SIDANG MEDIA PENYERAHAN SIMBOLIK REPLIKA CEK KEPADA SEKOLAH-SEKOLAH CINA DAN MUBALIGH TAHUN 2021

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, Y.A.B. TUAN CHOW KON YEOW PADA SIDANG MEDIA PENYERAHAN SIMBOLIK REPLIKA CEK KEPADA SEKOLAH-SEKOLAH CINA DAN MUBALIGH TAHUN 2021

9 FEBRUARI 2021, (SELASA); BILIK GERAKAN, TINGKAT 28, KOMTAR

———————————————————————————— 

YB Puan Chong Eng

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Hal-Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh

YB Tuan Wong Hon Wai

Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Naib Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh

Encik Lee Tiam Lim

Pengerusi Persatuan Gabungan Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Pulau Pinang

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

 Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke Majlis Penyerahan Replika Cek kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Cina Persendirian bagi tahun 2021 pada hari yang berbahagia ini.

Ini merupakan acara tahunan, namun buat julung kalinya diadakan tanpa kehadiran wakil dari sekolah sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini. Tahniah dan syabas kepada ahli-ahli jawatankuasa yang telah berjaya menyiapkan pengagihan peruntukan tahun 2021 di bawah normal baharu ini.

Hadirin sekalian,

Saya dimaklumkan bahawa jumlah permohonan bagi 125 sekolah adalah melebihi RM45,410,000. Walau bagaimanapun, kelulusan akhir yang diberikan adalah berjumlah RM8,368,000 yang mana daripada jumlah tersebut, RM6,368,000 telah diluluskan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Mubaligh.

Pecahan semua permohonan berkaitan adalah seperti berikut:-

i) Peruntukan sebanyak RM400,000 atau 6.3 peratus digunakan untuk pembinaan bangunan baru;

ii) Peruntukan sebanyak RM596,000 atau  9.4 peratus untuk membaiki kerosakan struktur sekolah seperti bumbung, siling serta tangki sekolah;

iii) Peruntukan berjumlah RM1,172,000 atau 18.4 peratus adalah untuk membaiki struktur sekolah yang mengancam keselamatan warga sekolah seperti pendawaian semula bagi bangunan uzur dan mengalami ancaman anai-anai sehingga mampu membahayakan keselamatan pelajar;

iv) RM6,000 atau 0.1 peratus untuk tujuan kerja-kerja pengubahsuaian;

v) RM811,000 atau 12.7 peratus untuk menaik taraf tandas serta perparitan sekolah;

vi) RM537,000 atau 8.4 peratus disalurkan untuk tujuan menaik taraf kemudahan sekolah;

vii) RM333,000.00 atau 5.2 peratus bagi tujuan pemagaran sekolah;

viii) RM1,475,000 atau 23.2 peratus digunakan untuk penaiktarafan bilik darjah, tapak sukan serta kantin;

ix) RM25,000 atau 0.4 peratus diluluskan untuk membeli kelengkapan sekolah;

x) Kelulusan peruntukan RM340,000 atau 5.3 peratus untuk menubuhkan MakerLab;

xi) RM673,000 atau 10.6 peratus untuk lain-lain tujuan.

Manakala baki sebanyak RM2 juta pula akan disalurkan kepada lima (5) buah Sekolah Menengah Persendirian.

Kesemua peruntukan ini bakal disalurkan ke akaun Lembaga Pengurusan Sekolah bagi Sekolah Cina, manakala sekolah yang tidak memiliki Lembaga Pengurusan Sekolah, peruntukan akan disalurkan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekiranya dokumen lengkap telah diserahkan.

Saudara dan saudari sekalian,

Semua pembayaran peruntukan hanya akan dibuat mengikut tatacara kewangan, maka, di sini saya ingin menyeru kepada pihak sekolah supaya memberi kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa bagi memudahkan proses pembayaran dibuat pada tempoh terdekat.

Hampir satu tahun krisis pandemik COVID-19 berlaku, ia lazimnya memberikan cabaran  dan impak yang cukup besar kepada semua.

Kepada warga pendidik, Lembaga Pengurusan Sekolah dan PIBG, anda memainkan peranan utama yang penting demi memastikan sistem pengajaran serta pembelajaran tidak terjejas sepanjang tempoh ini.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah menunjukkan kegigihan dan memberikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Sebagai penghujung kata, saya ingin menegaskan bahawa perjuangan memerangi pandemik COVID-19 masih berterusan, maka, komuniti serta individu adalah dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi SOP kerana ia merupakan ‘vaksin’ paling berkesan dalam memutuskan rantaian perebakan wabak ini.

Teruskan amalkan amalan 4P iaitu, Penjarakan fizikal; Pakai Pelitup Muka; Pencucian Tangan Menggunakan Sabun dan Perhatikan Gejala COVID-19. Kita mampu menang!

 Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang