MAJLIS PERASMIAN PENANG ISLAMIC DIGITAL LIBRARY (PIDL) & AL-HADY CENTRE (AHC) SERTA SAMBUTAN JUBLI PERAK KOLEJ ISLAM TEKNOLOGI ANTARABANGSA (KITAB) PULAU PINANG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
PENANG ISLAMIC DIGITAL LIBRARY (PIDL) & AL-HADY CENTRE (AHC)
SERTA SAMBUTAN JUBLI PERAK
KOLEJ ISLAM TEKNOLOGI ANTARABANGSA (KITAB) PULAU PINANG
26 MEI 2022
KITAB PULAU PINANG
________________________________
Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang
YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang; merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP)
YB Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Hussain
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan
Yang Berbahagia Dr. Roslan bin Ahmad
Pengerusi Lembaga Pengarah KITAB Pulau Pinang
YB Dato Haji Mustafa Kamal Bin Ahmad
Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Air Tawar
Merangkap Ahli Lembaga Pengarah KITAB Pulau Pinang
Yang Berusaha Profesor Dr. Mohamad bin Abdul Hamid
Rektor KITAB Pulau Pinang
Ahli-Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang
Ahli-Ahli Lembaga Pengarah KITAB Pulau Pinang
Ketua-Ketua Jabatan
Para Jemputan
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang atas kesudian menjemput saya menyaksikan tiga (3) majlis yang cukup bersejarah, bukan sahaja khusus kepada warga kerja KITAB, malah juga kepada seluruh rakyat dan negeri ini secara keseluruhan.
Sesungguhnya, saya amat berbesar hati berada di sini bersama-sama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak dan para jemputan lain di Majlis Perasmian Penang Islamic Digital Library (PIDL) & Al-Hady Centre (AHC) yang diadakan berserentak dengan Sambutan Jubli Perak Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang pada pagi yang berbahagia ini.
Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin yang dihormati sekalian,
Sebagaimana kunjungan pertama saya ke KITAB sekitar bulan Disember tahun lepas, hari ini saya gembira untuk kembali ke sini bagi bersama-sama menyaksikan satu lagi mercu kebanggaan kita bersama iaitu Penang Islamic Digital Library (PIDL) akhirnya berjaya direalisasikan dengan jayanya.
Penang Islamic Digital Library (PIDL) yang merupakan kesinambungan kepada kewujudan perpustakaan-perpustakaan Digital Negeri Pulau Pinang seperti yang ada di PDL1, PDL2, PDL@Batu Maung dan PDL@Butterworth adalah salah satu daripada inisiatif agresif Kerajaan Negeri dalam mempromosi dan membangunkan pengajaran serta pembelajaran dalam STEM (Science, Technology, Engineering dan Mathematics) dalam sasaran kita untuk meletakkan Pulau Pinang sebagai salah satu pusat kecemerlangan sains dan teknologi yang unggul.
Dengan kos sebanyak RM5 juta yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, PIDL yang merupakan perpustakaan Islam secara maya berkonsep moden pertama di Pulau Pinang dengan lebih daripada 1,500 bahan bacaan Islamik secara digital akan dikendalikan sepenuhnya oleh KITAB yang merupakan Institusi Pengajian Tinggi Islam Milik Penuh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Sama seperti PDL sedia ada, Kerajaan Negeri berharap kemudahan PIDL ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar dan golongan profesional di segenap insitusi serta seluruh warga Pulau Pinang sekaligus meningkatkan produktiviti, ilmu pengetahuan serta mempercepatkan usaha kita untuk memperkasakan matlamat dalam mewujudkan ekosistem dan komuniti pintar, berteknologi serta berpengetahuan tinggi.
Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin yang dihormati sekalian,
Sebagaimana maklum, penubuhan Pusat Kajian Pemikiran dan Ketamadunan Islam Negeri Pulau Pinang dengan nama Al-Hady Centre (AHC) merupakan salah satu daripada 68 janji dalam Manifesto 'Saya ❤️ Pulau Pinang' yang telah kita janjikan kepada rakyat Pulau Pinang pada tahun 2018.
Dan hari ini, Kerajaan Negeri amat gembira dengan komitmen bersama yang telah dicurahkan oleh semua yang terlibat dalam merealiasikan janji ini. Bersesuaian dengan adanya PIDL sebagai pusat sumber maklumat secara digital, ia akan saling melengkapi fungsi dan peranan AHC sebagai sebuah entiti atau Pusat Tanggungjawab yang mengintegrasikan pemikiran serta ketamadunan Islam melalui aktiviti penyelidikan secara saintifik.
Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin yang dihormati sekalian,
Bermula dari sebuah Maahad Tahfiz sejak tahun 1995, kini KITAB telah mengorak langkah maju ke hadapan menjadi sebuah institusi yang kukuh dan teguh. Dengan sambutan Jubli Perak hari ini, maka akan bermulalah perjalanan ke fasa baru yang lebih mencabar kepada warga kerja KITAB.
Meskipun begitu, Kerajaan Negeri yakin dan percaya MAINPP dan KITAB mampu meneruskan perjalanan ini dengan unggul bersama berteraskan visi menjadi “Sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Islam Pilihan dan Pusat Kecemerlangan Islam yang dirujuk di rantau Asia Tenggara serta diiktiraf di peringkat Antarabangsa”.
Akhir kata, syabas serta tahniah sekali lagi kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis dan merealisasikan kejayaan pada hari ini.
Tidak dilupakan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Yang Terutama Tun atas kesudian meluangkan masa untuk hadir bersama-sama di majlis yang sungguh bermakna pada hari ini.
Sebagai penutup bicara, terimalah serangkap pantun daripada saya:
Pantai-pantai terbentang indah,
Pulau Pinang menjadi tempat bertamu,
25 tahun KITAB berdiri megah,
PIDL & Al-Hady Centre pelengkap wadah ilmu.
Sekian, terima kasih.