MAJLIS MAKAN MALAM AMAL ANJURAN PERSATUAN WARISAN DATO KOYAH
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS MAKAN MALAM AMAL
ANJURAN PERSATUAN WARISAN DATO KOYAH
30 APRIL 2022
MAKAM DATO KOYAH
YB Teh Lai Heng
ADUN Komtar
Yang Berbahagia Dr. Abdul Rashid S.M. Masooth
Presiden Persatuan Warisan Dato Koyah
Yang Berbahagia Dato’ Haja Najmudeen Kader
President Liga Muslim Pulau Pinang
Yang Dihormati Tuan Hassan Othman
Presiden Central Muslim Society (CMS)
Para Jemputan
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Warisan Dato Koyah atas penganjuran Majlis Makan Malam pada malam puasa Ramadan ke-28 ini.
Mengambil keberkatan bulan Ramadan, saban tahun jawatankuasa Persatuan ini tidak pernah melepaskan peluang untuk menganjurkan majlis sedemikian, sebagai tanda bersyukur di samping menjadikan platform ini untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli dan masyarakat setempat.
Saya dimaklumkan bahawa pelbagai aktiviti amal dan kemasyarakatan telah dan sedang dirangka dan diimplementasikan oleh Persatuan Warisan Dato Koyah di bawah kepimpinanan Presiden Dr. Abdul Rashid seperti penganjuran “Kelas Bacaan Maulud” pada setiap hari Khamis dan Jumaat, program “Memasak dan Mengedarkan Makanan Percuma kepada Orang Ramai” pada setiap hari Khamis serta pelbagai lagi.
Sesungguhnya Kerajaan Negeri amat menghargai peranan dan segala bentuk usaha yang dilaksanakan oleh Persatuan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang lain atas komitmen dan khidmat sokongan secara berterusan yang diberikan kepada kumpulan sasaran.
Dalam menjayakan aspirasi Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, jalinan kerjasama erat ini diharap akan terus diperkasakan kerana ia adalah antara kunci keharmonian rakyat dan negeri yang dikecapi selama ini.
Segala dasar dan perancangan pembangunan rakyat dan negeri tidak dapat dilaksanakan sendirian tanpa penyertaan dan penglibatan setiap daripada anda.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Di tapak monumen warisan yang penuh bersejarah ini, Kerajaan Negeri menyokong sepenuhnya usaha-usaha yang dilakukan oleh Persatuan Warisan Dato Koyah untuk memastikan Pulau Pinang kekal sebagai sebuah negeri yang kukuh teras perpaduannya.
Tatkala dunia sedang menelusuri arus globalisasi, majlis sebegini amat penting untuk mengekalkan identiti serta jati diri dalam usaha menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
Baru-baru ini juga Pejabat Khidmat saya telah meluluskan dana khas untuk memulakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikpulihan Makam Dato Koyah.
Persatuan Warisan Dato Koyah akan bekerjasama dengan pakar-pakar dari Thinkcity, George Town World Heritage Incorparated (GTWHI) dan Jabatan Warisan untuk berganding bahu menyelesaikan isu-isu yang timbul untuk membaikpulih bangunan Makam Dato Koyah untuk memastikan monumen ini menjadi satu tarikan selepas direstorasi dengan baik.
Saya juga ingin memuji usaha gigih Persatuan Warisan Dato Koyah dalam memulihara dan memelihara makam ulama tersohor yang telah diiktiraf sebagai status warisan UNESCO Kategori Satu dan memperolehi pengiktirafan Anugerah Kehormat Juri Kategori Konservasi, Penambahbaikan dan Adaptasi serta Kategori Program Dana Aktiviti Warisan dan Kebudayaan awal tahun ini.
Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada seluruh jawatankuasa Persatuan Warisan Dato Koyah atas penganjuran majlis ini. Semoga kita dapat berjumpa lagi dalam majlis-majlis yang akan datang.
Sekian, terima kasih.