MAJLIS SUMBANGAN IKHLAS BEG PENYAYANG ONE HOPE CHARITY 

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS SUMBANGAN IKHLAS

BEG PENYAYANG ONE HOPE CHARITY 

10 JANUARI 2021

Yang Berbahagia Dato Seri R. Arunasalam

Penasihat One Hope Charity & Welfare

Yang Berusaha Encik Chua Sui Hau

Pengerusi One Hope Charity & Welfare

Para jemputan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtara.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada One Hope Charity & Welfare atas penganjuran Majlis Sumbangan Ikhlas Beg Penyayang One Hope Charity & Welfare pada pagi yang berbahagia ini.

Seperti mana yang semua sedia maklum, One Hope Charity & Welfare (One Hope) semestinya sudah tidak asing lagi sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang paling aktif menjalankan misi kebajikan di negeri ini. Sejak penubuhannya pada tahun 2002, One Hope telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada ratusan ribu orang yang kurang berkemampuan.

Terbaru, One Hope telah membantu Kerajaan Negeri untuk mendirikan Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC) di Kompleks Sukan Balik Pulau dengan kapasiti yang boleh memuatkan sehingga 450 buah katil. Tahniah dan terima kasih kepada One Hope!

Dan pada pagi ini, One Hope telah meneruskan misi bantuan mereka dengan menyediakan 4,200 bakul makanan berupa keperluan asas bernilai RM300 bagi setiap satu untuk disumbangkan kepada keluarga yang kurang berkemampuan di negeri ini, dengan jumlah peruntukan keseluruhannya adalah sebanyak RM1.26 juta.

One Hope melakar sejarah yang tersendiri apabila majlis pada hari ini turut dijalankan secara serentak di 40 KADUN di Pulau Pinang, bertujuan bagi memudahkan proses edaran bantuan, di samping mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP). Kerajaan Negeri berharap agar bantuan yang diberikan ini memberi sedikit kegembiraan dalam mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung.

Sesungguhnya, Kerajaan Negeri amat bertuah kerana di Pulau Pinang, kita mempunyai badan bukan kerajaan (NGO) yang sangat aktif dan prihatin, yang sentiasa bersama-sama Kerajaan Negeri dalam menghadapi tempoh sukar ini. Kerajaan Negeri berharap program sedemikian dapat membuka mata rakyat serta agensi dan NGO yang lain untuk memainkan peranan dan bertindak sebagai sebuah keluarga bersama Kerajaan Negeri dalam melaksanakan tanggungjawab kebajikan sosial kepada rakyat.

Akhir kata, tahniah dan syabas kepada One Hope atas usaha yang amat bermakna ini. Semoga One Hope akan terus mengorak langkah lebih maju dalam menjayakan misi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang