MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN KEWANGAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG 2021 KEPADA SEKOLAH-SEKOLAH TAMIL, TADIKA DI SEKOLAH TAMIL DAN SEKOLAH PUNJABI
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN KEWANGAN
KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG 2021 KEPADA SEKOLAH-SEKOLAH TAMIL, TADIKA DI SEKOLAH TAMIL DAN SEKOLAH PUNJABI
13 APRIL 2021
AUDITORIUM A, KOMTAR
YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2021 kepada Sekolah Tamil, Tadika di Sekolah Tamil dan Sekolah Punjabi pada pagi yang berbahagia ini.
Berikutan ancaman pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun lepas kita tidak dapat bertemu secara fizikal namun yang pasti peruntukan bantuan kewangan untuk tahun tersebut tetap diteruskan mengikut garis masa yang telah dirancang tanpa ada sebarang penangguhan.
Tahun ini kita bersyukur meskipun perang COVID-19 masih belum berakhir, tetapi kita semua masih diberi kesempatan untuk bertemu kembali secara fizikal dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan amalan normal baharu.
Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, peruntukan bantuan kewangan diagihkan berlandaskan keperluan dan jumlah yang diterima adalah berbeza bagi setiap sekolah.
Melalui Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil, guru besar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah bekerjasama untuk membuat penilaian bagi memastikan pengurusan peruntukan ini dapat dilaksanakan sebaik yang mungkin.
Sejak 13 tahun yang lepas, Kerajaan Negeri komited untuk terus menjaga kebajikan rakyat tanpa meminggirkan mana-mana kaum termasuklah masyarakat India, selaras dengan aspirasi Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Seperti mana anda semua sedia maklum, Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang memberikan bantuan sedemikian sejak Kerajaan Negeri mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini pada tahun 2008. Dan sehingga kini, pemberian ini masih diteruskan, malah ia tidak terhad kepada sekolah sahaja, Kerajaan Negeri juga turut memberikan sumbangan kepada Tabung Khas Sekolah-Sekolah Tamil.
Seperti mana tahun-tahun sebelum ini, pecahan pemberian peruntukan adalah seperti berikut:
1. Peruntukan bagi Sekolah Tamil: RM2,000,000.00
2. Peruntukan bagi Tadika: RM150,000.00
3. Peruntukan RM90,000 kepada 3 buah Sekolah Punjabi
4. Peruntukan Tabung Khas Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil: RM150,000.00
Kita sedar peruntukan bantuan ini mungkin tidak cukup untuk menanggung kos penambahbaikan keseluruhan namun saya percaya ia akan menjadi langkah permulaan untuk pelaburan modal insan yang baik kepada negeri Pulau Pinang.
Akhir kata,a saya berharap bantuan ini dapat memberi manfaat untuk masa hadapan yang lebih baik kepada anak-anak pelajar terutama dalam pengurusan dan penambahbaikan pelbagai kemudahan infrastruktur bagi mewujudkan persekitaran dan suasana kondusif kepada warga sekolah.
Sekian, terima kasih.