SESI PENYERAHAN KOMPUTER UNTUK BANTUAN KHAS PEMBERIAN SET PERANTI KOMPUTER KEPADA USAHAWAN MIKRO

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA SESI PENYERAHAN KOMPUTER UNTUK BANTUAN KHAS PEMBERIAN SET PERANTI KOMPUTER KEPADA USAHAWAN MIKRO

16 FEBRUARI 2021

BILIK GERAKAN PARAS 28, KOMTAR

 

YB Dato’ Abdul Halim bin Haji Hussain

EXCO Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan

Yang Berbahagia Dato’ Mohd Bazid bin Haji Abd Kahar

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC)

 

Para Pegawai PDC

Para Penerima Set Peranti Komputer

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke Sesi Penyerahan Komputer untuk Bantuan Khas Pemberian Set Peranti Komputer kepada Usahawan Mikro pada petang yang berbahagia ini.

Sepertimana yang semua sedia maklum, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui MMK Pembangunan Keusahawanan pada November 2020 yang lalu telah melancarkan Skim Perintis Program Usahawan Mikro Go Digital, sebagai inisiatif tambahan bagi membantu para usahawan yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.

Melalui skim ini, para usahawan diberikan set peranti komputer yang bertujuan untuk memudahkan urusan transaksi perniagaan dijalankan secara digital, susulan pandemik COVID-19 yang mengubah tuntutan dan kehendak trend perniagaan serta membataskan aktiviti perniagaan secara fizikal.

Seperti yang dimaklumkan oleh YB Dato’ Abdul Halim sebentar tadi, sebanyak 1,808 borang permohonan telah diterima oleh PDC yang merupakan sekretariat bagi skim ini. Sebanyak enam (6) kategori telah dikenalpasti merangkumi produk, perniagaan online, pakaian, makanan & minuman, runcit dan perkhidmatan.

Daripada jumlah permohonan tersebut, seramai 350 orang usahawan telah dikenalpasti bagi menerima 350 set peranti komputer yang secara keseluruhannya bernilai RM320,950.00. Pengagihan akan dilaksanakan bermula hari ini secara berperingkat dan dijalankan dalam beberapa sesi, di mana satu (1) sesi akan diagihkan kepada 10 orang penerima sahaja sehingga selesai 350 unit set peranti komputer tersebut.

Dan pada hari ini, tiga (3) orang usahawan telah dijemput sebagai simbolik untuk menerima set peranti komputer di bawah Skim Perintis Program Usahawan Mikro Go Digital ini. Tahniah dan syabas kepad semua.

Kerajaan Negeri berharap dengan adanya set peranti komputer ini, para usahawan akan dapat menguasai ilmu digital sekaligus merebut peluang besar untuk meningkatkan serta melonjakkan aktiviti perniagaan masing-masing melalui platform e-dagang tanpa sempadan ini.

Selaras dengan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, Kerajaan Negeri percaya usaha ini akan memberi manfaat secara jangka masa panjang kepada para usahawan untuk terus menguasai ilmu digital dan komuniti “knowledge economy” sekaligus membuka peluang lebih besar kepada mereka dalam meningkatkan jualan dan menguasai pasaran.

Akhir kata, tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat termasuklah Bahagian Usahawan, PDC serta Ahli Jawatankuasa Pemilihan Bantuan Set Peranti Komputer yang telah memastikan segala proses berjalan dengan lancar dan sempurna.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang