PENYAMPAIAN WATIKAH (ATAS TALIAN) FIRST SUPPORT POINT DASAR KELUARGA SELAMAT
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA UPACARA PENYAMPAIAN WATIKAH (ATAS TALIAN)
FIRST SUPPORT POINT DASAR KELUARGA SELAMAT
KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
20 FEBRUARI 2021
YB Chong Eng
Ahli EXCO Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Selain Islam
YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
Ahli EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa
YB Dato ' Hj Abdul Halim Bin Hj Hussain
Ahli EXCO Perdaganan, Industri Dan Pembangunan Usahawan
YB Dr. Hajjah Norlela Binti Ariffin
Ahli EXCO Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar Dan Kesihatan
Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri
Tuan Muhamad Husni Bin Mahmud
Timbalan Setiausaha Bahagian (Sektoral), Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN), PSUKPP
Puan Ong Bee Leng
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Women’s Development Corporation
Puan Loh Cheng Kooi
Pengarah Eksekutif Women’s Centre for Change Penang
Rakan Strategik dan Rakan Kerjasama
Rakan-rakan Media
Puan-puan dan tuan-tuan
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke Upacara Penyampaian Watikah First Support Point Dasar Keluarga Selamat Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada petang yang berbahagia ini.
Sesungguhnya upacara pada hari ini mencatatkan sejarahnya yang tersendiri kerana buat julung kalinya berlangsung dalam suasana normal baharu. Watikah ini akan disampaikan secara atas talian kepada 40 Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang telah dilantik secara automatik sebagai First Support Point dalam usaha untuk menangani dan membantu mangsa-mangsa keganasan rumah tangga.
Mengambil kira keperluan dan kepentingan semasa, Kerajaan Negeri tekad untuk meneruskan usaha ini agar dapat bersama-sama memberi perlindungan serta membasmi perilaku tidak sihat ini sekaligus mewujudkan persekitaran yang selamat dan harmoni untuk keluarga dan masyarakat.
Syabas dan tahniah kepada semua yang telah menghadiri Bengkel Dasar Keluarga Selamat pada tahun lepas di mana ia bertujuan untuk melatih ‘first support point’ yang terdiri daripada Pegawai Kerajaan, Pegawai Seranta KADUN dan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini dengan ilmu dan kemahiran yang sewajarnya. Sesungguhnya Kerajaan Negeri amat menghargai usaha anda semua sebagai barisan hadapan untuk berdepan situasi kritikal ini.
Para hadirin sekalian,
Seperti mana yang semua sedia maklum, Pulau Pinang telah mendahului sekali lagi dengan memperkenalkan Dasar Keluarga Selamat pada sekitar Oktober Tahun 2020 yang lalu sebagai langkah awal dalam mewujudkan khidmat sokongan bagi menangani dan membanteras kes keganasan rumah tangga, yang telah menunjukkan peningkatan statistik yang amat membimbangkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac Tahun 2020 yang lalu.
Menurut kajian daripada Penang Institute pada April 2020, pertubuhan bukan kerajaan yang mengendali kes keganasan rumah tangga seperti SNEHAM dan WCC telah menerima lebih banyak panggilan hotline sejak bulan Mac berbanding pada peringkat sebelum PKP. Sebagai contohnya, panggilan hotline kepada WCC telah meningkat sebanyak 267% dari minggu pertama ke minggu kedua PKP. Selain itu, menurut statistik oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada April tahun 2020, terdapat 343 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan di Pulau Pinang, berbanding dengan 226 kes yang mengikut statistik PDRM pada tahun 2019.
Malah, terdapat ramai mangsa kes keganasan rumah tangga yang mengalami kesukaran untuk mendapat bantuan yang diperlukan, khususnya semasa PKP. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah mewujudkan First Support Point, iaitu usaha triparte antara pihak kerajaan, komuniti akar umbi dan pertubuhan bukan kerajaan untuk memberi sokongan kepada mangsa. First Support Point ini ditubuhkan oleh agensi kerajaan, pejabat agama, Pusat Khidmat ADUN, MPKK, JPWK, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan agama. Peranan First Support Point adalah untuk menyalurkan kes-kes keganasan rumah tangga kepada agensi yang bersesuaian secara bersistematik.
Para hadirin sekalian,
Selaras dengan Visi Penang2030, Kerajaan Negeri bertekad untuk membina suatu ekosistem yang selamat untuk semua keluarga di negeri ini melalui khidmat sokongan, First Support Point di mana rangkaian yang menyeluruh ini dapat memberi lebih banyak akses bagi memudahkan mangsa yang terlibat untuk mendapatkan bantuan.
Situasi pandemik COVID-19 telah mengehadkan pergerakan rakyat dan bukan semua orang boleh mencari bantuan ke hospital, balai polis ataupun pejabat JKM yang berjauhan dengan rumah mereka. Oleh itu, dengan mewujudkan lebih banyak tapak sokongan (support points), saya yakin mangsa-mangsa keganasan rumah tangga dapat mendapatkan bantuan dengan lebih efektif.
Kerajaan Negeri amat menghargai dengan inisiatif yang telah digerakkan oleh YB Chong Eng untuk mengadakan bengkel-bengkel pembangunan kapasiti First Support Points di Pejabat-pejabat Agama untuk fasa seterusnya. Syabas dan saya berharap melalui dasar ini, Kerajaan Negeri akan membangunkan satu sistem sokongan yang lebih luas dan sistematik kepada mangsa keganasan rumah tangga di negeri ini.
Akhir sekali, syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua. Marilah kita bersama-sama untuk terus berganding bahu dalam usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang bebas daripada keganasan (violent- free state).
Sekian, terima kasih.