UPACARA PENGAKUAN PENERIMAAN JAWATAN  AHLI MAJLIS-AHLI MAJLIS MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

DI UPACARA PENGAKUAN PENERIMAAN JAWATAN

 AHLI MAJLIS-AHLI MAJLIS

MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG

 

7  JANUARI 2020 (HARI KHAMIS)

DEWAN PERSIDANGAN MAJLIS, DEWAN BANDARAYA,

JALAN PADANG KOTA LAMA

********************************

YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singah

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan & Perancangan Bandar dan Desa

YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Dato' Abdul Razak bin Jaafar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Dewan Rakyat

Yang Berbahagia Dato’ Ar. Yew Tung Seang

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Ahli–Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Yang Berusaha Dato’ Ir. Addnan bin Razali

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Ketua-Ketua Jabatan

Para Wartawan

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) atas komitmen yang telah diberikan dalam memastikan Majlis Pengakuan Penerimaan Jawatan Ahli Majlis-Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada pagi ini dapat dijalankan dengan jayanya.

Tahniah dan syabas kepada kesemua 24 orang (3 muka baharu) yang telah terpilih bagi menggalas jawatan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk tempoh setahun mulai 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2021, mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan.

Sebagai Ahli Majlis,  tuan-tuan dan puan-puan adalah bertanggungjawab untuk menggerakkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang Memimpin Sambil Berkhidmat kepada rakyat Negeri Pulau Pinang.

Penang 2030

 

Sepertimana yang sering ditekankan, Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara memerlukan penglibatan dan penyertaan semua lapisan masyarakat. Oleh itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut tidak ketinggalan untuk meningkatkan keupayaan dalam merangka dan melaksanakan pembangunan yang mampan, pintar serta inklusif seiring dengan aspirasi bagi merealisasikan dan menjayakan visi dan aspirasi ini.

Sebagai antara barisan hadapan, jawatan yang bakal disandang ini adalah sangat besar tanggungjawabnya dalam memastikan pembayar cukai memperolehi perkhidmatan terbaik serta manfaat daripada hasil yang diterima oleh Majlis melalui pelaksanaan program dan projek yang menyokong pembangunan ekosistem di Pulau Pinang.

Negeri Pintar

Data is King, Talent is Everything.  Pulau Pinang kini sedang menuju ke arah negeri pintar yang bertaraf antarabangsa menjelang tahun 2030. Pemerkasaan rakyat dalam proses pembuat keputusan turut diperlukan dan transformasi digital mestilah diterapkan dalam praktis dan prosedur agensi Kerajaan seiring dengan reformasi institusi dan revolusi industri. Usaha secara berterusan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meraih manfaat daripada penggunaan data raya dalam perancangan polisi jabatan demi mencapai keputusan paling efektif dalam masa tersingkat amat dihargai. 

Urus Tadbir

Perkhidmatan awam perlu lebih anjal dalam penyampaian perkhidmatan dan perlu sentiasa berorientasikan kepada kehendak rakyat yang dinamik.  Segala keputusan yang diambil dan perkhidmatan yang diberi akan membawa kesan secara langsung kepada pembayar cukai di kawasan pentadbiran MBPP.  Kejayaan MBPP bukan sahaja bergantung semata-mata kepada pihak pengurusan yang berwibawa dan berkesan tetapi juga hasil sokongan, komitmen dan “team work” daripada semua Ahli Majlis, pegawai dan kakitangan. Peranan dan sumbangan semua peringkat warga MBPP serta sikap bertanggungjawab dan dedikasi yang tinggi untuk memajukan MBPP amatlah penting dan perlu dibudayakan.

Saya merakamkan penghargaan kepada semua agensi Kerajaan termasuk MBPP di dalam mengamalkan perbelanjaan berhemah dan urus tadbir berasaskan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus). Norma baharu semasa berdepan cabaran pandemik COVID-19 telah mendorong warga MBPP untuk mengubah sistem dan gaya pengurusan organisasi serta penyampaian perkhidmatan masih dapat  dikekalkan secara maya pada tahap yang terbaik.

Kesejahteraan Dan Daya Saing Bandar

Peruntukan kewangan sebanyak RM382.29 juta telah disediakan pada tahun 2021 bagi mendukung aspirasi persekitaran sosio ekonomi yang sejahtera dan berdaya saing.

MBPP menitikberatkan keperluan penyediaaan kemudahan awam dan prasarana untuk keselesaan rakyat. Pelbagai projek telah dirancang dan dianggarkan menelan perbelanjaan sebanyak RM54.43 juta. Di antara projek yang dicadangkan untuk meningkatkan kemudahan dan keselesaan kepada rakyat adalah:

  • Penyediaan inisiatif projek Bandar Pintar sebanyak RM2.70 juta bagi melaksanakan program perkhidmatan digital, penyelenggaraan video analytic, pembangunan Geographical Information System

 

  • Projek Pusat Penyimpanan dan Pengedaran Ayam, Naiktaraf Pasar dan Kompleks Makanan serta Balai Rakyat sebanyak RM11.93 juta
  • Pengubahsuaian perumahan awam MBPP sebanyak RM2.69 juta

Negeri Pulau Pinang juga berjaya merekodkan kadar kitar semula sebanyak 31.57 % pada tahun 2020 dan usaha penambahbaikan akan terus dibuat, terutama sekali apabila melibatkan perancangan Integrated Waste Management System dengan penyediaan Kemudahan Infrastruktur  Material Recovery Facility, Construction Waste Resource Recovery Facility, Waste To Energy dan sebagainya.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang percaya bahawa MBPP akan terus komited untuk mengekalkan dan mempertingkatkan status Bandaraya Pulau Pinang sebagai salah sebuah bandaraya yang terbersih di Malaysia dan rantau ASEAN dan bagi aspek ini, MBPP telah memperuntukkan sebanyak RM59.94 juta bagi tahun 2021.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyanjung tinggi kerja-kerja pembersihan awam yang sebahagian besarnya diuruskan oleh seramai 835 orang kakitangan MBPP (rakyat tempatan).

Saya difahamkan bahawa MBPP akan terus melaksanakan program-program penghijauan dan keceriaan bandar seperti penanaman pokok, kerja-kerja landskap, menaiktaraf taman dan kawasan permainan kanak-kanak serta pemasangan lampu hiasan. Bagi tujuan ini, peruntukan sebanyak RM7.92  juta telah disediakan.

Bagi memperkasakan rangkaian infrastruktur jalan dan lalulintas, MBPP akan meneruskan Projek Pembinaan Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong serta membina sebahagian jalan dari Jalan Thean Teik ke Jalan Kg Pisang, menaiktaraf dan menyelenggara laluan pejalan kaki  di mana RM8.54  juta diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

MBPP juga telah berusaha untuk menggalakkan penggunaan basikal yang mesra alam dan untuk tujuan rekreasi.  Sebanyak RM1.02 juta telah diperuntukkan untuk Projek Pembinaan Laluan Basikal dari Komtar sehingga ke kawasan Ayer Itam termasuk penyelenggaraan laluan basikal sedia ada.

MBPP juga turut merancang untuk meningkatkan pencahayaan dengan pelaksanaan kerja penukaran keseluruhan 10,407 unit lampu jalan ke jenis LED. Untuk tujuan ini, peruntukan sebanyak RM6.50 juta telah disediakan bagi tahun 2021.

Penyelenggaraan jalan, parit, bahu jalan dan laluan pejalan kaki      merupakan satu perkhidmatan yang diberikan perhatian yang serius oleh Majlis. Peruntukan sebanyak RM4.17 juta telah disediakan untuk tujuan menaiktaraf sistem saliran di kawasan Bandar George Town, terutamanya di Lebuh Cintra, Jalan Pintal Tali, Jalan P. Ramlee dan Lebuh   Kimberley. Bagi kerja penurapan jalan dan bahu jalan serta laluan di Jalan Residensi dan Jalan Hutton, sebanyak RM0.50 juta disediakan.

Bagi memperkukuhkan bandar yang selamat, sebanyak 1001 buah kamera CCTV telah dipasang yang dapat dipantau dari aspek keselamatan awam, pemantauan lalu lintas dan pengurusan bencana. Pada tahun 2021, peruntukan sebanyak RM5.16 juta adalah disediakan oleh Majlis bagi penyelenggaraan kamera-kamera CCTV.

George Town dan Pulau Pinang telah menjadi satu lagi tarikan bagi destinasi pelancongan warisan dan destinasi untuk didiami, bekerja, belajar dan beriadah. Sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan bagi pemuliharaan bangunan warisan, naiktaraf lorong belakang dan laluan awam serta penyelenggaraan bangunan usang bagi mengekalkan status George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

 

Nilai Pembangunan

Nilai Pembangunan Kasar (GDV) merupakan projek-projek yang diluluskan oleh MBPP berdasarkan Pelan Kebenaran Merancang dan Pelan Bangunan serta telah mempunyai Notis Mula Kerja, yang mana ia menggambarkan nilai sebenar nilai pembangunan di bahagian Pulau.

Pada tahun 2019, GDV di bahagian Pulau adalah berjumlah RM 2,567,999,520 hasil daripada pembangunan yang telah diluluskan oleh MBPP. GDV bagi tahun 2020 adalah sebanyak RM2,575,493,593. Jumlah ini dijangka akan berkekalan bagi keseluruhan tahun 2021.

Dalam hal-hal yang dinyatakan, saya yakin bahawa segala agenda ini dapat dilaksanakan dengan jayanya oleh Ahli Majlis, Ketua Jabatan, Pegawai dan kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dari semua peringkat. Kesungguhan dan komitmen akan menghasilkan kecemerlangan ke arah mewujudkan sebuah bandar raya yang pintar dari aspek bersih, ceria dan indah demi kesejahteraan semua penduduk di kawasan pentadbiran MBPP.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua Ahli Majlis yang baru dilantik dan juga Ahli Majlis-Ahli Majlis yang dilantik semula bagi penggal ini. Semoga kerjasama dan gandingan kukuh ini akan memantapkan lagi pengurusan MBPP dalam merealisaskan aspirasi MBPP sekaligus membawa Pulau Pinang terus unggul ke persada antarabangsa.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang