MAJLIS PELANTIKAN DAN PENYAMPAIAN WATIKAH JAWATANKUASA BELIA PULAU PINANG (JBPP) SESI 2022/2023  

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANTIKAN DAN PENYAMPAIAN WATIKAH JAWATANKUASA BELIA PULAU PINANG (JBPP)

SESI 2022/2023

 

30 APRIL 2022

 

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) selaku urusetia kerana telah memastikan majlis bersejarah pada pagi ini dapat diadakan dengan jayanya.

Selepas penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) di setiap KADUN yang mempunyai fungsi dan peranan dalam area yang tersendiri, kini sudah tibanya Pulau Pinang melangkah satu lagi langkah ke hadapan dalam aspek pembangunan belia secara menyeluruh dan berimpak tinggi.

Justeru, Kerajaan Negeri telah meluluskan cadangan MMK Belia dan Sukan untuk menubuhkan satu lagi entiti yang sangat penting ini iaitu Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) di setiap KADUN, sebagai salah satu lagi platform untuk memperkasakan peranan dan pembangunan belia di negeri ini.

Tahniah dan syabas kepada 400 orang belia yang telah terpilih bagi mewakili 40 KADUN yang akan berkuatkuasa 1 Mei 2022 hingga 31 Dis 2023 - yang masing-masing terdiri daripada 10 orang ahli yang meliputi Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan Tujuh (7) orang AJK yang akan menerima surat pelantikan sebentar nanti.

Dengan penubuhan Jawatankuasa ini, diharapkan para belia dapat berkembang secara positif dari segi sahsiah, insaniah, berdaya saing dan berkompeten dari pelbagai segi dan pada masa yang sama berbakti kepada komuniti setempat. Penglibatan belia dalam Jawatankuasa ini juga merupakan satu platform yang amat signifikan untuk menyediakan mereka menjadi seorang pemimpin yang berwibawa pada masa hadapan. Maka, inisiatif pembangunan belia akan dapat direalisasikan dengan lebih menyeluruh dan efektif.

JBPP juga akan turut berfungsi sebagai mekanisme formal yang menjadi pemangkin untuk menggerakkan usaha dan program pembangunan belia di setiap KADUN, sekaligus membantu merealisasikan inisiatif strategik C2 di dalam Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara dalam menginspirasikan penyertaan belia kita dari komuniti dan untuk komuniti.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Saya percaya proses untuk menubuhkan Jawatankuasa di peringkat negeri bukanlah satu perkara yang mudah. Begitu juga dengan proses pemilihan JBPP ini kerana kita mempunyai ramai belia yang berkaliber dan cemerlang.

Kepada anda yang telah terpilih ini, hargailah peluang yang diberikan ini untuk mengecapi prestasi yang cemerlang di KADUN masing-masing. Gunakanlah platform yang tersedia ini dengan sebaik mungkin, untuk pembangunan dan kemajuan diri sendiri dan juga pembangunan komuniti dan negeri secara keseluruhannya.

Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi kepada urusetia dan semua yang telah terpilih bagi sesi 2022/2023 ini.  Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus menyokong dan menyediakan peluang dan ruang kepada anda semua untuk bergerak ke hadapan.

Selamat Maju Jaya.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang