MAJLIS PERASMIAN ‘KEUSAHAWAN KOMUNITI”

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

DI MAJLIS PERASMIAN ‘KEUSAHAWAN KOMUNITI”

30 MAC 2019

PERKARANGAN PASAR AWAM, SUNGAI DUA

YB Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Hussain

EXCO Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan

En. Rosmin bin Yaakob

Pemangku Pengawai Daerah Seberang Perai Utara

En. Zahar bin Zainal

Pegawai Penerangan, Bahagian Penerangan Pejabat Ketua Menteri

En. Yusri bin Ahmad

Pegawai Penyelaras KADUN Sungai Dua

En. Kholil bin Salleh

Pegawai Penyelaras KADUN Penaga

Pengerusi MPKK, Wakil-wakil pemimpin tempatan, NGO

Rakan -rakan media

 

Tuan-tuan dan Puan-puan

Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur program ‘Keusahawanan Komuniti’ yang telah memastikan program pada hari ini dapat dijalankan dengan lancarnya.

Seperti mana yang kita maklum, penganjuran ini merupakan sebuah program pembangunan ekonomi dalam komuniti yang berasaskan keusahawanan sosial dengan menggunakan model ekonomi bagi membantu meningkatkan pendapatan atau ekonomi, dan ia telah dilaksanakan di serata dunia.

Melalui penganjuran program seumpama ini, ia dapat menyediakan platform terutama kepada kumpulan sasaran seperti suri rumah, ibu tunggal dan juga kelompok belia tanpa mengira latar belakang kaum mahupun agama untuk menjana pendapatan tambahan.

Antara program yang akan diberikan tumpuan adalah seperti peniagaan secara dalam talian ‘online’, aktiviti pertanian seperti penanaman kelapa di kawasan terbiar, penternakan, pembuatan kuih-kuih tradisional dan pelbagai lagi.

Hadirin sekalian,

Sememangnya pelbagai bentuk inisiatif dan bantuan telah disediakan sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri bagi membantu dan memperkasakan usahawan dalam pelbagai bidang.

Antaranya, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) misalnya telah memperkenalkan Skim Pinjaman Harapan (SPH) dengan jumlah pinjaman antara RM1,000 hingga maksimum RM25,000 bagi membantu para usahawan mengembangkan modal perniagaan. Sejak tahun 2009 hingga Februari 2019, sebanyak RM16.53 juta telah dibelanjakan dan memberi manfaat kepada 3,197 peminjam bagi menjalankan dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

Selain itu, Kerajaan Negeri pada tahun 2014 juga telah memperkenalkan Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM) bagi membantu para usahawan muda khusus dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan. Sehingga tarikh 19 Mac lalu, seramai 131 penerima yang terdiri daripada pelbagai kategori pertanian, penternakan dan perikanan telah menerima manfaat TUTM.

Mengikut komposisi kaum, seramai 124 penerima adalah Melayu, diikuti Cina (5) dan India (2). Setakat ini, Kerajaan Negeri telah menyalurkan RM713,000 kepada usahawan-usahawan yang layak dan masih berbaki RM37,000.00 daripada jumlah keseluruhan peruntukan RM750,000 bagi tahun ini.

Kerajaan Negeri berharap dengan segala bentuk bantuan yang diberikan secara berterusan kepada para usahawan negeri ini, ia bakal membantu golongan B40 terutamanya untuk mereka keluar daripada kepompong kemiskinan dan mampu berdikari pada masa hadapan.

Malah, ia juga sekaligus membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sememangnya amat komited dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat negeri ini sejajar dengan matlamat visi Penang2030.

Visi Penang2030 yang dilancarkan oleh saya pada Ogos 2018 bakal menggunakan pendekatan inklusif dan “bottom up” yang mana kepimpinan Kerajaan Negeri akan menggunakan ia untuk memacu pembangunan negeri ini dalam mencipta pelbagai kejayaan lain menjelang tahun 2030.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, sememangnya penglibatan semua rakyat negeri ini adalah amat digalakkan agar kemakmuran hidup sebenar dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat dan sekaligus menjadi ‘role model’ kepada negeri-negeri lain.

Kerajaan Negeri berharap program sebegini akan terus dipergiatkan dan digerakkan secara lebih agresif di peringkat akar umbi pada masa hadapan. Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang bertindak sebagai mata dan telinga Kerajaan Negeri yang telah dilantik seharusnya memainkan peranan yang sangat penting bagi membantu komuniti setempat demi kesejahteraan serta masa depan yang lebih baik. Sejajar dengan pertukaran nama MPKK daripada JKKK sebelum ini, saya amat berharap agar corak perkhidmatan kepada masyarakat atau komuniti juga turut bertukar menjadi lebih efisien dan berkesan kepada masyarakat sekeliling terutama dalam pembangunan aspek sosio-ekonomi.

Akhir kata, saya berharap agar program “Keusahawanan Komuniti” ini akan memberi dimensi baru terutama kepada mereka yang baru berjinak dalam dunia keusahawanan dan seterusnya melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang berdaya saing.

Dengan ini, saya melancarkan ‘Program Keusahawanan Komuniti’ Peringkat Parlimen Tasek Gelugor serta KADUN Sungai Dua.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang