SEMPENA PROGRAM KEUSAHAWANAN DAN SEMARAK BUDAYA PERTUBUHAN PEMULIHAN DALAM KOMUNITI DAN PELANCARAN JOM DAFTAR PUSAT JAGAAN DAN TASKA NEGERI PULAU PINANG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA PROGRAM KEUSAHAWANAN DAN SEMARAK BUDAYA PERTUBUHAN PEMULIHAN DALAM KOMUNITI DAN PELANCARAN JOM DAFTAR PUSAT JAGAAN DAN TASKA NEGERI PULAU PINANG
13 Februari 2020 Mydin Mall, Jalan Baru
Yang Berbahagia Encik Zulkifli bin Ismail
Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Malaysia
Yang Berusaha Encik Shaballah bin Zainal Abidin
Pengarah JKM Negeri Pulau Pinang
Seluruh warga kerja JKM di Ibu Pejabat, Negeri, Daerah & Institusi Kebajikan
Para jemputan
Para media
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang atas penganjuran Program Keusahawanan dan Semarak Budaya Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) pada petang yang berbahagia ini.
Saya difahamkan bahawa program pada hari ini melibatkan penyertaan daripada kesemua 25 buah PPDK di bawah kendalian JKM Negeri Pulau Pinang di mana beberapa aktiviti telah disusun sepanjang 1 hari ini termasuklah penjualan produk daripada PPDK, pameran daripada pelbagai agensi serta penganjuran pertandingan pakaian dan permainan tradisional.
Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada JKM atas inisiatif yang dilaksanakan ini dalam usaha untuk memberikan pendedahan dan pengalaman baru kepada para pelatih dan warga PPDK terutamanya untuk terus mengharungi kualiti hidup yang lebih sihat dan sempurna. Saya kira tumpuan dan sasaran untuk meningkatkan kemahiran dan peneguhan kepada pengetahuan sedia ada mampu memberikan sinar dan harapan kepada para pelatih bagi membina kecemerlangan dan keyakinan pada hari-hari yang mendatang.
Semasa lawatan ke PPDK Permatang Damar Laut tempoh hari, beberapa isu telah dibangkitkan oleh pihak pengurusan dalam usaha penambahbaikan dari segi keperluan dan mutu perkhidmatan kepada anak-anak istimewa ini. Saya secara peribadi amat mengagumi peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh warga PPDK dalam melayani kerenah golongan istimewa berkenaan.
Kerajaan Negeri menerusi program kebajikan sosial i-Sejahtera telah menaikkan kadar bantuan hampir 10,000 penerima golongan orang kurang upaya (OKU) dari RM130 sebelum ini kepada RM150 setahun, melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.5 juta. Mungkin kecil nilainya, tetapi saya berharap bantuan ini dapat menggembirakan golongan ini dalam mengharungi kehidupan yang kian mencabar kini.
Dalam merealisasikan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, penglibatan daripada masyarakat yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia amat perlu agar visi ini dapat diterjemahkan dengan jayanya. Saya berharap lebih banyak agensi dan jabatan kerajaan lain dapat melaksananakan program sosial seperti mana yang dilaksanakan oleh JKM dalam membawa Pulau Pinang yang lebih bersih, hijau, sihat dan selamat.
Saya difahamkan selain program keusahawanan dan semarak budaya, JKM pada hari ini turut mempromosikan kempen JOM Daftar Taska dan Pusat Jagaan. Di kesempatan ini, saya berharap agar para pengusaha Pusat Jagaan dan Taska dapat mengambil peluang ini untuk mendengar sesi taklimat dan penerangan berkaitan perkhidmatan pendaftaran selaras dengan keperluan pematuhan kepada Akta Pusat Jagaan 1993 dan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 serta peraturan-peraturan yang berkuatkuasa, demi tawaran penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan dan bermutu.
Merujuk kepada statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang, masih terdapat 91 buah Pusat Jagaan dan 39 buah Taska masih tidak berdaftar di seluruh negeri ini. Kerajaan Negeri berharap para pengusaha dan pengendali dapat menggunakan kesempatan ini untuk menikmati diskaun sebanyak 90% menerusi program pemutihan taska yang telah diperkenalkan pada tahun 2017 dan akan tamat menjelang Jun 2020.
Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi kepada JKM di bawah kepimpinan Tuan Shaballah bin Zainal Abidin atas penganjuran program yang bermanfaat ini. Dengan kata-kata ini, saya merasmikan PROGRAM KEUSAHAWANAN DAN SEMARAK BUDAYA PERTUBUHAN PEMULIHAN DALAM KOMUNITI DAN PELANCARAN JOM DAFTAR PUSAT JAGAAN DAN TASKA NEGERI PULAU PINANG.
Sekian, terima kasih.