MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH JAWATANKUASA PEMBANGUNAN WANITA DAN KELUARGA

UCAPAN PERASMIAN
YANG AMAT BERHORMAT TUAN CHOW KON YEOW
KETUA MENTERI PULAU PINANG

MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH JAWATANKUASA PEMBANGUNAN WANITA DAN KELUARGA
HARI AHAD, 16HB FEBRUARI 2020, 2.30 PETANG 
RECSAM HALL, SEAMEO RESCAM, PULAU PINANG

Salam Harapan dan selamat petang kepada puan-puan dan tuan-tuan yang hadir pada Majlis Penyampaian Watikah Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga atau JPWK yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang atau PWDC. Saya berasa amat bangga melihat kehadiran ADUN-ADUN dengan pewakilan JPWK masing-masing. Dengan sokongan penuh ADUN-ADUN Pulau Pinang, pelantikan untuk 40 JPWK KADUN sesi 2020/21 telah berjalan dengan lancar dan berkuatkuasa bulan ini. 

Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada puan-puan yang telah dilantik menjadi ahli baru; Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan juga AJK JPWK. Kepada ahli-ahli yang telah berkhidmat tahun lepas pula, selamat kembali. Ini adalah satu petunjuk komitmen puan-puan yang sedia berkhidmat untuk manfaat bersama. Sejak penubuhan JPWK tahun lepas, kita telah menyaksikan keberkesanan JPWK sebagai struktur formal dan mekanisme Kerajaan Negeri dalam menjangkau masyarakat setempat dalam pembangunan wanita dan keluarga. Program-program yang dijalankan oleh JPWK berjaya meningkatkan kapasiti dan kesedaran komuniti tentang sifat keibubapaan, kewangan, kesihatan, hak-hak dan sebagainya demi kesejahteraan golongan wanita dan keluarga. Di samping itu, program JPWK juga telah mencungkil bakat kepimpinan terutamanya di kalangan masyarakat wanita. Malah, inisiatif penubuhan JPWK Pulau Pinang adalah yang terulung di Malaysia dan fungsi utamanya adalah untuk menyokong visi Penang2030; “A Family Focused Green and Smart State that Inspires the Nation” dengan merancang dan melaksanakan program pembangunan wanita dan keluarga di KADUN masing-masing. Ini adalah kerana Kerajaan Negeri percaya bahawa tumpuan pembangunan wanita dan keluarga akan membawa Negeri ini ke arah perkembangan yang mampan dan sihat.

Puan-puan dan Tuan-tuan

Struktur dan mekanisme penubuhan JPWK yang dilanjutkan untuk dua tahun bagi sesi 2020/21 adalah sama seperti tahun lepas. Setiap JPWK akan dianggotai oleh 15 ahli wanita; seorang pengerusi, setiausaha, bendahari dan 12 ahli jawatankuasa. Pengerusi dan setiausaha akan menerima elaun bulanan sebanyak RM700 dan RM600 setiap orang manakala bendahari dan ahli jawatankuasa akan menerima elaun mesyuarat bulanan. RM10,000 akan diperuntukkan kepada setiap JPWK setiap tahun bagi pelaksanaan program-program pembangunan wanita dan keluarga di KADUN masing-masing. 

Pembentukan jawatankuasa di setiap KADUN telah menghasilkan 600 pemimpin wanita yang akan menyumbang tenaga untuk menyokong program-program pembangunan untuk penduduk Negeri Pulau Pinang. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi dengan para hadirin, kita telah mengenal-pasti beberapa bakat pemimpin dalam kalangan JPWK tahun lepas yang menyahut cabaran and kini berjaya memegang posisi pembuat keputusan dalam Kerajaan Negeri. Inilah hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, membina ‘women talent pool’ untuk mengisi kekosongan di peringkat pembuat keputusan supaya pewakilan wanita dan lelaki dapat diimbangi.  

Puan-puan and tuan-tuan,

Saya yakin JPWK akan teruskan usaha gigihnya dalam melaksanakan program-program yang bermanfaat. Program-program yang baik adalah tidak terbatas dan terdiri daripada pelbagai jenis. Saya ingin menarik perhatian anda kepada salah satu jenis program iaitu pada pendapat saya, adalah penting untuk penubuhan negeri yang sihat, iaitu pembangunan keluarga. Keluarga merupakan unit yang paling asas dalam masyarakat kita. Ibubapa bukan sahaja perlukan kemahiran asas untuk mendidik dan membesarkan kanak-kanak mereka dengan sihat tetapi juga perlu memiliki kemahiran yang innovatif dalam dunia maju sains dan teknologi kini. Kanak-kanak kini mudah terdedah kepada pelbagai pengaruh luar sama ada yang baik atau tidak baik melalui akses kepada komunikasi berbentuk dalam talian dan luar talian.  Saya berharap JPWK dapat memberi tumpuan kepada pelaksanaan program yang dapat menangani isu-isu yang menjadi kekangan kepada pembangunan keluarga yang sihat.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua dalam memastikan JPWK boleh mengorak langkah ke arah kecemerlangan;

  • Saudari Chong Eng, pemandu utama yang menetapkan hala tuju JPWK,
  • ADUN dan Penyelaras KADUN yang mencalonkan ahli dan sentiasa menyokong pelaksanaan program JPWK,
  • BPEN, Pejabat-pejabat Daerah dan jabatan-jabatan berkaitan sebagai jentera pentadbiran serta
  • PWDC yang mengurus, memantau dan menyelia JPWK.

JPWK kini telah menjadi teladan yang baik dan saya difahamkan saudari Chong Eng telah menerima beberapa kunjungan belajar dari negeri-negeri yang lain. Syabas saya ucapkan dalam usaha untuk menginspirasikan negara. Kita perlu bersama-sama berusaha untuk lebih gigih lagi untuk menjadikan JPWK sebagai satu ‘role model’ yang membawa kesejahteraan kepada rakyat Pulau Pinang.

Ahkir kata, saya berharap semua pihak akan terus memberi bimbingan, panduan dan bantuan kepada JPWK.

Sekian.  Terima kasih

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang