MAJLIS PECAH TANAH PROJEK PEMBINAAN KOMPLEKS SUKAN POKOK SENA FASA 1
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH PROJEK PEMBINAAN
KOMPLEKS SUKAN POKOK SENA FASA 1
29 OKTOBER 2022
TAMAN SENA PERMAI, TASEK GELUGOR
YB Soon Lip Chee
Exco Belia dan Sukan
Yang Berusaha Encik Zul Kahar bin Khamis
Pengarah Eksekutif, Perbadanan Stadium Dan Kawasan Lapang Pulau Pinang
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada pasukan Perbadanan Stadium Dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP) kerana telah mengatur Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kompleks Sukan Pokok Sena Fasa 1 pada pagi yang berbahagia ini.
Sepertimana yang semua sedia maklum, tanah di sini telahpun diwartakan untuk pembangunan kompleks sukan sejak tahun 1992 lagi. Selari dengan matlamat tersebut, suka untuk diumumkan bahawa satu (1) lagi kawasan lapang yang ada di negeri ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi pembinaan sebuah taman sukan dan rekreasi.
Di atas tanah lot 4377 Mukim 12, Seberang Perai Utara dengan keluasan sebanyak 32,364 meter persegi atau 8 ekar, sebuah Kompleks Sukan akan dibangunkan secara berfasa dan dicadangkan akan siap sepenuhnya dalam tiga (3) fasa.
Fasa pertama telah pun dimulakan dengan kemajuan semasa adalah sebanyak 35 peratus. Antara skop kerja yang terlibat adalah seperti pembersihan di lapangan, levelling tanah bagi pembinaan padang bola sepak bersaiz FIFA, subsoil drainage, hamparan rumput jenis “cowgrass”, pembinaan laluan jogging selebar kurang lebih 2 meter sepanjang 400 meter serta beberapa kerja-kerja naiktaraf yang berkaitan.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berusaha Encik Zulkifli bin Rashid, Tuan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU) yang telah memberikan komitmen yang tinggi dalam melancarkan proses penukaran hak milik tanah kepada Perbadanan Stadium Dan Kawasan Lapang Pulau Pinang.
Tanpa komitmen bersama ini, sudah tentu proses penukaran tersebut akan mengambil masa yang lebih lama dan sudah tentunya melewatkan proses keseluruhan pembangunan projek ini.
Kerajaan Negeri meletakkan keyakinan yang cukup tinggi kepada pengurusan Perbadanan Stadium Dan Kawasan Lapang Pulau Pinang untuk merealisasikan kompleks sukan baharu ini, selari dengan visi pasukan ini untuk “menjadikan kemudahan-kemudahan sukan dan rekreasi di bawah pengurusan PSDKLPP sebagai pilihan utama penggunaan dan penganjuran acara sukan dan rekreasi di peringkat antarabangsa.”
Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi kepada semua yang terlibat dalam menjayakan projek ini. Adalah diharapkan apabila siapnya kompleks ini kelak, ia bakal memberi impak positif kepada pembangunan sosial komuniti setempat, sekaligus memberi lebih banyak pilihan kepada masyarakat setempat untuk melakukan aktiviti riadah dan rekreasi yang sihat bersama keluarga.
Sekian, terima kasih.