebanyak 106.34% (2,417 kes). Pada minggu ke 45 juga, kita merekodkan bilangan kes mingguan yang paling tinggi pada tahun ini iaitu sebanyak 190 kes. Lebih membimbangkan ialah peningkatan kes kematian yang kita perhatikan di mana dalam tempoh 2 minggu bermula minggu ke 43, sebanyak 3 kes kematian telah didaftarkan. Oleh itu kita perlu mengambil serius tentang perkara ini dan meneruskan kerjasama untuk memastikan persekitaran kita bebas daripada pembiakan aedes dan meminimakan risiko transmisi denggi.

3. Seperti yang semua telah sedia maklum, bagi menangani isu denggi ini, pelbagai strategi telah diatur oleh kerajaan samada di peringkat persekutuan maupun di peringkat negeri antaranya dengan mewujudkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Denggi Peringkat Negeri bagi mengukuhkan kerjasama antara Jabatan dan agensi-agensi yang terlibat dalam kawalan denggi. Salah satu strategi utama dalam Jawatankuasa ini adalah dengan memperkasakan dan memobilisasikan komuniti dalam menjalankan aktiviti-aktiviti pencegahan denggi contohnya melalui penubuhan COMBI. Program COMBI iaitu ‘Communication For Behavioural Impact’ ini digerakkan oleh sukarelawan yang peka dan prihatin di kalangan masyarakat setempat untuk melaksanakan aktiviti pencegahan denggi. Setakat ini kita telah ada sebanyak 123 pasukan COMBI di seluruh Pulau Pinang. Walaupun kita mempunyai bilangan pasukan COMBI yang banyak, malangnya sebahagian besar daripada pasukan COMBI tidak bergerak secara aktif. Bagi membantu pasukan COMBI menjalankan aktiviti, selain daripada peruntukan yang disalurkan melalui Kementerian Kesihatan, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM100,000.00 pada tahun 2016 dan 2017 dan pada tahun ini sebanyak RM50,000.00. Dengan peruntukan yang disediakan ini diharapkan semua pasukan COMBI dapat meningkatkan aktiviti-aktiviti pencegahan denggi di kawasan masing-masing.

4. Pada 11 November yang lalu juga Kerajaan telah melancarkan Gotong-royong Perangi Aedes 2.0 di seluruh Malaysia. Perasmian di peringkat kebangsaan telah disempurnakan oleh YB Menteri Kesihatan di Bukit Katil, Melaka. Di Pulau Pinang pelancaran program ini telah dilaksanakan di Taman Sri Indah Balik Pulau dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Haji Mohd Tuah Bin Ismail. Daerah-daerah lain di Pulau Pinang juga telah melaksanakan gotong-royong di sekurang-kurangnya 1 lokaliti setiap daerah pada tarikh yang sama. Program gotong-royong ini telah mendapat sambutan yang baik dengan sebanyak 430 penyertaan komuniti dan berbagai agensi di seluruh negeri Pulau Pinang.

5. Pada tahun ini juga, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan penggunaan ‘artificial intelligence’ untuk memantau dan meramal kejadian denggi di negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM423,333 untuk langganan aplikasi ini. Teknologi ini telah dimanfaatkan bagi membolehkan aktiviti kawalan dan pencegahan denggi dirancang dan diselaraskan dengan memberi penumpuan kepada kawasan-kawasan yang paling bermasalah. Pada hari ini juga kita akan menyaksikan pelancaran aplikasi ‘Beat and Predict Dengue’ di mana aplikasi ini dapat membantu pengguna mengenalpasti samada kawasan yang dilawati atau yang didiami adalah kawasan wabak atau tidak. Aplikasi ini juga boleh digunakan untuk komuniti menyalurkan maklumat tentang tempat pembiakan nyamuk atau premis berpotensi bagi tindakan lanjut oleh pihak berwajib. Ini adalah satu cara untuk kita mantapkan lagi penglibatan masyarakat dalam pencegahan dan kawalan denggi.

6. Selain daripada aktiviti-aktiviti yang saya sebut tadi, Jabatan Kesihatan juga sedang mengkaji cara-cara lain untuk mengawal denggi. Antaranya adalah penggunaan alat Mosquito Home yang berupaya mengurangkan pembiakan Aedes sekaligus mengurangkan nyamuk dewasa di lapangan justeru itu mengurangkan transmisi denggi. Jabatan Kesihatan sedang dalam proses perolehan alat ini dan penggunaan alat ini akan dilaksanakan di lokasi-lokasi terpilih. Selain daripada itu penggunaan bakteria Wolbachia dalam kawalan denggi juga sedang dikaji. Kaedah ini sedang dalam tempoh perlaksanaan di negeri Selangor dan telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

7. Difahamkan pada hari ini selain daripada penyertaan ahli-ahli pasukan COMBI, kita juga ada penyertaan daripada 2 buah sekolah iaitu SK Permatang Pasir dan SK Jelutong. Saya amat gembira dengan penyertaan daripada murid-murid dan guru sekolah dalam program ini. Kanak-kanak masa kini adalah pemimpin di masa hadapan. Nilai-nilai murni dan pembentukan jati diri yang sempurna amat penting untuk melahirkan generasi yang berkualiti dan berdaya saing. Diharapkan pihak sekolah akan terus memberikan sokongan dalam usaha-usaha mencegah denggi.

8. Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya berharap program hari ini dapat menyuntik semangat dan menarik minat lebih banyak warga Pulau Pinang untuk menubuhkan pasukan-pasukan COMBI yang baru dan mengaktifkan pasukan COMBI sedia ada di kawasan perumahan dan lokaliti-lokaliti bermasalah denggi. Langkah proaktif anda pastinya akan membawa perubahan yang nyata. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan sekalung tahniah kepada pasukan COMBI yang bergiat aktif dalam meneruskan usaha murni dan perjuangan memerangi denggi. Bagi COMBI yang tidak atau kurang aktif, saya menyeru agar usaha-usaha dapat dipertingkatkan agar ianya dapat digerakkan secara aktif demi kebaikan kita bersama. Sekali lagi saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan atas segala usaha gigih dalam mencegah denggi dan saya berharap kita semua dapat memberikan yang terbaik dalam mencapai satu misi yang sama, iaitu memerangi denggi.

TIADA AEDES, TIADA DENGGI.

Sekian terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang