MAJLIS PEMBUKAAN JALAN PSPN 2, NORTH PENANG SCIENCE PARK, MUKIM 13, JURU, SEBERANG PERAI TENGAH, PULAU PINANG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PEMBUKAAN JALAN PSPN 2, NORTH PENANG SCIENCE PARK, MUKIM 13, JURU,
SEBERANG PERAI TENGAH, PULAU PINANG
PADA 10 JANUARI 2019 (10.00 PAGI)
-----------------------------------------------------------------------
YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang
YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang
YB Kasthuriraani a/p Patto
Ahli Parlimen Batu Kawan
YB Gooi Hsiao-Leung
ADUN Bukit Tengah
YB Goh Choon Aik
ADUN Bukit Tambun
Yang Berbahagia Dato’ Rosli Jaafar
Pengurus Besar PDC
Yang Berbahagia Dato' Sr. Haji Rozali bin Haji Mohamud
Yang Dipertua MPSP
Dif-Dif Kehormat
Pihak Pengurusan PDC
Rakan-rakan media
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu, izinkan saya merakamkan sekalung penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran Majlis Pembukaan Jalan PSPN 2, North Penang Science Park, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang pada pagi yang berbahagia ini.
Seperti mana kita semua sedia maklum, kawasan perindustrian Penang Science Park kini mengalami pembesaran di mana kawasan sedia ada seluas 282 ekar kini telah meningkat sebanyak 298 ekar di sebelah utara dan 119 ekar lagi di bahagian selatan, menjadikan keseluruhan keluasan adalah sebanyak 699 ekar. Dan menjelang pembukaan pasaraya IKEA, sebuah gedung beli-belah barangan perhiasan dan peralatan dalam rumah pada bulan Mac ini, dijangka akan berlaku peningkatan lalu lintas yang amat tinggi di kawasan sekitar ini.
Atas sebab itu, PDC telah mengambil inisiatif ini untuk meningkatkan rangkaian pengangkutan jalan sedia ada di kawasan itu dengan membina Jalan PSPN 2 sebagai jalan alternatif bagi membolehkan trafik dari Batu Kawan dan Bukit Tambun untuk terus melalui ke kawasan Juru dengan laluan ke Plaza Tol Tambun.
Saya dimaklumkan bahawa jalan baru ini dengan kelebaran 30 meter dan mempunyai reka bentuk 3 lorong 2 hala ini akan bermula dari jambatan melintasi Sungai Junjong Mati di sempadan utara Penang Science Park sedia ada dan terus ke persimpangan Jalan Kebun Baru sepanjang 1.6 km. Kerja-kerja pembinaan ini telah dilaksanakan dalam 2 fasa di mana fasa pertama melibatkan kira-kira 0.8km dengan kos pembinaan sebanyak RM9.6 juta telah dijalankan oleh pihak kontraktor, JK Dinamik Sdn Bhd yang telah siap pada 2016 manakala fasa kedua baru sahaja siap pada minggu lepas, juga kira-kira 0.8 km dengan jumlah kos sebanyak RM9.5 juta oleh MMA Construction & Engineering Sdn. Bhd.
Jumlah kos projek untuk 2 fasa ini adalah sebanyak RM20 juta dan dibiayai sepenuhnya oleh PDC sebagai sebahagian daripada tanggungjawab PDC dalam meningkatkan dan mempercepatkan pembangunan infrastruktur di Pulau Pinang terutamanya di kawasan Seberang Perai. Bagi memastikan projek-projek ini dilaksanakan dengan efisen dan telus, keseluruhan projek ini telah dilaksanakan sepenuhnya dengan menggunakan kepakaran dalaman PDC dari segi reka bentuk, penyerahan pelan, panggilan tender dan pengurusan tapak projek.
Saya yakin jalan ini akan menjadi salah satu platform infrastruktur yang akan menyediakan jaringan dan sokongan logistik yang baik di kawasan Batu Kawan sekaligus dapat mempercepatkan perkembangan ekonomi di kawasan sekitar. Selain membuka peluang pelaburan yang lebih besar, sudah tentu ia akan mewujudkan peluang pekerjaan yang bernilai tinggi kepada masyarakat setempat.
Dengan komitmen sambungan dan akses jalan yang baik ini juga turut akan memberi manfaat kepada kawasan berdekatan dengan Seberang Perai Selatan, seperti Byram juga akan menjadi satu tarikan utama bagi operasi perkilangan dan juga pertumbuhan ekonomi kelak.
Dengan pembinaan jalan ini juga, adalah tepat pada masanya untuk mengintegrasikan dengan projek-projek pembangunan transformatif seperti Penang Design Village, projek oleh Aspen Vision, dan Gedung IKEA pertama di rantau utara yang akan mewujudkan perniagaan untuk pembekal tempatan, tarikan pelancong, usahawan dan pelabur. Saya percaya untuk memenuhi pertumbuhan pesat ini, infrastruktur yang lebih baik merupakan salah satu faktor penting yang mana dapat membantu mengubah keadaan ekonomi dan mentransformasikan kawasan di Batu Kawan dan kawasan di sekitarnya di Seberang Perai sebagai sebuah metropolis yang berkembang.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) atas usaha dedikasi dan proaktif dalam memberi sokongan dan menyediakan infrastruktur ini untuk memudahkan keperluan pembangunan perniagaan, khususnya di kawasan Seberang Perai, Pulau Pinang.
Saya dengan ini merasmikan pembukaan Jalan PSPN 2, North Penang Science Park, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang .
Sekian, terima kasih.