MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC) PENTADBIRAN SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2021

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC) PENTADBIRAN SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2021

7 JUN 2022

SPICE CONVENTION CENTRE

Yang Berhormat Dato' Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Dato' Dr. Mohamad Farazi bin Johari

Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato' Mohd Zakuan bin Haji Zakaria

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan)

Yang Berusaha Tuan Ahmad Rizal bin Mohd Hanapiah

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan)

Ketua-Ketua Jabatan Negeri, Ketua-Ketua Bahagian

Pegawai-Pegawai Kanan, Para Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang diraikan,

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin yang saya hormati sekalian.

Salam Sejahtera dan Selamat Petang.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang selaku urus setia yang telah membantu dalam memastikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 pada petang ini dapat berjalan dengan lancarnya.

Setelah dua (2) tahun tidak dapat dilaksanakan secara fizikal berikutan pandemik COVID-19, hari ini saya amat gembira untuk turut serta bagi bersama-sama meraikan seramai 308 orang warga kerja di bawah pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP), Jabatan-jabatan Negeri dan Badan Berkanun Negeri yang telah mempamerkan perkhidmatan cemerlang mengikut kriteria-kriteria yang telah ditetapkan sepanjang tahun 2021.

Dengan tema yang dipilih iaitu “Penjawat Awam Cemerlang, Meneraju Visi Penang2030”, kejayaan tuan-tuan dan puan-puan pada hari ini adalah manifestasi kepada pengiktirafan dan penghargaan Kerajaan Negeri atas komitmen dan dedikasi yang cukup tinggi sebagai nadi dan tulang belakang dalam menjayakan sistem perkhidmatan awam di negeri ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Kerajaan Negeri amat bangga dengan prestasi cemerlang yang ditunjukkan, bukan sahaja bagi mencapai visi jabatan masing-masing malah turut menjayakan aspirasi Kerajaan Negeri melalui Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Dan besarlah harapan saya agar Visi Penang2030 yang telah diperkenalkan sejak tahun 2018 ini betul-betul difahami dan dilihat secara perspektif yang menyeluruh.

Kerajaan Negeri percaya penghasilan kerja yang cemerlang melalui tindakan yang cepat, pantas dan tepat bukan sahaja merupakan harapan Kerajaan Negeri terhadap pelaksanaan tugas oleh penjawat awam tetapi juga harapan yang besar oleh semua pemegang taruh/stakeholders kepada penjawat awam.

Corak perkhidmatan dan penyampaian seharusnya diselaras mengikut kesesuaian semasa terutama ketika mendepani wabak COVID-19 ini. Pandangan kreatif lagi berinovatif perlu digalakkan di kalangan semua penjawat awam supaya budaya kerja berproduktiviti tinggi dapat direncanakan seterusnya melahirkan modal insan yang berkualiti, berintegriti, kreatif dan sentiasa cemerlang.

Selain di atas, cabaran bagi penjawat awam yang utama adalah bagaimana menjadikan Pulau Pinang sebagai suatu negeri yang berfokuskan kepada kekeluargaan, hidup dalam kesejahteraan, kehijauan, ketenteraman serta ke arah negeri yang pintar yang boleh menjadi inspirasi kepada negara keseluruhannya sebagaimana yang disarankan di dalam Penang2030.

Justeru itu, saya menyeru agar Penjawat Awam Negeri Pulau Pinang bersama-sama dengan Kerajaan Negeri dapat mengekalkan prestasi tinggi dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat Negeri Pulau Pinang pada masa hadapan. Cabaran dan dugaan akan dapat kita tempuhi bersama-sama dengan minda yang terbuka, fizikal yang cergas, hati yang lapang dan dengan pandangan yang jelas.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Kepada mereka yang tidak terpilih menerima APC Tahun 2021, mereka tidak perlu kecewa atau merendah diri, sebaliknya teruslah memberikan perkhidmatan yang cemerlang.  Jadikanlah anugerah APC ini sebagai motivasi utama dalam menjayakan dan melaksanakan perkhidmatan kepada rakyat yang mendambakan suatu perkhidmatan yang terbaik dan efisyen daripada kita semua.

Akhir kata syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua penerima APC pada hari ini. Semoga kejayaan ini akan terus menjadi pemangkin dan inspirasi dalam memacu lebih banyak kejayaan lagi pada masa hadapan.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang