MAJLIS SAMBUTAN ULANGTAHUN HARI BANDARAYA KE-3 MAJLIS BANDARAYA SEBERANG PERAI (MBSP)

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN ULANGTAHUN

HARI BANDARAYA KE-3

MAJLIS BANDARAYA SEBERANG PERAI (MBSP)

TAHUN 2022

 

15 SEPTEMBER 2022

MENARA MBSP, PERDA

 

Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

 

Ahli Majlis – Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

 

Yang Berusaha Tuan Haji Baderul Amin bin Abdul Hamid

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

 

Ketua-ketua Jabatan

Pengerusi PUSPANITA, ANULAE, PERMAI, PESUKA, PERMAI

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, marilah kita semua memanjatkan kesyukuran atas kesempatan bersama ini bagi meraikan Majlis Sambutan Ulangtahun Hari Bandaraya Ke-3 pada pagi yang berbahagia ini.

Dalam tidak sedar, tiga (3) tahun sudah berlalu sejak Seberang Perai dinaiktaraf menjadi Bandaraya Seberang Perai.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga kerja Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di bawah kepimpinan Datuk Bandar, Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad yang telah berjaya mengekalkan rekod kecemerlangan terutama dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada penduduk Seberang Perai.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sewaktu dunia dilanda krisis pandemik COVID-19, tanpa disedari penggunaan teknologi digital telah dipacu dengan begitu dinamik sekali. Dan saya gembira, peluang ini telah disambut dengan begitu baik sekali dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

Justeru, saya berharap agar semua pembaharuan dan penambahbaikan yang telah diselaraskan sepanjang tempoh mencabar ini diteruskan demi kesinambungan perkhidmatan dapat dikekalkan.

Pengenalan kepada teknologi dan Internet of Things dalam melaksanakan kerja perlu sentiasa dititikberatkan bagi menjamin perkhidmatan MBSP sentiasa kekal ke hadapan.

Sebagai contoh, MBSP sebelum ini telah memperkenalkan sistem SpeedBiz di mana ia telah memudahkan permohonan lesen perniagaan dengan menggunapakai teknologi tanpa bergantung kepada proses secara manual.

Projek serampang dua mata ini pada asalnya dilancarkan bagi memudahkan pemilik perniagaan semasa kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan turut mendidik rakyat Pulau Pinang supaya celik Teknologi Maklumat (Information Technology).

Oleh yang demikian, saya berharap lebih banyak ‘Business Process Reengineering’ dapat diterokai supaya kita dapat mengambil kesempatan atas kepesatan teknologi pada masa kini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

MBSP telah mengambil alih Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung pada 31 Julai 2022, namun masih ada satu lagi tanggungjawab besar yang perlu dititikberatkan terutamanya dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan selaras dengan persijilan ISO 45001:2018 OHSMS.

Serentak dengan itu, adalah diharapkan Pelan Induk  dan Kesihatan Pekerjaan MBSP yang akan dilancarkan nanti akan menjadi panduan dan rujukan kepada pelaksanaan gerak kerja yang lebih sistematik dan komprehensif bagi menerapkan ’Budaya Keselamatan’ di tempat kerja.

Pelan Induk ini yang mempunyai 6 strategi, 24 program & 57 aktiviti di bawahnya telah dibangunkan selaras dengan Malaysian Occupational Safety and Health Master Plan 2021– 2025 (OSHMP25) di peringkat nasional yang dikeluarkan oleh pihak Department of Occupational Safety and Health (DOSH).

Hadirin yang dihormati sekalian,

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada MBSP atas pencapaian sebagai Malaysia’s National Winner of the One Planet City Challenge (OPCC) bagi tahun 2021/2022. Seberang Perai juga telah disenaraikan sebagai peserta akhir National and Global Finalist of the One Planet City Challenge 2022.

Majlis Anugerah Global One Planet City Challenge (OPCC) ini dikendalikan oleh World Wildlife Fund (WWF) dan pengiktirafan ini diberikan kepada bandar-bandar yang berjaya mencapai target pengurangan pelepasan karbon, mitigasi yang komprehensif dan pengadaptasian kepada langkah-langkah yang diambil untuk menanggani krisis.

Dengan ini, saya berharap MBSP akan terus mengekalkan kecemerlangan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Selain itu, tahniah juga diucapkan kepada 100 orang pegawai dan kakitangan yang telah dipilih untuk menerima Anugerah Pekerja Contoh pada tahun ini. Diharapkan pengiktirafan ini menjadi pemangkin semangat dan motivasi kepada warga kerja MBSP secara keseluruhannya untuk terus komited dan mengekalkan prestasi kecemerlangan pada masa akan datang.

Saya ingin turut mengucapkan tahniah kepada penerima Zon 5S Terbaik yang diwakili oleh Jabatan Dalaman MBSP dan juga kepada kakitangan yang menerima Anugerah Khas Quality Engagement.

Saya yakin pegawai-pegawai ini akan memberikan perkhidmatan yang berkualiti serta membantu melancarkan kerja-kerja dengan lebih sistematik dan teratur selaras dengan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Akhir kata, semoga dengan Sambutan Ulangtahun Hari Bandaraya Ke-3 ini, MBSP akan terus meraikan warga Seberang Perai bagi memberi rasa kekitaan kepada seluruh warga Seberang Perai.

Sekian, terima kasih

mbsp

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang