MAJLIS PELANCARAN RANGKAIAN 5G DI NEGERI PULAU PINANG (5G@PENANG)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN

RANGKAIAN 5G DI NEGERI PULAU PINANG (5G@PENANG)

 

9 SEPTEMBER 2022 (JUMAAT)

WISMA UAB, GAT LEBUH CHINA

 

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa

Yang Berbahagia Dato’ Ar Yew Tung Seang

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Yang Berusaha Tuan Rahmat bin Abu Nong

Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Pulau Pinang

Yang Berusaha Puan Zuraida binti Jamaluddin

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat, Digital Nasional Berhad (DNB)

Yang Berbahagia Datuk Yeoh Seok Hong

Pengarah Urusan YTL Communications (YTL)

 

Yang Berusaha Encik Wing K. Lee

Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications (YTL)

Ketua-Ketua Jabatan Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan

Wakil-wakil Network & Facility Service Provider (NFP & NSP)

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus dalam menjayakan Majlis Pelancaran Rangkaian 5G Di Negeri Pulau Pinang (5G@Penang) pada pagi yang berbahagia ini.

Sesungguhnya majlis pada hari ini cukup bermakna dan mencatatkan sejarah yang tersendiri kepada negeri ini dalam kesediaan kita untuk memperkenalkan teknologi terkini yang dinanti-nantikan ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Dalam hasrat Kerajaan Negeri menerajui teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), pembangunan infrastruktur jaringan komunikasi 5G merupakan penggerak utama pertumbuhan ekonomi terutama dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan yang menjadi antara penyumbang tertinggi kepada ekonomi negara.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sehingga Mac 2022, Pulau Pinang telah menerima pelaburan sebanyak RM76.2 bilion bagi sektor perindustrian dengan membuka peluang pekerjaan baharu sebanyak 139,541.

Justeru, dengan sokongan teknologi baharu 5G ini, ia sudah tentu menjadi nilai tambah yang bermutu dan memberikan nilai komersial yang tinggi untuk memacu peningkatan ekonomi digital, sekaligus merapatkan  jurang digital yang wujud sebelum ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sejak Kerajaan Negeri mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini, sudah tentu penyediaan infrastruktur telekomunikasi ini sentiasa diberi perhatian dan penekanan yang sewajarnya.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Zairil Khir Johari, selaku Exco Infrastruktur dan Pengangkutan dan semua rakan strategik yang telah memberikan kerjasama dan komitmen yang sepenuhnya sepanjang perjalanan ini.

Kini, Pulau Pinang mempunyai rangkaian jaringan infrastruktur telekomunikasi yang jauh lebih baik berbanding 10 tahun yang lalu. Malah, kos pelaburan infrastruktur telekomunikasi di Pulau Pinang adalah yang terendah berbanding negeri-negeri lain di Malaysia berdasarkan bayaran proses fi permit dan pembaharuan permit struktur telekomunikasi kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Berdasarkan statistik liputan telekomunikasi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada suku pertama tahun 2022, Negeri Pulau Pinang telah merekodkan kadar penembusan jalur lebar mudah alih bagi setiap 100 penduduk di Negeri Pulau Pinang sebanyak 152.6% iaitu melebihi kadar nasional 124.1% manakala bagi kadar penembusan jalur lebar tetap (berwayar) pula, Pulau Pinang mencatatkan kadar penembusan sebanyak 51.2% juga melebihi kadar penembusan jalur lebar nasional iaitu 41.9%.

Walaupun laporan prestasi ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan, namun Kerajaan Negeri amat komited untuk menambah baik lagi pembangunan infrastruktur telekomunikasi dengan pelaksanaan Penang Connectivity Master Plan (PCMP) yang merangkumi aspek pembangunan infrastruktur telekomunikasi, pengurusan tadbir urus yang lebih cekap dan peningkatan kesedaran awam terhadap pembangunan infrastruktur telekomunikasi.

Melalui PCMP juga, Kerajaan Negeri telah menandatangani satu dokumen Non-Disclosure Agreement (NDA) Perkongsian Maklumat Perancangan Telco Roll-Out di Pulau Pinang dengan sembilan (9) syarikat Mobile Network Operators (MNO) seperti Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications, Maxis Berhad, U Mobile Sdn Bhd, Telekom Malaysia Berhad, Webe Digital Sdn Bhd, TimeDotCom Berhad, YTL dan Allo Technology Sdn Bhd.

Dengan termeterainya NDA tersebut, adalah lebih mudah untuk Kerajaan Negeri dan rakan-rakan komponen ini untuk menyelaras pembangunan infrastruktur telekomunikasi dengan lebih teratur.


Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Dalam memastikan Negeri Pulau Pinang mengorak langkah ke arah 5G bermula seawal tahun 2020, Negeri Pulau Pinang telah dipilih sebagai salah sebuah daripada enam (6) negeri di Malaysia untuk melaksanakan projek Demonstrasi 5G (5GDP).

Sebanyak tujuh (7) buah syarikat telekomunikasi telah dipilih untuk melaksanakan 19  use cases di Negeri Pulau Pinang dengan anggaran kos sebanyak RM23.2 juta.  Use cases yang dilaksanakan ini merangkumi lima (5) vertical iaitu, Pertanian, Pendidikan, Negeri Pintar, Industri Pembuatan dan Pelancongan. Kesemua use cases tersebut bermula pada bulan Mac 2020 dan berlangsung selama enam (6) bulan.

 

Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan satu Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas 5G atau 5G Task Force Negeri Pulau Pinang bagi membincang, memberi cadangan, menimbang, dan mengesyorkan cadangan teknikal daripada pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi berkaitan isu-isu penyediaan infrastruktur 5G di Negeri Pulau Pinang. Jawatankuasa ini dianggotai oleh pelbagai pemegang taruh termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Digital Nasional Berhad (DNB), George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) dan pihak pemain industri.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah mengumumkan penubuhan Penang Centre of Excellence (Penang CoEx) di Wisma Yeap Chor Ee yang terletak di dalam kawasan CD²@George Town untuk dijadikan sebagai sebuah pusat kecemerlangan dalam latihan, penyelidikan dan inovasi yang bertaraf dunia terutamanya dalam pembangunan bandar pintar di Pulau Pinang.

 

Penang CoEx akan menjadi sebuah pusat perkhidmatan peningkatan kemahiran kepada usahawan yang ingin menceburi bidang yang berkaitan dengan teknologi 5G, Internet of Things (IoT) dan Artificial Intelligence (AI) selain berfungsi sebagai sandbox untuk peranti 5G baharu dan ujian kes penggunaan (use cases testing) seperti teknologi Augmented Reality & Virtual Reality (AR/VR), 8K Video Streaming, Smart Interactive Display, dan Mobile Robot.

 

Hadirin yang saya hormati sekalian,

 

Dalam usaha untuk menyediakan prasarana telekomunikasi bertaraf dunia, Kerajaan Negeri dalam perancangan untuk membangunkan satu ekosistem digital yang menyeluruh melalui Pelan Induk Transformasi Digital (DTMP). Pelan ini menggabungkan beberapa sub-pelan yang menggariskan sasaran pendigitalan ke arah masyarakat yang kreatif, berdaya saing dan connected.

 

Bagi memastikan traffic exchange di Pulau Pinang beroperasi dengan kadar latency yang rendah, Kerajaan Negeri melalui Digital Penang juga telah merancang untuk membangunkan Internet Exchange di Pulau Pinang.

 

Pembangunan Internet Exchange dan rangkaian 5G ini kelak akan membolehkan ketersambungan internet yang lebih pantas untuk pengguna komersial dan industri bagi memacu penggunaan aplikasi pendigitalan seperti Internet of Things (IoT), Artificial Intelligent (AI) dan IR4.0.

 

Di kesempatan ini, saya ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak DNB yang menjalinkan kerjasama erat bersama-sama dengan Kerajaan Negeri dalam memastikan pelaksanaan Jalur Lebar 5G di Negeri Pulau Pinang berjalan dengan lancar.

Melalui Pelan Pelaksanaan 5G di Negeri Pulau Pinang (Fasa 1) oleh pihak DNB, sebanyak 151 tapak telah dikenalpasti bagi memancarkan spektrum 5G di kawasan pulau pada tahun 2022.

Daripada 151 tapak tersebut, sebanyak 58 buah struktur telekomunikasi 5G baharu akan didirikan dan baki 93 buah struktur adalah penaiktarafan daripada struktur komunikasi sedia ada.

Bagi perancangan tahun 2023, melalui Pelan Pelaksanaan 5G di Negeri Pulau Pinang (Fasa 2), sebanyak 235 buah struktur komunikasi bertaraf 5G akan didirikan di kawasan Seberang Perai dan tambahan 77 buah struktur komunikasi 5G lagi di kawasan Pulau dengan memberi fokus kepada daerah Timur Laut.

Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak YTL kerana telah menyediakan “Pelan YES 5G for All” yang menjadikan YTL syarikat telekomunikasi pertama di Negeri Pulau Pinang yang melancarkan perkhidmatan 5G dengan kapisiti kelajuan mencecah 120Mbps.

Sesungguhnya, pelan ini adalah pelan perintis dan saya percaya pelan ini akan menjadi rujukan pihak Mobile Network Operators (MNO) yang lain kelak.

Kerajaan Negeri  juga mengalu-alukan kerjasama semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan dan pihak swasta terutamanya syarikat Mobile Network Operators (MNO) yang lain untuk bersama-sama merealisasikan perancangan projek infrastruktur telekomunikasi 5G di negeri ini, selaras dengan usaha Pulau Pinang untuk menjadi negeri pintar menjelang tahun 2030.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Dengan pelancaran 5G di Pulau Pinang pada hari ini, ia meletakkan Pulau Pinang sebagai negeri pertama di wilayah utara yang mempunyai rangkaian spektrum 5G ini.

Adalah menjadi impian dan harapan saya dan kita semua agar Negeri Pulau Pinang terus maju dengan penyediaan infrastruktur komunikasi 5G yang efisyen bagi memastikan semua rakyat negeri ini mendapat capaian internet yang bertaraf Gigabit selaras dengan Visi Penang 2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Semoga dengan kerjasama yang erat di antara semua pihak, Negeri Pulau Pinang akan terus bergerak maju ke hadapan dan membawa kemakmuran kepada rakyat.

Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Rangkaian 5G Di Negeri Pulau Pinang (5G@Penang) dan mengumumkan liputan Yes 5G kini telah tersedia di Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang