PERASMIAN KARNIVAL KOMTAR

TEKS UCAPAN YANG AMAT BERHORMAT

KETUA MENTERI PULAU PINANG

PERASMIAN KARNIVAL KOMTAR

4 MEI 2019 (SABTU)

Salam sejahtera dan salam harapan baru saya ucapkan kepada


Yang berusaha saudara Teh Lai Heng


Yang berusaha saudara Soon Lip Chee


Pengerusi Phison Dato’ Pua Khien Seng


Wakil-wakil penaja,

Para VIP serta pengunjung-pengunjung sekalian



Saya amat bersyukur melihat gelombang pengunjung yang datang mengunjungi Komtar pada hujung minggu ini. Atas usaha dan kerjasama daripada peniaga-peniaga di KOMTAR serta para-para penganjur yang bertungkus-lumus menjayakan Karnival Komtar ini, Komtar ibarat sudah kembali kepada zaman kegemilanganya dengan suasana meriah yang tidak terhenti.

  
Walaupun ini merupakan julung kali karnival ini diadakan, lebih daripada 200 buah gerai mengambil bahagian dalam acara yang berlangsung selama 3 hari ini, termasuk permainan e-sport, cosplay, promosi jualan, ruang pameran, booth perkhidmatan agensi kerajaan dan pelbagai lagi acara.


Sememangnya Komtar mempunyai potensi yang tinggi untuk terus bersaing sebagai satu pusat membeli belah. Komtar bukan sahaja mempunyai lokasi geografik yang strategik, malah Komtar juga merupakan pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta stesen utama perkhidmatan bas awam untuk seluruh kawasan Pulau Pinang.


Dengan meningkatkan sedikit lagi usaha dari semua pihak, Komtar boleh terus kekal sebagai destinasi dan tarikan utama penduduk setempat, apatah lagi dengan penambahan pelan untuk membina UTC di dalam Komtar, Komtar bakal mempunyai lebih banyak lagi daya tarikan untuk memikat pengunjung tempatan.

 
Digabungkan dengan usaha kerajaan Pulau Pinang yang telah melakukan proses rejuvenasi  terhadap Komtar, bangunan ikonik ini kini dipulihkan sebagai ikon yang sinonim dengan Pulau Pinang serta menjadi pusat aktiviti dan lokasi bersantai utama di Georgetown.

 
Malah transformasi Menara Komtar sudahpun membuahkan hasil dan menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong ke negeri kita saban tahun.


Akhir kata, tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat kepada penganjuran Karnival Komtar 2019 ini. Semoga penganjuran karnival ini memperolehi kejayaan dan membuka mata keoada peluang yang lebih besar untuk penganjuran pelbagai karnival dan aktiviti lagi.

 
Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang