MAJLIS PENYEMPURNAAN PROGRAM GOTONG- ROYONG PERDANA SEMPENA SAMBUTAN HARI AIR SEDUNIA 2021
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENYEMPURNAAN PROGRAM GOTONG- ROYONG PERDANA SEMPENA SAMBUTAN HARI AIR SEDUNIA 2021 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG
27 MAC 2021
YB Chong Eng
EXCO Pembangunan Sosial Dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap ADUN Padang Lalang
YB Zairil Khir Johari
EXCO Infrastruktur Dan Pengangkutan
YB. Heng Lee Lee
ADUN Berapit
YB. Lee Khai Loon
ADUN Machang Bubuk
Yang Berbahagia Ir. Shukri bin Muslim
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang
Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Negeri
Dif-dif Jemputan
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana menjemput saya bagi bersama-sama memeriahkan Program Gotong-Royong Perdana Sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2021 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang dijalankan serentak di beberapa lokasi di seluruh negara pada pagi yang berbahagia ini.
Tahniah dan syabas kepada JPS Pulau Pinang dan JPS Malaysia dengan kerjasama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang telah memastikan program pada pagi ini dapat dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,
Sememangnya, Kerajaan Negeri amat mengambil berat akan statistik kualiti air sungai yang semakin merosot dan sangat membimbangkan. Kualiti air di Sungai Pinang, Sungai Jawi dan Sungai Juru masih berada antara kelas III dan IV dan sungai-sungai lain di negeri kita tidak menunjukkan peningkatan kualiti air, malahan menunjukkan trend yang tidak konsisten termasuk Sungai Rambai yang berada pada kelas III.
Atas sebab itu, hari ini Sungai Rambai, Bukit Mertajam dipilih sebagai lokasi untuk penganjuran program gotong-royong pada hari ini bersesuaian dengan usaha dan hasrat Kerajaan Negeri untuk mentransformasikan Sungai Rambai menjadi lebih bersih serta bersesuaian sebagai salah satu tempat tumpuan bagi aktiviti riadah kepada penduduk tempatan.
Saya dimaklumkan pada hari ini hampir 150 orang peserta yang terdiri daripada pelajar, badan bukan kerajaan (NGO), MPKK, serta beberapa jabatan kerajaan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Seberang Perai Tengah (PDTSPT), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) turut serta dalam aktiviti pagi ini.
Tahniah dan syabas kepada semua.
Hadirin sekalian,
Memahami situasi tersebut, Kerajaan Negeri sentiasa mengorak langkah proaktif bersama-sama dengan jabatan dan agensi yang terlibat bagi mengatasi masalah kualiti air dan alam sekitar di seluruh negeri Pulau Pinang.
Dengan peruntukan dana daripada Kerajaan Negeri, kerja-kerja pendalaman sungai, pembinaan jalan crusher run untuk dijadikan denai sungai dan juga kerja-kerja pembersihan koridor sungai secara pusingan dapat dijalankan.
Tahniah kepada YB Chong Eng selaku ADUN Kawasan, YB Zairil Khir Johari (selaku EXCO bertanggungjawab), NGO, MPKK serta JPS yang begitu komited dalam usaha mengindahkan dan memperbaiki sebahagian daripada 5.09 km panjang Sungai Rambai ini yang melibatkan peruntukan Negeri dan Persekutuan sebanyak RM435,000 pada tahun 2019 dan RM809,000 pada tahun 2020.
Kerajaan Negeri berharap agar usaha sebegini dapat dijadikan rujukan dan contoh sekaligus merealisasikan sasaran Satu Komuniti Satu Sungai di kawasan DUN masing-masing.
Sukacita dimaklumkan bahawa pada tahun ini sebanyak RM200,000.00 telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri bagi kerja penaiktarafan ban Sungai Rambai dan kerja pengindahan rizab Sungai Rambai bagi manfaat lanjut penduduk di kawasan sekitar.
Para hadirin yang saya hormati,
Selaras dengan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, pelbagai usaha dan penambahbaikan telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan, membina dan serta meningkatkan keupayaan dalam pengurusan air.
Langkah ini diharap dapat menggerakkan inisiatif dalam pemeliharaan kawasan tadahan dan pengurusan sumber air. Pelbagai program dan kempen penjimatan air telah diadakan dan diharapkan juga terdapat perubahan dalam kefahaman pembuat dasar dan masyarakat secara keseluruhannya.
Oleh yang demikian, penglibatan dalam semua lapisan masyarakat sangat digalakkan dalam memastikan sumber air ini terus terpelihara untuk generasi yang akan datang. Setiap warga Pulau Pinang adalah bertanggungjawab mewariskan sumber air yang bersih untuk anak cucu kita pada masa hadapan.
Selaras dengan tema Hari Air tahun ini “Valuing Water”, saya ingin menyeru semua pihak berkepentingan agar memberi perhatian, tumpuan serta mengambil tindakan yang berterusan demi memastikan pengurusan sumber air negara ini secara lestari.
Dengan kak-kata ini, saya dengan sukacitanya menyempurnakan Program Gotong-Royong Perdana Sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2021 peringkat Negeri Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih.