MAJLIS PERASMIAN PUSAT PENANG2030 KADUN BAGAN JERMAL
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PUSAT PENANG2030 KADUN BAGAN JERMAL
9 JULAI 2022, SABTU; 3 PETANG
______________________________
YB Soon Lip Chee
ADUN Bagan Jermal & Exco Belia Dan Sukan
Dato' Azhar B. Hj Arshad
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai
Tuan Hj Baderul Amin B. Abdul Hamid
Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai
Encik Muhamad Hafizuddin Bin Mohd Ridowan (wakil Tuan DO)
Tuan ADO Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara
Encik Lay Hock Peng
Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang
Dr Gwee Sai Ling
Pengurus Besar PYDC
Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai
Para Pengerusi Persatuan-Persatuan, Organisasi dan Masjid
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan, Puan-puan
Para hadirin sekalian
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada YB Soon Lip Chee selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal atas undangan merasmikan Pusat Penang2030 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Jermal pada petang yang berbahagia ini.
Dewan ini merupakan Pusat Penang2030 pertama yang beroperasi di negeri Pulau Pinang. Sebagaimana maklum, Pusat Penang2030 merupakan inisiatif khas Kerajaan Negeri menerusi cetusan idea serta nekad ke arah merealisasikan Visi Penang2030 iaitu untuk Pulau Pinang muncul sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Di sini, akan wujudnya sebuah pusat gunasama atau ‘shared space’ bagi membolehkan aktiviti kemasyarakatan dijalankan selain program-program pembangunan sosial dan kursus pemerkasaan peringkat komuniti dengan mengintegrasikan sumber sedia ada tanpa berlakunya pertindihan aspek-aspek tertentu.
Ini adalah bertepatan dengan objektif pendekatan ditetapkan yang mana bertujuan memacu pembangunan sosial setempat khususnya meningkatkan penyertaan semua lapisan komuniti termasuk golongan belia, wanita dan juga warga emas secara menyeluruh.
Hadirin sekalian,
Saya difahamkan bahawa Pusat Penang2030 KADUN Bagan Jermal telah mula beroperasi pada bulan Mei lalu yang mana waktu pengoperasiannya adalah diselaraskan dengan Pusat Khidmat KADUN Bagan Jermal yang terletak di aras bawah bangunan ini.
Malah, kepelbagainan program serta aktiviti juga telah, sedang dan bakal dilaksanakan demi manfaat seluruh komuniti sekitar.
Turut diketengahkan adalah kolaborasi dengan pelbagai agensi negeri khasnya, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), pihak-pihak swasta seperti badan perundangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan media antaranya, Onewill Advisory, Sin Chew Media Corporation Berhad dan lain-lain.
Sehingga kini, program-program yang telah diatur adalah termasuk temuduga jawatan melalui sistem temu janji yang dijalankan pada setiap hari Selasa dan Sabtu; khidmat nasihat undang-undang percuma (Rabu); bengkel perancang harta pusaka (Khamis); khidmat penasihat perancangan harta pusaka (Jumaat) dan juga kelas Bahasa Mandarin percuma khas kepada kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun daripada golongan berpendapatan rendah (B40) yang diadakan pada hari Ahad.
Serentak itu, Pusat Penang2030 KADUN Bagan Jermal kini juga menyediakan khidmat bimbingan dan kaunseling percuma menerusi temu janji bertujuan membantu individu yang didapati menghadapi masalah emosi, hubungan, keyakinan diri membabitkan aspek psikologi.
Bagi memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat setempat, sudut bacaan dan teknologi maklumat (IT) turut disediakan dengan kursus asas komputer riba kepada golongan warga emas selaras dengan era pendigitalan kini.
Saudara dan saudari sekalian,
Adalah diharapkan Pusat Penang2030 KADUN Bagan Jermal dapat digunakan dengan sebaik-baiknya oleh komuniti di sini. Malah, apa yang paling penting dan diharapkan oleh Kerajaan Negeri adalah ia dapat mencapai serta menetapi objektif penubuhan asalnya dalam memperkasakan komunti setempat pada semua aspek kehidupan.
Kita ingin melihat komuniti yang sihat dan bergerak selaras dengan misi serta Visi Penang2030 yang menjadi panduan penting kepada pembangunan ekonomi serta sosial negeri yang kita cintai ini. Kita tidak inginkan mana-mana kelompok masyarakat tertinggal atau dipinggirkan. Bersama-sama kita pupuk semangat cintai negeri kita menerusi kempen LovePENANG yang kita uar-uarkan kini.
Kita tidak akan menggadaikan mandat serta kepercayaan yang telah diberikan kepada kita. Kerajaan Negeri akan terus bekerja, berkhidmat dan berusaha memenuhi manifesto yang telah dijanjikan sejak empat tahun lalu. Kita ingin membangun dan terus bersama-sama anda semua.
Saya akan terus membawa serta mengemudi jentera ini dan nescaya dengan penubuhan Pusat Penang2030 KADUN Bagan Jermal berserta sokongan daripada setiap ADUN dan setiap lapisan masyarakat di negeri ini, saya yakin Pulau Pinang mampu terus gemilang di persada dunia.
Kita rakyat Pulau Pinang; Kita bergerak bersama-sama; Kita LovePENANG!
Sekian, terima kasih.