SESI LIBAT URUS PEMEGANG TARUH TOP-UP WOMEN-ONLY ADDITIONAL SEATS (TWOAS)
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA SESI LIBAT URUS PEMEGANG TARUH
TOP-UP WOMEN-ONLY ADDITIONAL SEATS (TWOAS)
23 JANUARI 2021
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua, sama ada secara fizikal ataupun secara maya sempena Sesi Libat Urus Pemegang Taruh Top-Up Women-Only Additional Seats (TWOAS) pada pagi yang berbahagia ini.
Selaras dengan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, inisiatif TWOAS mampu untuk membawa Pulau Pinang terus mengorak langkah yang lebih progresif pada masa hadapan.
Hadirin sekalian,
Apabila kita bicara mengenai perwakilan wanita di peringkat pembuat keputusan sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ataupun Lembaga Pengarah Syarikat terutamanya di Syarikat Kerajaan Negeri (GLC), kita harus ingat bahawa prinsipnya sama dengan peluang akademik dan kerjaya yang diberikan kepada golongan wanita.
Kerajaan Negeri sekali ingin ingin menyatakan komitmen untuk terus memberi penekanan terhadap agenda pemerkasaan wanita termasuk keterangkuman gender yang akan menjadi sebahagian daripada dasar penting di negeri ini melalui portfolio Pembangunan Sosial.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil serius syor dan deklarasi antarabangsa berkaitan hak-hak wanita terutamanya dari Beijing Platform for Action yang menyeru minimum 30% perwakilan wanita di peringkat pembuat keputusan. Namun mengikut Inter-Parliamentary Union 2020, Malaysia berada di tangga ke-140 daripada 190 negara dalam perwakilan wanita di peringkat Parlimen di mana sememangnya wujud jurang perwakilan wanita yang sangat ketara - kini cuma 1 daripada 7 orang ahli Parlimen dan 1 daripada 9 orang ADUN di seluruh Malaysia adalah wanita.
Oleh itu, kita semua yang mengikuti sesi pada hari ini mempunyai tanggungjawab yang cukup besar untuk mengatasi halangan sistemik dalam penyertaan wanita dalam politik di Malaysia dan pelbagai tindakan afirmatif diperlukan untuk merintasi halangan tersebut.
Hadirin sekalian,
Kuota gender sukar dilaksanakan oleh parti politik di bawah sistem First-Past-The-Post sedia ada yang menggunakan single-member constituencies, iaitu satu parti satu calon di satu kawasan. Kebanyakan negara yang mempunyai perwakilan wanita yang tinggi mempunyai sistem pilihan raya yang menggunakan multi-member constituencies, di mana satu parti boleh mencadangkan ramai calon di satu kawasan. Akan tetapi, Perkara 117 dalam Perlembagaan Persekutuan menentukan bahawa pilihan raya mestilah berdasarkan kepada sistem 'single-member constituencies' atau sistem daerah.
Maka, selepas dikaji dengan teliti, kita memerlukan inovasi seperti TWOAS, di mana kita tidak perlu majoriti dua-pertiga di Dewan Rakyat untuk meminda Perkara 117 dalam Perlembagaan Persekutuan dan majoriti dua-pertiga di DUN adalah cukup untuk meminda Perkara 14 dalam Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
Sebagai usaha untuk meningkatkan perwakilan wanita di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), kita akan menambahkan “ADUN wanita dilantik” atau “nominated femalemembers” di samping ADUN-ADUN yang telah dipilih secara langsung dalam pilihan raya. Ini adalah inovasi pertama: sistem pilihan raya baru yang sesuai untuk kuota gender.
ADUN wanita tersebut akan dilantik hanya apabila peratusan wanita kurang daripada 30%, itu sebabnya ianya dipanggil sebagai “Top-Up Women-Only Additional Seats” (TWOAS) atau Kerusi Tambahan untuk Wanita.
TWOAS akan dilantik oleh rakyat melalui pilihan raya, cuma secara tidak langsung. Kerusi-kerusi TWOAS ini akan dibahagikan kepada parti kerajaan dan parti pembangkang dan diisi dengan calon mengikut keutamaan (preferences) yang ditentukan oleh parti masing-masing.
Sistem ini akan dilaksanakan berdasarkan peratusan undi yang diperolehi oleh parti politik masing-masing semasa pilihan raya. TWOAS akan memanfaatkan semua pihak secara adil, baik di pihak kerajaan, mahupun pihak pembangkang. Ini adalah inovasi kedua TWOAS: kerusi tambahan menguntungkan semua parti mengikut ‘vote share’.
Wakil-wakil TWOAS akan mewakili seluruh negeri, dan keprihatinan mereka ialah isu-isu seperti isu keganasan terhadap wanita, ibu tunggal, pendidikan, alam sekitar dan Industrial Revolution 4.0 dan sebagainya, maka mereka perlu berkhidmat melalui wadah yang baru seperti select committees di DUN supaya dapat memberi input polisi yang holistik kepada pentadbiran negeri. Maka, TWOAS akan disusuli dengan DUN yang lebih dinamik dan efektif dan ini merupakan inovasi yang ketiga.
Dalam erti kata lain, TWOAS adalah satu inisiatif 3-in-1 yang Pulau Pinang akan memperkenalkan dalam sistem pilihan raya baru dengan minimum disruption supaya dapat mencapai tiga (3) manfaat: perwakilan wanita yang lebih, kerusi tambahan untuk semua parti secara proportional dan DUN yang lebih dinamik.
Kerajaan Negeri amat yakin inisiatif ini akan menjadi tanda aras antarabangsa untuk mencapai sekurang-kurangnya 30% perwakilan wanita dan akhirnya 40:40:20, sebagai nisbah keterangkuman gender di tahap pembuat keputusan.
Di sini saya menyeru sokongan padu daripada kepimpinan sedia ada dari pelbagai peringkat untuk bersama-sama mencipta sejarah, demi kesejahteraan semua lapisan rakyat Pulau Pinang yang kita berkhidmat dan harapan untuk reformasi lebih besar di Malaysia. Sekian, terima kasih.