SESI PENYERAHAN KUNCI PROJEK RUMAH MAMPU MILIK JIRAN RESIDENSI, KAMPUNG JAWA

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA SESI PENYERAHAN KUNCI

 PROJEK RUMAH MAMPU MILIK JIRAN RESIDENSI, KAMPUNG JAWA, BUTTERWORTH

4 FEBRUARI 2021 (KHAMIS)

YB Jagdeep Singh Deo A/L Karpal Singh

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Perancangan Bandar & Desa

YB Satees A/L Muniandy

Adun Bagan Dalam

 

Ybhg. Dato' Sr Hj Rozali Bin Hj Mohamud

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Yang Berbahagia Dato’ Mohd Bazid Hj Abd. Kahar

Ketua Pegawai Eksekutif PDC

 

Dif-Dif Kehormat

 

Pihak Pengurusan PDC

 

Para Pembeli Projek Jiran Residensi

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Dihormati Sekalian



Pertama sekali, saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua pihak yang menyertai Sesi Penyerahan Kunci Projek Rumah Mampu Milik Jiran Residensi, Kampung Jawa, Butterworth secara virtual pada hari yang berbahagia ini.

Tahniah dan syabas kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan program pada hari ini dapat dijayakan meskipun terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya dimaklumkan bahawa seramai enam (6) penerima telah dijemput untuk menerima kunci rumah sebagai simbolik program pada hari ini.

Hadirin sekalian,

Seperti mana yang semua sedia maklum, Jiran Residensi merupakan projek ketiga Skim Rumah Mampu Milik (RMM) yang telah berjaya dibina dan disiapkan oleh Kerajaan Negeri dan PDC, selain daripada projek Suria 1 di Bandar Cassia, Batu Kawan (disiapkan pada Mei 2018), dan Dua Residensi di Teluk Kumbar (disiapkan pada September 2020).

Dengan tanah berkeluasan 8.84 ekar, kerja-kerja pembinaan projek Jiran Residensi telah bermula pada 17 November 2014 dan berjaya memperoleh Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 26 Januari 2021. Kos pembangunan keseluruhan (GDC) adalah sebanyak RM126 juta dan telah dibiayai melalui dana Perumahan Mampu Milik yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM500 juta.

Seperti mana yang semua sedia maklum, pembangunan Jiran Residensi adalah terdiri daripada dua (2) menara yang mana Menara A merupakan rumah pangsapuri kos sederhana berharga di antara RM250,000 - RM275,000 dan mempunyai 35 tingkat dengan 354 unit. Manakala Menara B pula merupakan rumah pangsapuri kos sederhana rendah (RM72,500) yang terdiri daripada 25 tingkat dengan 353 unit - menjadikan keseluruhannya adalah sebanyak 707 unit.

Selain dilengkapi dengan ciri-ciri fasiliti termasuk lima (5) tingkat tempat letak kenderaan, dewan serbaguna, surau dan tadika, lokasi Jiran Residensi tersebut adalah sangat strategik serta dikelilingi pelbagai kemudahan yang mudah diakses seperti:

  • Sekolah Kebangsaan St. Mark;
  • Terminal feri dan terminal bas;
  • Pasar Sri Bandar;
  • Penang Sentral (terminal feri);
    • Kawasan Perindustrian Mak Mandin;
    • Kawasan Perindustrian Perai;
    • Jambatan Pulau Pinang;
    • Hospital Seberang Jaya;

Saudara dan Saudari sekalian,

Meskipun turut berdepan dengan kesulitan semasa tempoh pandemik COVID-19, namun PDC berjaya memastikan projek-projek yang berkepentingan rakyat dalam disiapkan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. PDC sebagai peneraju pembangunan dan penggerak ekonomi Kerajaan Negeri telah memberikan komitmen yang cukup tinggi dalam memastikan segala perancangan dan pelaksanaan strategi pembangunan negeri dapat direalisasikan, sekaligus mencapai sasaran Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Rakyat Inspirasi Negara.

Mengikut rekod, PDC sebagai pemaju yang bertanggungjawab untuk membina Perumahan Mampu Milik telah berjaya menyiapkan 1,921 unit Rumah Mampu Milik termasuk projek Jiran Residensi. Sebanyak 535 lagi unit masih dalam pembinaan dan 14,896 unit sedang dalam perancangan.

Antara projek yang masih dalam peringkat pembangunan adalah seperti berikut: -

  • Projek Cecil Residensi, Georgetown yang masih 5 peratus dalam pembinaan serta mempunyai 348 unit;
  • Projek Mak Mandin Residensi, Butterworth yang masih baru iaitu pada 5 peratus peringkat pembinaan.

Kerajaan Negeri percaya bahawa dengan penyerahan kunci kepada pemilik unit projek pada hari ini, ianya terbukti bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah komited kepada resolusinya untuk menyediakan perumahan mampu milik bagi rakyat negeri yang layak.

Akhir kata, saya ingin berterima kasih kepada PDC atas sumbangan dan usaha gigih mereka dalam menggalas amanat Kerajaan Negeri bagi bersama-sama merancang serta melaksanakan projek kediaman yang mampu melestarikan hidup yang harmoni, selamat dan terjamin untuk seluruh warga Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang