MAJLIS RUMAH TERBUKA DEEPAVALI TAHUN 2018 KERAJAAN NEGERI
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS RUMAH TERBUKA DEEPAVALI TAHUN 2018 KERAJAAN NEGERI
23 November 2018 (Jumaat)
7.30 malam - 10.00 malam
Fort Cornwallis, Padang Kota Lama
TUAN YANG TERUTAMA TUN DATO' SERI UTAMA DR. HAJI ABDUL RAHMAN BIN HAJI ABBAS
YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG
YANG AMAT BERBAHAGIA TOH PUAN DATO' SERI UTAMA HAJAH MAJIMOR BINTI SHARIFF
YANG BERHORMAT DATO' IR. HAJI AHMAD ZAKIYUDDIN BIN ABDUL RAHMAN
TIMBALAN KETUA MENTERI (I) PULAU PINANG
YANG BERHORMAT PROF. DR. P. RAMASAMY A/L PALANISAMY
TIMBALAN KETUA MENTERI (II) PULAU PINANG
YANG BERHORMAT DATO' LAW CHOO KIANG
SPEAKER DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG
YANG BERHORMAT DATO' SERI HAJI FARIZAN BIN DARUS
SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
YANG BERHORMAT AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI
YANG BERHORMAT ADUN-ADUN NEGERI PULAU PINANG
YANG BERHORMAT AHLI-AHLI PARLIMEN NEGERI PULAU PINANG
KETUA-KETUA JABATAN
RAKAN-RAKAN MEDIA
TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN SEKALIAN
Selamat malam dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff yang sudi hadir bagi meraikan Majlis Rumah Terbuka Deepavali Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2018 pada hari ini.
Ini merupakan sambutan Deepavali pertama saya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. Terima kasih kepada seluruh rakyat Pulau Pinang yang terus memberikan kepercayaan dan mandat kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan untuk mentadbir negeri ini. Saya dan kepimpinan Kerajaan Negeri akan terus bekerja keras bagi memastikan segala perancangan dan pembangunan negeri ini dipacu dengan lebih berkualiti serta memberi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat Pulau Pinang khususnya seperti mana harapan dan impian visi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang pintar, hijau dan berteraskan keluarga yang menginspirasikan negara.
Kerajaan Negeri akan memastikan kesemua 68 janji dalam Manifesto “Saya Sayang Pulau Pinang” (I Love Penang) yang merangkumi aspek-aspek seperti penambahbaikan pentadbiran Kerajaan, perumahan, keusahawanan, kemudahan asas dan infrastruktur, negeri hijau, kebajikan dan lain-lain lagi dapat dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun pertama pentadbiran ini. Dan sudah tentu visi Penang2030 akan menjadi garis panduan utama dalam mentadbir negeri ini.
Tuan Yang Terutama Tun, Toh Puan dan hadirin sekalian,
Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan sewajarnya untuk meningkatkan penyertaan masyarakat dalam memastikan pembangunan ekonomi dan sosial negeri ini dijalankan secara inklusif dan menyeluruh. Sejak saya mula memegang jawatan Ketua Menteri, saya telah bertemu dengan pelbagai pihak termasuk NGO-NGO India yang datang dan mengemukakan cadangan dan pandangan dalam aspek memperkasakan perkhidmatan Kerajaan Negeri kepada rakyat. Saya bersikap terbuka dan akan sentiasa memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada pandangan yang dihulurkan oleh NGO-NGO masyarakat sebagai nilai tambah kepada pembangunan negeri ini.
Kerajaan Negeri akan memanfaatkan hubungan baik yang telah terjalin antara Kerajaan Persekutuan. Beberapa projek pembangunan yang sebelum ini tertangguh akan diberi perhatian yang sewajarnya. Meskipun Kerajaan Negeri sedar tentang kekangan kewangan yang melanda Kerajaan Persekutuan, namun Kerajaan Negeri akan mengambil pendekatan yang lebih agresif bagi memastikan peruntukan pembangunan diterima sebaik yang mungkin. Tetapi buat masa ini Kerajaan Negeri akan mengamalkan corak pentadbiran berdikari di samping terus menekankan pelaksanaan projek-projek pembangunan melalui konsep 4P iaitu Public, Private, People & Profesional Partnership. Konsep 4P ini telah membuahkan kejayaan kepada Kerajaan Negeri dan contohnya adalah seperti SPICE, The Habitat, Penang Digital Library (PDL), Karpal Singh Learning Centre, ACAT Center, Penang Science Cluster, Tech Dome dan banyak lagi.
Kerajaan Negeri juga akan melabur dalam pembangunan infrastruktur persekitaran dan kemudahan awam di mana teknologi-teknologi pintar dan infrastruktur digital akan digunakan sebaik-baiknya untuk mengimbangi pembangunan mampan Negeri Pulau Pinang di samping menyediakan pelan adaptasi untuk perubahan iklim. Kebolehan pembelajaran kanak-kanak dalam bidang sains dan teknologi akan terus dioptimumkan melalui Penang STEM di bawah Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang. Saya percaya beliau dan jawatankuasanya akan terus memperkasakan bidang ini.
Akhir kata, saya berharap Cahaya Deepavali pada tahun ini akan sentiasa menyinari kehidupan masyarakat beragama Hindu di Pulau Pinang. Saya juga menyeru agar masyarakat berbilang bangsa di Pulau Pinang akan terus mengeratkan silaturahim dan persefahaman sesama kita demi menjamin keamanan yang telah kita kecapi sekian lama.
Sekian, terima kasih.
DEEPAVALI NAL VALTHUKAL. NANDRI. VANAKAM