MAJLIS MERAIKAN PENERIMA DARJAH KEBESARAN NEGERI PULAU PINANG & PENYAMPAIAN BANTUAN ZAKAT BAGI TAHUN 2020
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS MERAIKAN PENERIMA DARJAH KEBESARAN NEGERI PULAU PINANG & PENYAMPAIAN BANTUAN ZAKAT BAGI TAHUN 2020
28 MAC 2021
HOTEL ROYAL
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih atas jemputan bagi memeriahkan Majlis Meraikan Penerima Darjah Kebesaran Negeri Pulau Pinang dan Penyampaian Bantuan Zakat Bagi Tahun 2020.
Tahniah dan syabas kepada para penerima yang telah dikurniakan Darjah Kebesaran Negeri Pulau Pinang oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas baru-baru ini.
Semoga dengan pengurniaan ini, ia dapat menyuntik semangat dan komitmen tinggi untuk terus menyumbang kepada pembangunan negeri serta masyarakat secara keseluruhannya.
Ini merupakan satu bentuk penghargaan Kerajaan Negeri kepada anda yang telah menabur bakti kepada masyarakat, dan adalah diharapkan anda akan sentiasa menjaga kemuliaan serta gelaran yang diberikan dalam mempertahankan nilai murni, menjaga batas dan adab walaupun semasa berdepan cabaran serta situasi getir.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,
Dalam meraikan kejayaan, Pertubuhan Pembangunan Masyarakat Sejahtera (PPMS) tidak pernah melupakan golongan yang kurang berkemampuan. Melalui inisiatif program Zakat, seramai 20 asnaf telah terpilih untuk menerima bantuan bernilai RM500 setiap seorang.
Selaras dengan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, penglibatan masyarakat adalah sangat digalakkan, dan saya berharap agar lebih ramai pihak tampil dengan penganjuran program-program sebegini dalam menyuntik semangat kemasyarakatan dan bersama-sama bersedia menghadapi cabaran serta rintangan dalam tempoh pasca COVID-19 ini.
Kerajaan Negeri umumnya amat berbesar hati dengan penglibatan dan sokongan badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa mendahulukan kebajikan masyarakat sebagai intipati penting dalam pertubuhan masing-masing.
Justeru, semoga penganjuran majlis sebegini akan membuka mata rakyat, lain-lain agensi serta pertubuhan bukan kerajaan untuk memainkan peranan masing-masing dan bertindak sebagai sebuah keluarga seiringan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan tanggungjawab kebajikan kepada rakyat.
Sekian, terima kasih