MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI PDC 2022
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN
HARI RAYA AIDILFITRI PDC 2022
24 MEI 2022
ATRIUM, PDC
YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman (TBC)
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang
YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy (TBC)
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang
Encik Aziz bin Bakar
Ketua Pegawai Eksekutif, PDC
Para Jemputan dan Dif-dif Kehormat
Timbalan-timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PDC
Ketua-ketua Bahagian PDC
Para Kakitangan PDC
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Tengahari dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) atas jemputan sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PDC 2022 pada tengahari yang berbahagia ini.
Masih belum terlambat rasanya untuk saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga kerja PDC dan semua jemputan yang hadir. Semoga Syawal ini diraikan dengan penuh rasa kesyukuran dan diingati sebagai hari yang cukup bermakna kepada kita semua.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Setelah dua (2) tahun tidak dapat meraikannya akibat kekangan pandemik COVID-19, inilah antara tradisi PDC yang harus diberikan pujian. PDC sebagai badan korporat yang dianggotai oleh pelbagai lapisan kaum tidak pernah melepaskan peluang untuk menggunakan platform ini bagi meraikan kemeriahan sambutan perayaan bersama-sama dengan kakitangan dan para jemputan yang lain.
Justeru, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada ahli-ahli jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan Majlis Rumah Terbuka Sambutan Hari Raya Aidilfitri PDC 2022.
Dan sepertimana kelazimannya, PDC telah meneruskan amalan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan memberikan sumbangan sebanyak RM10,070 kepada anak-anak yatim di Pusat Jagaan Permata Kasih, hasil sumbangan daripada kakitangan/bekas kakitangan serta kerjasama PUSPANITA dan Kelab Sukan PDC.
Semoga usaha baik ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sebagai agensi pembangunan unggul Kerajaan Negeri, PDC bersama-sama dengan rakan strategik pembangunan yang lain baik daripada sektor awam mahupun swasta mempunyai tugas dan peranan yang penting dalam memangkin pertumbuhan negeri, selaras dengan hasrat Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Kerajaan Negeri optimis dengan kemampuan dan daya juang yang dinamik ini untuk kita semua bangkit semula selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 yang kini telahpun beralih ke Fasa Peralihan ke Endemik.
Justeru, saya berharap PDC akan terus memainkan peranannya sebagai "game changer" di Pulau Pinang dan akan menerajui pembangunan sosio-ekonomi Pulau Pinang akan datang dari segi pelaburan, perindustrian, pembangunan tanah, rumah mampu milik dan lain-lain tanggungjawab sosial.
Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak dalam menjayakan majlis pada hari ini.
Semoga kita semua dapat terus memperkasakan jalinan dan kerjasama erat ini untuk menggerakkan transformasi negeri Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan unggul, lokasi pilihan para pelabur dan pilihan penghuni yang inginkan kehidupan yang mampan dan berkualiti.
Sekian, terima kasih.