MAJLIS PECAH TANAH PEMBINAAN TAPAK PARKIR KUIL SRI MUNISWARAR DAN SESI RAMAH MESRA BERSAMA-SAMA KETUA-KETUA KOMUNITI

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW PADA MAJLIS PECAH TANAH PEMBINAAN TAPAK PARKIR KUIL SRI MUNISWARAR DAN SESI RAMAH MESRA BERSAMA-SAMA KETUA-KETUA KOMUNITI

 

11 JULAI 2022, ISNIN; 630 PETANG;

JALAN BARU, PERAI

__________________________

 

YB DR. P. RAMASAMY
TIMBALAN KETUA MENTERI (II) PULAU PINANG

YB SATEES MUNIANDY
ADUN Bagan Dalam

YBHG TAN SRI RAMESH

 

YBHG TAN SRI RAVI MENON

YBHG DATO’ GOBALAKRISHNAN NARAYANASAMY
SMT TEMPLE PRESIDENT

TUAN ARVIND A/L POOBALAN
TIMBALAN PENGARAH IMIGRESEN PULAU PINANG

DATO’ RAMACHANDRAN
PENANG HINDU ENDOWMENT BOARD CEO

 

DATO SERI R. ARUNASALAM

AHLI MAJLIS MBSP DAVID MARSHEL

DATO’ SERI, DATUK DATUK & DATIN DATIN

 

HEADMASTERS & TEACHERS (SRJK TAMIL)

 

RETIRED HEADMASTERS & TEACHERS (SRJK TAMIL)

BARISAN PIMPINAN PERTUBUHAN-PERTUBUHAN BUKAN KERAJAAN (NGOs)

SRI MUNISWARAR TEMPLE TRUSTEES & COMMITTEE MEMBERS


RAKAN-RAKAN MEDIA

 

TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN SEKALIAN

 

Selamat petang, Salam Harapan dan Salam LovePENANG.

Sebagai pembuka kata, saya dahulukan sekalung penghargaan kepada pihak penganjur yang sudi menjemput saya dan juga barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk bersama-sama meraikan majlis yang cukup bermakna serta bersejarah ini.

Pada petang ini, kita berhimpun di dewan yang serba indah ini untuk bersama-sama meraikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Tapak Parkir Kuil Sri Muniswarar. Serentak itu, turut diadakan adalah sesi ramah mesra bersama-sama ketua-ketua komuniti di sini bagi mengukuhkan lagi ukhuwah sedia terjalin. Tahniah kepada barisan ahli jawatankuasa (AJK) pelaksana yang bepadu tenaga merealisasikan majlis ini.

Majlis yang berlangsung kini dilihat sebagai suatu usaha positif ke arah penambahbaikan serta memantapkan lagi peranan dimainkan oleh Kuil Sri Muniswarar khasnya kepada komuniti setempat serta masyarakat India di negeri ini secara keseluruhan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Saya difahamkan bahawa Kuil Sri Muniswarar merupakan salah sebuah kuil tertua dalam negara iaitu berusia kira-kira 150 tahun. Selain penganjut agama Hindu, kuil ini juga amat terkenal dalam kalangan masyarakat pelbagai bangsa dari luar dan juga dalam negara untuk mendapatkan restu serta lain-lain upacara sembahyang. 

Malah, apa yang membanggakan adalah aktiviti-aktiviti amal serta program sosial korporat (CSR) yang dijalankan dari semasa ke semasa terutamanya dalam pembangunan modal insan membabitkan aspek pendidikan anak-anak India tempatan. Baru-baru ini, dalam menyediakan pelajar Tahun 6 untuk menghadapi peperiksaan yang bakal melayakkan mereka ke sesi persekolahan menengah rendah, pihak jawatankuasa kuil telah menyumbangkan buku-buku ulang kaji, set-set peperiksaan lama, nota serta set latihan kepada 28 buah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negeri ini. Turut diadakan adalah kelas-kelas agama yang khas kepada pelajar-pelajar berkaitan.

Pada masa sama, saya juga terharu dengan inisiatif jawatankuasa Kuil Sri Muniswarar yang turut mengambil pendekatan khas berhubung tajaan biasiswa kepada mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan menyediakan kelas bimbingan kepada golongan berpendapatan rendah (B40). Syabas diucapkan!

Sebagai pelengkap, Kerajaan Negeri senantiasa menekankan aspek pendidikan yang menjadi teras pembentukan modal insan kepada pembangunan Pulau Pinang secara menyeluruh yang mana sejak tahun 2019, Kerajaan Negeri telah meningkatkan peruntukan dana daripada RM1.75 juta setahun kepada RM2 juta untuk SJKT. Manakala bagi tadika di sekolah Tamil, dana pendidikan dinaikkan dari RM100,000 kepada RM150,000; Tabung Khas Sekolah Tamil (daripada RM100,000 kepada RM150,000) dan sekolah Punjabi (daripada RM60,000 kepada RM90,000).

Saudara dan saudari sekalian,

Dalam memastikan hasil perkongsian pembangunan yang sama rata dalam kalangan komuniti, pihak kuil sejak 10 tahun lalu turut melaksanakan kepelbagaian program-program amal seperti agihan bakul makanan membabitkan kira-kira 400 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) bersempena sambutan Hari Deepavali. Pada masa sama, bagi tempoh 10 tahun berturut-turut juga, pihak pengurusan kuil turut memberikan bantuan wang tunai membabitkan urusan pengebumian penduduk kurang berkemampuan yang menetap di kawasan Teluk Indah di sini.

Secara tahunan, bantuan kewangan berjumlah RM400,000 turut disalurkan kepada rumah-rumah ibadat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain pihak yang memerlukan oleh jawatankuasa Kuil Sri Muniswarar. Prinsip ini secara tidak langsung telah mencambahkan semangat perpaduan yang menjadi teras kepada keharmonian serta kestabilan pembangunan di negeri kita sehingga kini sebagaimana ditekankan dalam gagasan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Adalah ditegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneruskan penyaluran peruntukan sebanyak RM1.5 juta secara tahunan kepada Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB) bagi melaksanakan projek-projek khas sama ada pada aspek keagamaan, pendidikan, perubatan dan juga pembangunan khas kepada komuniti India di negeri ini.

Saudara dan saudari sekalian,

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Ketua Menteri II saya, YB Prof. Dr. P. Ramasamy yang banyak membantu pihak Kuil Sri Muniswarar berhubung kelulusan-kelulusan perlu sehingga membolehkan kita berada di sini pada petang ini.

Sebelum mengakhiri ucapan saya, adalah diharapkan hasrat pihak Kuil Sri Muniswarar berhubung pembinaan sebuah dewan di Bukit Mertajam dan dua buah bangunan kompleks di Perai sebagai pusat latihan pelajar memerlukan dapat direalisasikan.

Begitu juga dengan cadangan pembinaan sebuah rumah kebajikan warga emas kurang berkemampuan serta sebuah pusat dialisis setempat juga dapat dibangunkan demi kepentingan masyarakat perlu.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa mengalu-alukan projek-projek kebajikan sebegini yang mana ia memperlihatkan ikatan kukuh, perpaduan dan keharmonian dalam rakyat Pulau Pinang sebagai satu entiti yang saling melengkapi. Ini kerana kita ialah rakyat Pulau Pinang; kita bergerak bersama-sama dan kita LovePENANG!

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang