MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM BERSAMA YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM BERSAMA
YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG
7 JANUARI 2019 (ISNIN)
Grand Ballroom, The Top KOMTAR
YB Dato' Law Choo Kiang
Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
YB Dato' IR. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang
YB Prof. Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang
YB Dato' Seri Farizan bin Darus
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan
YB Tuan Norazmi bin Mohd Narawi
Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang
YB Dato' Sarul Bahiyah binti Haji Abu
Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang
Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Haji Wan Salim bin Wan Mohd. Noor
Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan
Pegawai-pegawai Kanan
Rakan-rakan media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Selamat Tahun Baru 2019.
Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) kerana berjaya memastikan Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang Bersama YAB Ketua Menteri buat kali pertamanya pada tahun 2019 pada pagi ini dapat berjalan dengan lancarnya.
Tahun 2018 telah melabuhkan tirainya, menyaksikan pelbagai kejutan, suka duka mewarnai perjalanan seharian kita. Bertukar ke kalendar baru, tahun 2019 dijangka akan menjadi tahun yang lebih hebat dan mencabar kepada kita semua. Setelah hampir 8 bulan memegang jawatan Ketua Menteri dan menerajui kepimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, saya sendiri dapat melihat kerjasama, komitmen dan sokongan yang tidak berbelah-bahagi daripada pegawai-pegawai sama ada dari peringkat atasan sehingga kepada peringkat sokongan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri. Terima kasih saya ucapkan di atas sokongan semua dalam usaha untuk menjadikan perkhidmatan awam Negeri Pulau Pinang bertaraf antarabangsa yang bersih, inovatif dan berkesan.
Pada 29 Ogos 2018 yang lalu, saya telah membentangkan mengenai sebuah pelan yang dikenali sebagai Penang2030: Negeri Pintar, Hijau dan Berteraskan Keluarga Yang Menginspirasikan Negara. Mungkin masih ramai di kalangan anggota penjawat awam yang hadir pada pagi ini yang masih kabur dan tertanya-tanya apakah sebenarnya tujuan diwujudkan Penang2030 ini sedangkan telah banyak program yang dilaksanakan sebelum ini berdasarkan dasar terdahulu.
Seperti mana yang sering saya ulang, Penang2030 tidak bercanggah dengan mana-mana program yang telah dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak tahun 2008. Malah ia menambah lagi penekanan yang seringkali menjadi faktor penentu kejayaan dan kestabilan sesebuah negeri, iaitu dari segi pembangunan sosial dan juga kemajuan ekonomi.
Penang2030 sebenarnya adalah sebuah visi untuk dijadikan panduan dan hala tuju pentadbiran Kerajaan Negeri untuk mentadbir negeri ini dalam tempoh 10 tahun akan datang. Ia sudah tentu akan memberi penekanan kepada pembangunan keluarga dalam negeri yang hijau dan pintar. Untuk itu, Kerajaan Negeri akan memastikan pelan-pelan perancangan terdahulu diselaraskan bagi memastikan segala bentuk perancangan ini menuju impian Kerajaan Negeri sebelum ini iaitu, Negeri Pulau Pinang yang bersih, hijau, sihat dan selamat.
Empat (4) teras utama dalam visi Penang2030 akan dijadikan panduan bagi memastikan segala bentuk perancangan dan pembangunan negeri ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana kawasan di bahagian Pulau mahupun Seberang Perai. Semua golongan masyarakat di negeri ini akan dijanjikan kesaksamaan dan keseimbangan demi kelangsungan negeri tercinta ini.
Empat (4) teras utama dalam Penang2030 adalah seperti berikut:
Teras Pertama : Meningkatkan Daya Huni Untuk Meningkatkan Kualiti Kehidupan (Increase Liveability To Enhance Quality Of Life);
Teras Kedua : Menaiktaraf Ekonomi Dengan Meningkatkan Pendapatan Isi Rumah (Upgrade The Economy To Raise Household Income);
Teras Ketiga : Memperkasakan Rakyat Untuk Meningkatkan Penyertaan Masyarakat (Empower People To Strengthen Civic Participation); Dan
Teras Keempat : Melabur Dalam Persekitaran Infrastruktur Dan Kemudahan Awam Untuk Meningkatkan Daya Tahan Dalam Pelbagai Keadaan (Invest In The Built Environment To Improve Resilience).
Kesemua teras ini akan dikembangkan dengan projek-projek pembangunan berkonsepkan people centric yang sudah pasti akan merangkumi secara holistik serta memberi manfaat dan memperkasakan rakyat. Penyediaan rumah mampu milik, penambahbaikan sistem jaringan jalan raya sedia ada, program-program bantuan, transformasi pendidikan dan sebagainya sedang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk merealisasikan Penang2030. Kerajaan Negeri sangat mengalu-alukan maklum balas dan idea daripada seluruh rakyat Pulau Pinang mengenai Penang2030 ini di mana Penang Institute, iaitu badan pemikir telah dilantik untuk membantu dalam mengkoordinasikan perkara-perkara berkaitan Penang2030.
Kerjasama konsep 4P (Public, Private, People & Profesional Partnership) yang dipraktikkan oleh Kerajaan Negeri akan terus diterap dan dijadikan strategi yang sesuai untuk memberi manfaat kepada kita semua. Konsep ini telah dibuktikan dan telah membawa kejayaan dalam pelaksanaannya. Antara contohnya ialah seperti SPICE, The Habitat, Penang Digital Library (PDL), Karpal Singh Learning Centre, ACAT Center, Penang Science Cluster, Tech Dome dan banyak lagi.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,
Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk menyatakan bahawa meskipun pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan saya memperkenalkan konsep seperti Penang2030, tetapi saya bangga untuk menyatakan bahawa asas prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) yang dipraktikkan sejak 10 tahun lalu masih lagi segar dan menjadi landasan utama pentadbiran negeri ini. Semua pencapaian yang dikecapi dari pelbagai aspek selama tempoh 10 tahun ini merupakan hasil usaha sama semua terutamanya penjawat awam Pulau Pinang dan kita semua akan menontonnya menerusi tayangan video selepas ucapan saya ini.
Jika dahulu Jabatan Negeri dan Jabatan Persekutuan dilihat secara berasingan, kini setelah mandat telah bertukar tangan, sama ada kita suka atau tidak, kita semua harus bergerak dalam satu pasukan yang sama. Saya akui, Jabatan Persekutuan juga memainkan peranan yang penting dalam pembangunan Negeri Pulau Pinang. Jabatan Persekutuan masih dalam proses menerima pembaharuan untuk keseluruhan proses pentadbiran sedia ada.
Di Pulau Pinang, proses tersebut berjalan amat lancar di mana semua anggota perkhidmatan awam Persekutuan telah pun siap sedia menyesuaikan diri dengan pembaharuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau sejak tahun 2008. Tempoh 6 bulan probation period atau tempoh suai kenal/percubaan telah tamat. Saya amat berharap agar kerjasama yang telah dijalinkan sekian lama menjadi bertambah kukuh dengan jalinan kerjasama erat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam membentuk Malaysia Baharu. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih atas segala kerjasama yang telah diberikan.
Tahun 2019 adalah tahun untuk kita bertindak bersama-sama selaras dengan dasar yang telah digariskan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di bawah satu bumbung. Saya percaya anggota perkhidmatan awam di Negeri Pulau Pinang sudah biasa dengan manifesto yang telah dibawa oleh Kerajaan Pakatan Harapan. Kini ianya lebih mudah dan diharap lebih berkesan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Saya amat bangga dengan prestasi penjawat awam di Pulau Pinang yang sememangnya telah pun terkenal dengan kejayaan-kejayaan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Negeri Pulau Pinang sentiasa merangkul pelbagai anugerah dan pengiktirafan dalam pelbagai bidang. Kejayaan-kejayaan ini masih diteruskan lagi dan dicapai sehingga kini. Selepas ini kita akan menyaksikan beberapa Jabatan akan menerima penghargaan dan pengiktirafan di atas kejayaan memenangi beberapa anugerah. Tahniah dan syabas saya ucapkan. Sebagai sebuah negeri yang kecil, kita patut merasa bangga apabila Pulau Pinang sentiasa menjadi perintis kepada pelaksanaan program-program di peringkat nasional.
Atas kejayaan-kejayaan ini, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada YB Dato’ Seri Haji Farizan bin Darus, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta semua pasukan warga kerja di bawah kepimpinan beliau yang telah menunjukkan prestasi yang amat membanggakan sekali.
Saya berharap majlis seumpama ini akan terus diadakan dari semasa ke semasa memandangkan ia merupakan platform yang penting buat saya untuk bertemu dengan semua penjawat awam Negeri dan juga Persekutuan dan ianya membuka ruang dan peluang untuk kita mengeratkan tali silaturrahim sama ada untuk tujuan rasmi mahupun tidak. Saya percaya kita semua ingin melihat kemajuan yang berterusan tidak kira sama ada dari segi pembangunan, modal insan dan alam sekitar demi kesejahteraan semua.
Sekian, terima kasih.