MAJLIS PENYERAHAN CEK REPLIKA KEPADA SEKOLAH-SEKOLAH MUBALIGH TAHUN 2019

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN CEK REPLIKA KEPADA SEKOLAH-SEKOLAH MUBALIGH TAHUN 2019

5hb Jan 2019, 11:00 pagi
Auditorium F, Tingkat 5, KOMTAR

 

YB Dato' Law Choo Kiang
Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

YB Professor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

Yang Berhormat Puan Chong Eng
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Hal-Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Rakyat

Ahli Jawatankuasa Penyelaras Hal-Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh

Para Pengerusi Lembaga Pengarah dan PIBG

Para Pengetua dan Guru Besar

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Tahun Baru, Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh dalam memastikan Majlis Penyerahan Cek Replika kepada Sekolah-Sekolah Mubaligh Tahun 2019 pada pagi ini dapat dijalankan dengan jayanya. Terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah Sekolah, Pengetua, Guru-guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang telah memberi kerjasama semasa lawatan dan proses penilaian permohonan dilaksanakan.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, ini merupakan tahun ke-11 majlis seumpama ini diadakan sejak Kerajaan Negeri Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini pada tahun 2008. Setiap tahun Kerajaan Negeri telah memperuntukkan bantuan kewangan kepada sekolah di Pulau Pinang sebanyak RM12 juta di bawah program bantuan pendidikan di mana ianya akan disalurkan kepada sekolah mubaligh, sekolah cina/persendirian, sekolah tamil dan sekolah agama rakyat (SAR) untuk tujuan memperkasakan pembangunan modal insan.

Program ini tidak pernah tergendala atau dihentikan sekalipun, malah jumlah peruntukan bagi 3 kategori sekolah iaitu sekolah mubaligh, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) telah bertambah dari RM4.5 juta pada tahun 2009 kepada RM6.5 juta pada tahun 2011 dan jumlah tersebut kekal sama sehingga kini.

Untuk tahun 2019 ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM1,140,000 kepada 22 buah Sekolah Mubaligh di seluruh Pulau Pinang yang telah membuat permohonan dan berkelayakan. Meskipun jumlah ini mungkin tidak seberapa untuk menampung segala keperluan sekolah, akan tetapi saya amat berharap agar peruntukan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban pihak sekolah terutamanya dalam memastikan keselesaan dan keselamatan para pelajar terus terjamin.

Berikut adalah jumlah peruntukan yang diluluskan kepada sekolah-sekolah berkenaan:

Sekolah

Peruntukan(RM)

SK ASSUMPTION

10,000

SK CONVENT BUKIT MERTAJAM

70,000

SK CONVENT BUTTERWORTH

20,000

SK CONVENT GREEN LANE

50,000

SK CONVENT LEBUH LIGHT

75,000

SK METHODIST NIBONG TEBAL

50,000

SK PEREMPUAN METHODIST

50,000

SK PYKETT METHODIST

20,000

SK ST MARK BUTTERWORTH

45,000

SK ST MARK PERAI

25,000

SK ST XAVIER (JALAN LA SALLE)

20,000

SK ST XAVIER CAWANGAN

55,000

SMK (L) METHODIST

70,000

SMK (P) METHODIST

75,000

SMK CONVENT BUKIT MERTAJAM

65,000

SMK CONVENT BUTTERWORTH

80,000

SMK CONVENT GREEN LANE

70,000

SMK CONVENT LEBUH LIGHT

110,000

SMK CONVENT PULAU TIKUS

35,000

SMK METHODIST (M)

50,000

SMK ST GEORGE (M) BALIK PULAU

10,000

SMK ST XAVIER

85,000

 Jumlah

1,140,000

Daripada jumlah besar ini, saya difahamkan peruntukan sebanyak RM450,000 atau 39.5% digunakan untuk membaiki kerosakan struktur sekolah seperti bumbung, siling dan tangki sekolah. 17.5% daripada peruntukan iaitu sebanyak RM200,000 adalah untuk membaiki struktur sekolah seperti pendawaian semula bagi bangunan yang uzur dan ancaman anai-anai yang membahayakan keselamatan pelajar, 2.6% atau RM30,000 diperuntukkan untuk tujuan kerja-kerja pengubahsuaian, peruntukan sebanyak RM123,000 (10.8%) diberi kepada sekolah untuk menaiktaraf tandas dan perparitan sekolah. Selain daripada itu, penaiktarafan bilik darjah, tapak sukan dan kantin pula adalah sebanyak RM315,000 (27.6%) manakala kelulusan untuk membeli kelengkapan sekolah pula adalah RM22,000 iaitu 2% daripada peruntukan keseluruhan.

Walaupun sektor pendidikan bukanlah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, namun Kerajaan Negeri akan terus memberikan bantuan yang setimpalnya dan keutamaan kepada sekolah yang memerlukan bantuan seperti mana yang dilakukan sebelum ini. Selain daripada RM12 juta yang akan disalurkan kepada sekolah mubaligh, sekolah cina/persendirian, sekolah tamil dan sekolah agama rakyat (SAR), Kerajaan Negeri juga telah membuat keputusan untuk memanjangkan bantuan ini kepada Sekolah Kerajaan Rendah dan Menengah RM3 juta bermula pada tahun 2019

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Sejak 10 tahun yang lepas, Kerajaan Negeri berhasrat memacu pendidikan ke arah era digital berasaskan konsep STEM (Science, Technology, Engineering dan Mathematics) agar menjadikan Pulau Pinang pusat kecemerlangan sains dan teknologi. Selaras dengan hasrat tersebut, pelbagai inisiatif telah diusahakan seperti penubuhan pusat sains, Tech Dome Penang (TDP), Penang Science Café yang menekankan pembelajaran seperti koding dan robotik serta pendidikan vokasional Jerman (kerja sambil belajar) German Dual Vocational Training yang dijalankan oleh Penang Skills Development Centre (PSDC).

Selain daripada itu, Penang Digital Library (PDL- 2) juga bakal beroperasi tidak lama lagi, di mana ia adalah 2 kali ganda lebih besar daripada perpustakaan digital sebelum ini. Penang Digital Library (PDL) Fasa 2 dengan kos sebanyak RM10.8 juta ini boleh memuatkan seramai 540 orang pengguna dalam satu-satu masa untuk melaksanakan segala jenis aktiviti/program yang berkaitan dengan konsep STEM. Kerajaan Negeri juga akan meningkatkan bilangan bahan bacaan elektronik kepada 20,000 unit berkaitan dengan STEM, selaras dengan permintaan pengguna.

Tidak sekadar tertumpu di Pulau, penduduk di kawasan Seberang Perai juga bakal mendapat peluang untuk menggunakan perkhidmatan perpustakaan digital ini. Bagi memastikan perkara ini, Kerajaan Negeri sedang membina sebuah perpustakaan digital di kawasan Butterworth, Seberang Perai yang akan dikenali sebagai Butterworth Digital Library (BDL) yang dijangka siap pada Oktober 2019 dengan kos keseluruhan sebanyak RM4.6 juta.

Akhir kata, saya amat berharap agar kemenangan gabungan Pakatan Harapan di peringkat Kerajaan Persekutuan akan membawa Malaysia ke suatu era yang baharu meskipun kita sedar ia tidak mudah seperti apa yang kita semua bayangkan. Tetapi saya yakin, dengan sokongan dari gabungan Kerajaan Persekutuan yang sehaluan dengan kepimpinan Kerajaan Negeri, Pulau Pinang pasti dapat melangkah ke satu tahap yang maju menjelang tahun 2030.

Marilah kita semua mengembleng tenaga dan bersatu dalam memastikan kemajuan dan kesejahteraan negeri tercinta ini.

Sekian, terima kasih.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang