MAJLIS PENYERAHAN PENGURUSAN KEPADA PERBADANAN PENGURUSAN RUMAH PANGSA GAT LEBUH NORDIN

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN PENGURUSAN KEPADA PERBADANAN PENGURUSAN RUMAH PANGSA GAT LEBUH NORDIN

 

Sabtu, 29 Oktober 2022

Rumah Pangsa Gat Lebuh Nordin

 

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa

YB Daniel Gooi Zi Sen

ADUN Pengkalan Kota

 

Yang Berusaha Puan ‘Ainul Fadhilah binti Samsudi

Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP)

 

Yang Berusaha Puan Nurul Azian binti Mohd Nordin

Pengarah Jabatan Pesuruhjaya Bangunan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Encik Lee Choon Cheng

Pengerusi Perbadanan Pengurusan Rumah Pangsa Gat Lebuh Nordin

Ahli-ahli Jawatankuasa Perbadanan Pengurusan Rumah Pangsa Gat Lebuh Nordin

Para Penduduk Rumah Pangsa Gat Lebuh Nordin

Ketua-ketua Jabatan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) yang telah mengatur buat kali pertamanya inisiatif Majlis Penyerahan Pengurusan kepada Perbadanan Pengurusan Rumah Pangsa Gat Lebuh Nordin pada pagi ini.

Beberapa dekad lalu, konsep rumah jenis ‘strata’ sangat asing di kalangan rakyat Malaysia. Namun, peredaran masa telah meningkatkan populariti dan permintaan terhadap hartanah strata ini.

Berdasarkan rekod di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang (PTGPP) sehingga 26 Oktober 2022, terdapat sebanyak 1,973 skim pemajuan perumahan berstrata yang melibatkan 270,898 petak bagi seluruh negeri Pulau Pinang.

Sama seperti hartanah-hartanah strata yang lain yang dikendalikan oleh Perbadanan Pengurusan masing-masing, konsep yang sama akan turut diaplikasikan dalam 21 Skim Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Negeri Pulau Pinang yang merupakan skim perumahan berstrata dan masih diuruskan oleh LPNPP.  

Berikutan terikat dengan Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757] dan selaras dengan peruntukan Seksyen 17 dan Seksyen 56 Akta 757, pemaju adalah bertanggungjawab bagi penubuhan Badan Pengurusan Bersama/Perbadanan Pengurusan (Joint Management Body-JMB/Management Corporation-MC) serta bertanggungjawab untuk memanggil Mesyuarat Agung Tahunan Pertama (First Annual General Meeting-FAGM) bagi melantik Ahli Jawatankuasa JMB/MC.

Justeru, pihak LPNPP dengan kerjasama padu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah merencana gerak kerja untuk penubuhan JMB/MC di Skim PAKR berkaitan. Sehingga 17 Oktober 2022, sejumlah enam (6) daripada 21 Skim PAKR telah berjaya ditubuhkan MC iaitu Rumah Pangsa Gat Lebuh Nordin, Rumah Pangsa Batu Lanchang, Rumah Pangsa Mak Mandin Hijau, Rumah Pangsa Taman Tun Dr Awang (TTDA), Rumah Pangsa Jalan Tuna dan Rumah Pangsa Jalan Md Saad.

Bagi enam (6) Skim PAKR ini, Start Up Fund akan disalurkan kepada MC yang telah berjaya ditubuhkan mengikut formula RM100.00 bagi setiap petak unit kediaman dan akan disalurkan ke dalam Akaun Penyelenggaraan MC berkenaan secara one-off.

Penyaluran Start Up Fund kepada JMB/MC ini telah diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bil. 43/2020 yang bersidang pada 9 Disember 2020 dan telah meluluskan Kertas MMK Bil. 953/2020 Cadangan Halatuju Penubuhan dan Latihan Kepada JMB/MC di Skim PAKR Negeri Pulau Pinang.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Rumah Pangsa Gat Lebuh Nordin terletak di atas Lot 44667, Seksyen 11E, Daerah Timur Laut terdiri daripada bangunan satu (1) blok setinggi 17 tingkat ini mengandungi 384 unit kediaman dengan keluasan 392 kaki persegi dan telah disiapkan pada tahun 1969. Skim ini mempunyai sembilan (9) buah unit kedai yang terletak di tingkat bawah. Semakan dengan pihak Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang (PTGPP) mendapati bahawa status pindahmilik telah mencapai ¼ pindahmilik unit syer.

Gerak kerja penubuhan Perbadanan Pengurusan (Management Corporation-MC) Rumah Pangsa Gat Lebuh Nordin ini telah dimulakan dengan Sesi Engagement dengan ADUN Pengkalan Kota, YB Daniel Gooi Zi Sen yang telah dijalankan pada 2 April 2022 bertempat di Dewan Rumah Pangsa Gat Lebuh Nordin.

Sesi ini turut dihadiri oleh wakil persatuan penduduk Rumah Pangsa Gat Lebuh Nordin dan MPKK Pengkalan Weld. Dalam sesi ini, satu taklimat mengenai pengurusan strata telah diberikan oleh LPNPP dan turut dibantu oleh YB ADUN Pengkalan Kota dan Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (Commisioner of Building-COB).

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Saudara YB Daniel Gooi sebagai ADUN Pengkalan Kota, pihak LPNPP dan pihak COB atas usaha proaktif dalam menjayakan penubuhan MC ini.

Penubuhan JMB/MC ini adalah bertujuan untuk memastikan pengurusan, keselamatan, kebersihan, kesejahteraan dan keharmonian penghuni dalam keadaan yang baik. Selain daripada itu, mendaya upaya komuniti di skim tersebut supaya mempunyai rasa kepunyaan, prihatin terhadap harta benda, ruang dan fasiliti yang dikongsi bersama serta rasa tanggungjawab terhadap komuniti dan kawasan tempat tinggal. Skim pembangunan berstrata secara prinsipnya mengamalkan perkongsian kawasan gunasama (common property) seperti lif, koridor, tangga, fasiliti dan sebagainya.

Mesyuarat Agung Tahunan Pertama (First Annual General Meeting-FAGM) telah berlangsung pada 30 April 2022 dan telah berjaya melantik lima (5) orang Ahli Jawatankuasa Perbadanan Pengurusan (Management Corporation-MC) Rumah Pangsa Gat Lebuh Nordin. Latihan mengenai pengurusan strata telah diberikan kepada AJK MC Rumah Pangsa Gat Lebuh Nordin pada 23 Julai 2022 oleh Pengarah Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (Commisioner of Building-COB) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Seterusnya, Sijil Perakuan Penubuhan MC Rumah Pangsa Gat Lebuh Nordin telah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pianng (PTGPP) pada 20 September 2022. Syabas dan tahniah saya ucapkan!

Pada hari yang bersejarah ini, kita sama-sama hadir untuk menyaksikan Majlis Penyerahan Pengurusan kepada Perbadanan Pengurusan (Management Corporation-MC) Rumah Pangsa Gat Lebuh Nordin.

Sebagai rekod ini adalah kali yang pertama majlis seumpama ini berlangsung di mana Skim Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Negeri Pulau Pinang yang berusia lebih 53 tahun telah berjaya ditubuhkan MC dan diserahkan pengurusan kepada Jawatankuasa pengurusan MC selaras dengan Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015. 

Sehubungan itu, bermula daripada tempoh pengurusan diserahkan kepada Perbadanan Pengurusan (Management Corporation-MC) Rumah Pangsa Gat Lebuh Nordin, pihak MC akan menguruskan sendiri segala urusan berkaitan pengurusan kutipan penyelenggaraan, kebersihan, keselamatan, kerja-kerja penyelenggaraan dan sebagainya.

Majlis pada hari ini juga akan melibatkan penyerahan kunci-kunci pejabat pentadbiran, harta bersama (common property), rekod berhubung penyenggaraan dan pengurusan, salinan perjanjian, senarai petak, pelan bangunan, salinan polisi insurans dan lain-lain dokumen berkaitan.

Oleh itu, perjanjian sewaan, kontrak penyelenggaraan lif, kontrak kutipan hasil, kontrak pembersihan dan insurans kebakaran dengan LPNPP akan ditamatkan berakhir pada 31 Disember 2022. Bermula 1 Januari 2023, pengurusan akan diambilalih sepenuhnya oleh MC Rumah Pangsa Gat Lebuh Nordin.

Kerajaan Negeri meletakkan keyakinan yang cukup tinggi kepada kepimpinan Perbadanan Pengurusan (Management Corporation-MC) Rumah Pangsa Gat Lebuh Nordin yang telah terpilih ini untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaiknya sekaligus memberikan keyakinan dan keselesaan kepada para penghuni di sini.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ini merakamkan ucapan terima kasih sekali lagi kepada pihak Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran penubuhan Perbadanan Pengurusan (Management Corporation-MC) Rumah Pangsa Gat Lebuh Nordin. Sesunggahnya ia bukanlah sesuatu perkara yang mudah tanpa kerjasama dan engagement kesemua pihak yang terlibat demi rakyat Negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang