MAJLIS ANGKAT SUMPAH PENERIMAAN JAWATAN AHLI MAJLIS MAJLIS BANDARAYA SEBERANG PERAI (MBSP)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI NEGERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS ANGKAT SUMPAH PENERIMAAN JAWATAN

AHLI MAJLIS MAJLIS BANDARAYA SEBERANG PERAI (MBSP)

TAHUN 2021

8 JANUARI 2021 (JUMAAT)

MAJLIS BANDARAYA SEBERANG PERAI

 

YB Jagdeep Singh Deo A/L Karpal Singh

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa

YB Ahli-ahli EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Ahli-ahli Parlimen Negeri Pulau Pinang

 

YB ADUN-ADUN Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ Sr. Haji Rozali bin Haji Mohamud

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Yang Berbahagia Dato’ Ar Yew Tung Seang

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

 

Yang Berusaha Ir Hajah Rosnani binti Mahmod

Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai

Yang Berusaha Dato’ Ir Addnan bin Mohd. Razali

Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

 

Yang Dihormati Ahli Majlis-Ahli Majlis

Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

 

Yang Berusaha Puan Nur ‘Aishah binti Md Norodin

Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Kerajaan Tempatan

Ketua-ketua Jabatan, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2021 kepada semua. Semoga perjalanan tahun 2021 ini lebih manis, lebih lancar dan membawa lebih kejayaan, kesihatan, keselamatan dan kemakmuran kepada kita semua, berbanding tahun 2020 yang penuh dengan cabaran dan rintangan.

Semalam, saya telah menghadiri Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) & pada pagi ini saya amat gembira berada di sini bagi menyaksikan sekali lagi Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Tahun 2021.

Tahniah dan syabas kepada 24 orang Ahli Majlis yang terdiri daripada campuran muka baharu dan lama yang telah terpilih bagi meneruskan perkhidmatan, bersekali dengan pakej amanah dan tanggungjawab bermula 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2021, berdasarkan kuasa yang diberi di bawah Seksyen 10 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976, Pihak Berkuasa Negeri.

Mengikut rekod, 19 orang Ahli Majlis adalah lantikan semula manakala 5 orang lagi adalah terdiri daripada muka baharu. Kerajaan Negeri meletakkan harapan yang tinggi agar semua Ahli Majlis yang bakal mengangkat sumpah pada hari ini dapat meningkatkan prestasi dan tahap kecekapan masing-masing dalam melaksanakan dasar dan perkhidmatan kepada rakyat.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Musibah pandemik COVID-19 telah meninggalkan impak yang begitu ketara dalam kehidupan manusia sejagat. Semua daripada kita tidak terkecuali menerima tempias dan kesan daripada wabak ini. Melangkah ke tahun 2021 dengan norma baharu, lembaran dibuka dengan penuh semangat dan iltizam dalam terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Kerajaan Negeri yakin dan percaya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di bawah kepimpinan Datuk Bandar mampu meneruskan prestasi dan pencapaian cemerlang untuk memacu pembangunan kawasan Seberang Perai yang lebih komprehensif. Era pandemik COVID-19 telah membawa kepada corak perubahan dan pembaharuan perkhidmatan seiring dengan keperluan dan kehendak semua lapisan masyarakat.     

Sebagai antara petugas barisan hadapan, saya memahami situasi sukar ini terutama dalam mendepani rakyat yang bukan sahaja dibelenggu wabak COVID-19 malah turut terhimpit dengan situasi ekonomi yang tidak menentu. Kerajaan Negeri pasti kesemua mantan Ahli Majlis sudah melakukan yang terbaik dan saya ingin mengucapkan selamat berjaya dalam bidang baru yang diceburi dan tidak berputus asa dalam membantu rakyat walaupun sudah tidak bergelar Ahli Majlis.

Pujian harus diberikan atas segala inisitif yang telah digerakkan oleh MBSP terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dengan menyediakan lebih 100 perkhidmatan secara atas talian melalui Cyber Counter, di samping meneruskan usaha Kerajaan Negeri dengan meneroka Ekonomi Digital serta memperkenalkan Pelan Pasca Pemulihan Ekonomi bagi memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi yang lebih progresif dengan matlamat dan tujuan hanya lah bagi membangkitkan dan merancakkan kembali ekonomi yang terjejas kesan pandemik COVID-19.

Justeru, melalui Bajet Tahun 2021 dengan tema “Pembangunan Ekonomi Tempatanyang telah dibentangkan, MBSP telah menggariskan Pelan Pasca Pemulihan Ekonomi yang merangkumi 15 pelan pemulihan yang memberikan manfaat kepada bukan sahaja individu malah entiti-entiti di sektor ekonomi yang terjejas. MBSP akan membelanjakan sejumlah RM333.22 juta berbanding anggaran pendapatan sebanyak RM299.25 juta dengan defisit sejumlah RM33.97 juta, sebagai pendekatan pengurusan berdasarkan kemampuan dengan mengutamakan program dan projek yang berteraskan keperluan rakyat dan memberi kesan kepada keadaan ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Antaranya adalah seperti pemberian rebat 30% ke atas cukai taksiran bagi tahun 2020 kepada pembayar cukai, pengeluaran lesen serta merta setelah menerima permohonan lengkap bagi permohonan lesen premis dan iklan (tidak berisiko), lesen penjaja dan lesen veterinar.

MBSP turut akan memberi fokus ke atas lapan (8) keutamaan teras berdasarkan respon penduduk semasa sesi dialog bajet yang telah diadakan merangkumi pelbagai inisiatif yang sudah pasti memenuhi aspirasi Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Saya dimaklumkan pada hari ini, MBSP akan melancarkan Pelan Strategik Dasar Keterangkuman Gender dan Seberang Perai Corporate Priorities 2021 (SPCP 2021). Seperti mana yang semua sedia maklum, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah pun melancarkan Dasar Keterangkuman Gender pada Januari 2019 sebagai perintis untuk menggalakkan semua agensi/ jabatan di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri mengamalkan prinsip kesaksamaan gender selaras dengan aspirasi Penang2030 dan Sustainable Development Goals (SDG5– Gender Equality) untuk melahirkan rakyat Pulau Pinang yang inklusif tanpa diskriminasi.

Justeru, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Bandar dan Unit Keterangkuman Gender MBSP yang telah menyahut inisiatif ini sehingga menghasilkan Pelan Strategik DKG MBSP 2021-2030.  Dengan adanya Pelan Strategik ini, saya berharap MBSP akan berjaya memenuhi Dasar Keterangkuman Gender yang telah digariskan oleh Kerajaan Negeri.

Saban tahun MBSP akan menghasilkan dokumen strategik yang menggariskan KPI yang perlu dicapai bagi tahun semasa. Sekali lagi pada tahun ini, MBSP turut akan melancarkan Seberang Perai Corporate Priorities 2021 yang bakal menjadi dokumen rasmi bagi MBSP mencapai KPI yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dan juga hasil soal selidik yang dijalankan ketika penyediaan Bajet 2021.

Dokumen ini mengandungi 152 program dengan 255 Key Performance Index (KPI).  Oleh yang demikian, saya berharap semua Ahli Majlis yang dilantik pada hari ini dapat meneliti dan memahami kedua-dua dokumen ini dan membantu MBSP untuk mencapai KPI yang ditetapkan kerana semua ini adalah untuk kesejahteraan warga Seberang Perai khususnya dan Pulau Pinang secara amnya.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah, syabas dan selamat berkhidmat kepada kesemua 24 orang Ahli Majlis yang telah terpilih. Saya menyeru agar Ahli Majlis-Ahli Majlis dapat menjalinkan hubungan yang erat dan bekerjasama rapat sebagai satu pasukan yang lebih kuat dengan MBSP bagi meneruskan dasar dan keputusan kerajaan. Sebagai antara barisan hadapan, Ahli Majlis perlu lebih proaktif, selain menegakkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti masing-masing.

Selamat Berkhidmat dan Selamat Maju Jaya.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang