Majlis Perasmian Karnival Hari Penjaja & Peniaga Kecil Melayu Pulau Pinang

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang
Sempena Majlis Perasmian Karnival Hari Penjaja & Peniaga Kecil Melayu Pulau Pinang

17 November 2018
Perkarangan Masjid Daerah Balik Pulau

 

YB Dato’ Haji Abdul Halim bin Hussain
EXCO Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna & Pembangunan Keusahawanan

YB Haji Zolkifly bin Md Lazim
ADUN Teluk Bahang

Dato’ Haji Ramli bin Norani
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia

Haji Muhd Farouk bin Abdullah
YDP Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Pulau Pinang

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan puan yang dihormati sekalian.

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur iaitu Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Pulau Pinang di atas kesudian menjemput saya bagi bersama-sama meraikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Pulau Pinang yang julung kalinya diadakan di Balik Pulau.

Melalui penganjuran karnival yang berlangsung selama 2 hari ini, saya percaya ia dapat memberi peluang kepada usahawan-usahawan kecil Melayu di negeri ini khususnya untuk memperkenal, mempromosi dan memasarkan produk keluaran mereka. Ini merupakan strategi yang sangat baik untuk menerapkan atau membudayakan nilai keusahawanan di kalangan usahawan Melayu secara praktikal untuk memantapkan perniagaan masing–masing.

Saya difahamkan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Pulau Pinang ini telah ditubuhkan pada tahun 1984 dan kini telah mempunyai seramai 6,783 orang ahli. Hari ini terdapat lebih kurang 20 buah gerai yang mengambil bahagian selain penyertaan daripada agensi-agensi kerajaan yang bersama-sama menjayakan karnival ini.

Kerajaan Negeri sangat menghargai peranan yang dimainkan oleh semua usahawan ini dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri sekaligus dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Pelaksanaan program-program seumpama ini bukan sekadar dapat mengoptimumkan impak dalam memajukan rakyat secara menyeluruh, malah ianya selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘negeri keusahawanan’.

Kerajaan Negeri turut menyediakan pelbagai akses kemudahan pinjaman seperti pinjaman tanpa faedah (kali pertama) Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM), Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) yang kini dikenali sebagai Skim Pinjaman Harapan (SPH) dan bantuan-bantuan kebajikan lain khusus kepada para usahawan yang ingin menjalankan perniagaan mereka.

Saya berharap agar karnival ini akan berlangsung dengan jayanya dan mencapai objektif seperti yang disasarkan. Besar harapan saya agar usaha yang dijalankan oleh Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Pulau Pinang ini dapat memberi peluang kepada usahawan-usahawan ini mengatur langkah yang strategic dalam merentasi cabaran ekonomi yang kian mencabar.

Dengan ini, saya merasmikan Karnival Hari Penjaja & Peniaga Kecil Melayu Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

 

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang