PERASMIAN BAZAAR RAMADHAN ANJURAN LIGA MUSLIM PULAU PINANG YANG KE-16
UCAPAN YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA PERASMIAN BAZAAR RAMADHAN ANJURAN LIGA MUSLIM PULAU PINANG YANG KE-16
6 Mei 2019
YBhg. Dato’ Hj. Haja Najmudeen Kader
Presiden, Liga Muslim Pulau Pinang
YBhg. Tuan Dr. Shahul Hameed Syed Mohamed Timbalan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang
YBhg. Dato’ Hj. Mohd Sulaiman Hajah Mydin dan YBhg. Dato’ Mejar Mohamed Abdul Latiff Abu Tahir
Pengerusi Bazaar Ramadhan Liga Muslim Pulau Pinang kali ke-16
YBhg. Dato’ & Datin Dr. Hj. Saduruddin Gulam Husen
Pengarah, Mydin Wholesale Emporium Sdn. Bhd. sebagai Penaja Bazaar Ramadhan 2019
YBhg. Dato’ Seri Hj. Barkath Ali Abubacker
Penasihat Liga Muslim Pulau Pinang dan Pengerusi Kumpulan Barkath Sdn. Bhd. sebagai Penaja Bazaar Ramadhan 2019
Presiden-Presiden Persatuan Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang & Persatuan-Persatuan Muslim Pulau Pinang
Ahli-Ahli Jawatankuasa
Rakan-rakan dari Media
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak terutamanya kepada Liga Muslim Pulau Pinang yang telah berusaha menganjurkan Bazaar Ramadhan buat kali ke-16.
Serentak itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah mengiktiraf Liga Muslim Pulau Pinang sebagai penganjur utama Bazaar Ramadhan yang diadakan pada setiap tahun di Kawasan Little India ini. Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi-Pengerusi Masjid, tuan-tuan dan puan-puan yang telah sudi meluangkan masa dan hadir di majlis ini.
Bazaar Ramadhan anjuran Liga Muslim ini mampu menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong asing yang melalui kawasan itu kerana lokasinya yang strategik serta mudah disinggahi orang ramai sepanjang bulan Ramadhan ini.
Bazar Ramadhan yang terletak di Little India ini menempatkan keseluruhan 32 gerai yang menjual pelbagai jenis makanan khususnya juadah untuk berbuka puasa termasuk nasi briyani, nasi ayam, roti jala, kuih-muih tradisional dan moden serta pelbagai jenis minuman.
Seperti yang kita sedia maklum, bulan Ramadhan bukan hanya disambut dan diraikan orang Islam sahaja, sebaliknya juga bukan Islam termasuk pelancong-pelancong asing yang turut mengambil peluang mengunjungi bazar-bazar Ramadhan.
Secara tidak langsung, bulan Ramadhan menjadi lebih meriah dan lebih bermakna buat kita semua.
Justeru, saya melihat bulan Ramadhan yang diraikan pada setiap tahun merupakan tunggak penting dalam usaha kita untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum serta agama khususnya di Pulau Pinang.
Kita patut bersyukur kerana kita berpeluang untuk bersama-sama merasai nikmat kehidupan yang aman dan tenteram dalam sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian agama, bangsa dan bahasa.
Perbezaan yang kita kecapi ini tidak sewajarnya menjadi sebagai satu titik tolak kepada perpecahan dan rasa tidak percaya terhadap satu sama lain. Kita sepatutnya menjadikan perbezaan yang ada pada kita sebagai satu usaha untuk lebih mengukuhkan perpaduan di antara kita.
Terima kasih.