MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM BERSAMA YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG

UCAPAN YAB TUAN CHOW KON YEOW KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM BERSAMA YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG

7 JUN 2022 | SELASA

GRAND BALLROOM THE TOP, KOMTAR

 

Yang Berhormat Dato' Law Choo Kiang;

Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri

Yang Berhormat Dato' IR. Hj. Ahmad Zakiyuddin Bin Abdul Rahman;

Timbalan Ketua Menteri I

Yang Berhormat Prof. Dr. P.Ramasamy a/l Palanisamy;

Timbalan Ketua Menteri II

YB Dato’ Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan;

Yang Berhormat Tuan Norazmi Bin Narawi;

Penasihat Undang-Undang Negeri

Yang Berhormat Dato' Dr. Mohamad Farazi Bin Johari;

Pegawai Kewangan Negeri

Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Haji Wan Salim Bin Wan Mohd. Noor;

Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Ahli Dewan Undangan Negeri/ Ahli Parlimen;

Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan;

Para hadirin yang saya hormati sekalian.

Selamat Pagi, Salam Sejahtera, Salam Penang2030.

1. Pertama sekali, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana dengan keizinan darinya dapat kita bersama-sama kembali berkumpul secara fizikal pada pagi ini dalam Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang.

2. Terima kasih dan sekalung penghargaan saya ucapkan kepada YB Dato’/ Datin/ Tuan/ Puan hadirin sekalian yang sudi hadir ke perhimpunan kali ketiga bagi tahun 2022.

3. Buat julung kalinya perhimpunan ini diadakan secara fizikal seratus peratus berikutan kelonggaran SOP bermula 1 Mei 2022 dengan penjarakan fizikal tidak lagi diperlukan walaupun di dalam bangunan. Namun, kita semua masih perlu menggunakan pelitup muka bagi mencegah penularan Covid-19 yang masih wujud di kalangan kita.

4. Bagi Negeri Pulau Pinang, statistik kes harian Covid-19 telah mencatatkan penurunan dengan purata kes harian adalah 100 kes ke bawah. Adalah diharapkan agar kita semua sentiasa berwaspada dan mengamalkan kaedah TRIIS (Test, Report, Inform, Isolate, Seek) sebagai normal baharu agar kita dapat bangkit semula dari aspek sosial dan ekonomi selepas tempoh kegelapan selama dua (2) tahun akibat COVID-19.

Hadirin yang dihormati sekalian,

5. Pada tahun 2021, Pulau Pinang telah mencatatkan nilai pelaburan pembuatan yang tertinggi di Malaysia berjumlah RM76.2 bilion yang menjana sebanyak 51,000 peluang pekerjaan. Dalam memastikan momentum positif ini dikekalkan bagi tahun 2022, jalinan kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, sektor swasta mahupun Kerajaan Tempatan perlu dilipatgandakan dan membentuk kerjasama pasukan bagi mencapai objektif iaitu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan kemakmuran negeri Pulau Pinang.

6. Jalinan kerjasama ini juga diharapkan dapat menyelesaikan pelbagai permasalahan yang timbul terutamanya yang melibatkan kebajikan dan kesulitan rakyat di Negeri Pulau Pinang.

7. Sebagai tanda Kerajaan Negeri Pulau Pinang serius dalam hal ini, Jawatankuasa Khas Hubungan Negeri-Persekutuan telah ditubuhkan bagi mengenalpasti permasalahan yang timbul dalam hubungan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sepertimana yang telah saya umumkan pada 30 Mei 2022 di Bangunan Dewan Undangan Negeri.

8. Selain itu, perpaduan di kalangan pelbagai kaum juga perlu menjadi tonggak kepada keharmonian penduduk di Pulau Pinang yang mana menjadi daya tarikan kepada sektor pelancongan. Dengan pembukaan sempadan negara bermula 1 April 2022 yang lalu, ia memberikan petunjuk yang baik ke arah pemulihan sektor pelancongan di negeri ini.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

9. Selaras dengan Visi Penang2030, aspek kesihatan di kalangan rakyat Negeri Pulau Pinang perlu diambil berat. Saya ingin menyeru kepada seluruh jentera Perkhidmatan Awam agar mengambil langkah awal dalam melaksanakan pemeriksaan kesihatan menyeluruh serta mengamalkan gaya hidup sihat.

10. Pelbagai inisiatif di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melalui penganjuran pelbagai program dan aktiviti kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu disertai oleh semua warga perkhidmatan awam sebagai langkah pencegahan dan langkah awal sekiranya menghidapi penyakit. Pemakanan sihat juga perlu dititikberatkan dalam memastikan komuniti yang sihat dan selamat.

11. Dalam konteks kesihatan juga, ingin saya menyatakan kegusaran saya terhadap status kesihatan mental di kalangan penduduk di Negeri Pulau Pinang termasuklah di kalangan penjawat awam sendiri. Pasca pandemik Covid-19 ini telah memberi kesan secara langsung kepada kesihatan mental penduduk di negeri ini. Ini dapat dilihat kebelakangan dengan statistik cubaan membunuh diri meningkat dengan mendadak.

12. Sehingga bulan Mei tahun ini sahaja, terdapat lapan (8) kes cubaan membunuh diri untuk terjun dari Jambatan Pulau Pinang berbanding tahun 2019, dengan lapan (8) kes. Ia diikuti dengan enam (6) kes pada tahun 2020 dan 12 kes pada tahun 2021. Selain boleh menjejaskan imej Pulau Pinang sebagai lokasi tarikan pelancong, perkara ini perlu ditangani kerana ia akan menjejaskan produktiviti terutamanya jika ia melibatkan penjawat awam itu sendiri.

13. Ingin saya kongsikan sedikit berkenaan ucapan Tuan Yang Terutama Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dalam ucapan perasmian beliau bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 pada 27 Mei yang lalu, TYT Tun menunjukkan keprihatinan beliau mengenai isu keselamatan makanan dalam memastikan rakyat Pulau Pinang memperoleh bekalan makanan yang selamat, mencukupi dan bersih.

14. Konflik antarabangsa yang berlaku dan pandemik Covid yang berlarutan hampir dua tahun telah menyebabkan peningkatan inflasi pada kadar 2.2 di negeri Pulau Pinang. Tuan Yang Terutama Tun menekankan agar keselamatan makanan perlu diberikan tumpuan agar penduduk Negeri Pulau Pinang dapat bersedia dalam menghadapi hiperinflasi, menggerakkan produktiviti pertanian menggunakan variteti tanaman dengan pengeluaran tinggi dalam tempoh masa singkat dan menggunapakai teknologi moden memandangkan Pulau Pinang tidak mempunyai tanah pertanian yang luas.

Hadirin yang saya kasihi sekalian,

15. Sesungguhnya aspirasi dan perjalanan untuk merealisasikan Visi Penang2030 pasca pandemik Covid-19 memberi cabaran baharu kepada seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri. Maka, penyesuaian terhadap sasaran di bawah 16 Inisiatif Strategik (IS) bagi empat (4) tema utama Visi Penang2030 telah dikaji semula oleh Jawatankuasa Pemandu Visi Penang2030.

16. Pelaksanaan setiap projek/ program pada masa kini dan seterusnya perlulah bersifat kuantitatif selaras dengan standard pentadbiran Kerajaan Negeri berteraskan prinsip “Cekap, Akauntabel dan Telus”. Sebelum ini, Kerajaan Negeri telahpun melancarkan risalah berbentuk booklet berkenaan Pencapaian 3 Tahun Kerajaan Negeri bermula Mei 2018 sehingga September 2021 pada 21 Januari 2022 yang lalu. Ianya disusuli dengan Booklet Pencapaian Manifesto 2018 Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 9 Mei 2022. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri bersikap akauntabel terhadap tanggungjawab dan juga janji-janji yang telah dibuat sebelum ini. Kerajaan Negeri juga telus dalam mewar-warkan pencapaian terhadap tanggungjawab dan janji-janji tersebut.

17. Sebagai tambahan, sebuah lagi medium dikenali sebagai Sistem Pemantauan Dashboard Penang2030 telah siap dibangunkan oleh Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri (BTMKN) pada awal tahun 2021 untuk memantau pencapaian sasaran di bawah Inisiatif Strategik (IS) setiap Champion Exco yang berkenaan.

18. Kerja-kerja naik taraf dan penambahbaikan Sistem Dashboard Penang2030 ini seterusnya telah dilakukan oleh Digital Penang. Kini, sistem tersebut telah dihubungkan dengan laman sesawang Penang2030 dan boleh dilihat secara langsung (real time) oleh orang awam.

19. Dashboard Penang2030 merupakan sistem yang penting untuk memastikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa ditadbir dengan halatuju yang jelas demi mencapai kesejahteraan di kalangan rakyat dengan memfokuskan kepada agenda pembangunan mampan.

20. Dashboard Penang2030 ini juga merupakan instrumen tadbir urus awam yang telus dan berupaya memupuk penglibatan orang awam. Ini kerana, dashboard ini menunjukkan dengan jelas pencapaian Kerajaan Negeri yang boleh diukur. Oleh yang demikian, orang awam berpeluang untuk menyuarakan pandangan, malah kritikan yang membina untuk kepentingan rakyat negeri ini secara keseluruhannya.

21. Pada pagi yang mulia ini, saya sungguh berbesar hati untuk melancarkan Sistem Dashboard Penang2030 yang sememangnya telah sedia untuk diakses. Peratusan pencapaian semasa yang dicatatkan di dalam dashboard ini adalah sebanyak 26 peratus. Suka juga saya ingatkan, pencapaian ini disandarkan sehingga tempoh tahun 2030.

22. Secara perbandingannya, kadar tersebut juga dilihat sebagai sebuah penanda aras yang baik untuk kita terus merealisasikan sasaran-sasaran yang telah ditetapkan dalam Visi Penang2030, dokumen ini boleh ditambah baik jikalau kita dapat mencapai sasaran lebih awal. Dashboard ini menjadi sebagai pemantauan untuk Kerajaan Negeri, ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

23. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan dan terima kasih di atas usaha dan kerjasama yang baik oleh Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri (BTMKN) serta Digital Penang di atas usaha bersama Unit Penang2030, Pejabat Ketua Menteri sehingga terhasilnya sebuah dashboard yang julung kalinya di mana pemantauan secara terus dan telus boleh dilakukan oleh orang awam terhadap pelaksanaan projek/ program di bawah Kerajaaan Negeri secara khusus.

24. Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua Champion EXCO yang terdiri daripada Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Champion Officer yang terdiri daripada penjawat awam yang dilantik kerana telah bertukus-lumus dalam penetapan sasaran serta pengemaskinian status pencapaian semasa dalam Dashboard Penang2030 ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang