MAJLIS PELANCARAN APLIKASI ON-DEMAND ECONOMY E-HAILING "cALLme CAB”

UCAPAN YAB KETUA MENTERI

YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PELANCARAN APLIKASI ON-DEMAND ECONOMY E-HAILING "cALLme CAB”

22 MEI 2019

Salam Sejahtera, selamat pagi & selamat berpuasa serta menghayati bulan ramadhan bagi rakyat beragama Islam. Hari ini kita akan menyaksikan detik yang penting bagi perkhidmatan teksi di Pulau Pinang dengan Pelancaran APLIKASI ON-DEMAND ECONOMY E-HAILING yang dikenali sebagai "cALLme CAB" khusus untuk industri teksi.

Ekonomi pada hari ini sangat unik dengan kewujudan dan ledakan teknologi maklumat. Industri teksi dan gerakan koperasi pada hari ni tidak terlepas dengan arus perubahan dan cabaran ini. Aktiviti perniagaan mahupun perkhidmatan pada hari ini dapat dilakukan lebih efisien dengan bantuan teknologi maklumat, malah meningkatkan pendapatan dan penjimatan secara positif dalam operasi perniagaan dan perkhidmatan.

Dalam ekonomi digital, kita dapat lihat bahawa koperasi telah mula mengambil peluang ini. Gabungan kerjasama koperasi dengan industri teksi membolehkan Projek Aplikasi On-Demand E-Hailing “cALLme CAB” ini dilaksanakan di negeri Pulau Pinang seiring dengan perkembangan ekonomi digital.

Saya difahamkan aplikasi “cALLme CAB” adalah platform e-hailing yang dibangunkan sepenuhnya oleh ANGKASA yang berhasrat memberi sumbangan kepada negara dalam membantu membangunkan industri teksi serta memanfaatkan teknologi maklumat dalam gerakan koperasi di mana lebih 30 koperasi yang terlibat dalam pengangkutan awam dan perkhidmatan Teksi.

Kewujudan perkhidmatan e-hailing “cALLme CAB” ini diharap dapat membantu pemandu teksi di negeri Pulau Pinang menghadapi saingan teknologi di mana kita sedia maklum bahawa punca pendapatan pemandu teksi kini terjejas dan merundum disebabkan persaingan perkhidmatan e-hailing.

Pada hari ini, sangat penting bagi industri teksi dan kereta sewa mengorak langkah memperkasakan diri, meningkatkan penguasaan ilmu dan teknologi untuk menghadapi cabaran global.

Pengguna ataupun orang awam yang sentiasa sibuk pada hari ini memerlukan perkhidmatan yang cepat, boleh dipercayai dan selamat yang kini kebanyakkannya boleh dicapai dari hujung jari melalui smartphone sahaja. Justeru seluruh pemandu teksi di Pulau Pinang seharusnya berusaha menyesuaikan diri dengan keperluan ini bagi memastikan survival ataupun kelangsungan pendapatan mereka. Pemandu teksi perlu berani untuk mengubah cara bekerja daripada kaedah tradisi kepada penggunaan teknologi moden yang mampu memberi impak positif.

Hadirin Yang Dihormati Sekalian,

Saya difahamkan, Perkhidmatan e-hailing cALLme CAB ini telah didaftar oleh hampir 500 orang pemandu teksi berdaftar yang lengkap dengan PSV dan permit di negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan pemandu kereta sewa. Ini menunjukkan pemandu teksi di negeri Pulau Pinang sudah mula sedar dan mengambil tindakan positif demi menghadapi cabaran teknologi.

Saya harapkan seluruh pemandu teksi di Pulau Pinang akan memanfaatkan aplikasi e-hailing cALLme CAB ini dan mampu mengendalikannya dengan baik serta tidak mudah berputus asa menghadapi persaingan digital. Saya percaya pihak ANGKASA akan membantu dalam sokongan teknikal latihan penggunaan, bagi memahirkan para pemandu teksi dalam pengendalian e-hailing. Justeru, pihak gabungan dan persatuan-persatuan dan koperasi teksi di pulau pinang perlu bekerja lebih keras dalam membantu memberi kefahaman dan mengerakkan pemandu-pemandu teksi serta menjelaskan perihal kepentingan memanfaatkan teknologi e-hailing dalam rutin operasi seharian.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya amat mengalu-alukan para pemandu teksi di negeri untuk memanfaatkan aplikasi ini dan akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ANGKASA, seluruh gabungan dan persatuan teksi serta pemandu-pemandu teksi di Pulau Pinang yang telah mengambil langkah positif dengan keazaman untuk berubah dan memanfaatkan peluang dalam digital Ekonomi. Semoga dengan pelancaran aplikasi cALLme CAB ini di negeri Pulau Pinang akan memberi pengguna dan masyarakat lebih pilihan dan seterusnya mempertingkatkan lagi perkhidmatan teksi.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang