MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI PERANCANGAN BANDAR SEDUNIA (HPBS) TAHUN 2022 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI PERANCANGAN BANDAR SEDUNIA (HPBS) TAHUN 2022

PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

 

1 NOVEMBER 2022 (SELASA)

KOMTAR WALK

______________________________________

 

YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

 

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa

Yang Berusaha TPr Haji Hassan bin Yaakob

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) PLANMalaysia

Yang Berusaha Puan TPr Rozita binti Hamit

Pengarah PLANMalaysia@Pulau Pinang

Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, marilah kita semua memanjatkan rasa syukur atas kesempatan yang diberikan untuk bersama-sama menjayakan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2022 Peringkat Negeri Pulau Pinang pada pagi yang berbahagia ini.

Tahniah dan syabas kepada jawatankuasa pengurusan PLANMalaysia@Pulau Pinang yang begitu komited dalam memastikan kelancaran acara ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sememangnya hari ini merupakan hari istimewa untuk keluarga besar di bawah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa atau kini dikenali sebagai PLANMalaysia.

Meskipun diadakan lebih awal sedikit dari hari sebenar yang lazimnya diraikan pada 8 November setiap tahun, namun saya percaya platform ini bukan sekadar untuk meraikan hari anda, tetapi ia juga sangat bermanfaat dalam memberi informasi dan hebahan kepada masyarakat berkaitan peranan profesion Perancang Bandar dan Desa dalam memacu, merancang serta mengawal pembangunan yang mampan di Malaysia secara amnya dan di Pulau Pinang secara khususnya.

Seiring dengan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, profesion perancangan bandar ini amat kritikal bagi memastikan pelaksanaan pembangunan negeri bersifat inklusif, holistik dan strategik.  

Justeru, Kerajaan Negeri memerlukan kerjasama serta penglibatan dan penyertaan menyeluruh daripada anda semua baik dalam sektor awam mahupun swasta untuk merealisasikan hasrat dan impian bersama ini.

Dengan tema sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) di peringkat negeri iaitu “Penang : Liveable and Inspiring”, setiap daripada anda memainkan peranan yang cukup penting dalam mewujudkan pembangunan bandar mampan yang memenuhi aspirasi rakyat dan negeri ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Di Pulau Pinang, kita bersyukur walaupun melalui suatu tempoh yang sukar berikutan pandemik COVID-19, namun kita masih mampu mengekalkan rekod menjadi destinasi pelaburan terunggul dalam negara.

Berdasarkan kepada senario semasa, jelas bahawa usaha-usaha untuk menarik pelaburan sedang giat dijalankan oleh semua pihak khususnya agensi-agensi di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi mengekalkan reputasi yang baik ini di samping mengukuhkan keyakinan pelabur untuk menanam modal serta menjalankan perniagaan di negeri ini.

Justeru, Kerajaan Negeri akan terus mengukuhkan daya saing sektor-sektor yang terlibat dalam merealisasikan hasrat ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Suka untuk saya kongsikan antara kejayaan yang telah dicapai oleh Pulau Pinang sejak tahun 2008 antaranya;

i.     Pulau Pinang merupakan negeri yang pertama melaksanakan kempen tanpa beg plastik di Malaysia dan Bandaraya George Town telah mendapat pengiktirafan The 2nd ASEAN Clean Tourist City Standard Award selama tujuh (7) tahun berturut-turut;

ii.     Pengiktirafan Bukit Bendera sebagai UNESCO Man and Biosphere Reserve (MAB) – yang ketiga di Malaysia pada Julai 2021;

iii.    Pencapaian jumlah pelaburan tertinggi di Malaysia pada tahun 2021 dengan nilai sebanyak RM76 bilion;

iv.    Tidak lupa juga kepada pihak PLANMalaysia@Pulau Pinang yang telah memperolehi GeoInnovation Awards pada tahun 2022.

Kesemua pencapaian yang diperolehi ini tidak akan datang dengan sendirinya tanpa usaha dan komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada anda semua yang menjadi tulang belakang dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.  

Oleh yang demikian, adalah amat penting untuk kita memastikan aspek perancangan pembangunan dari peringkat awal berpandukan rancangan pemajuan sedia ada dibuat dengan penuh integriti, cekap, akauntabiliti dan telus agar pelaksanaan perancangan yang dibuat dapat menghasilkan persekitaran yang harmoni, berkualiti serta mampan.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua perancang bandar sama ada yang bertugas di peringkat Persekutuan, Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), NGO, mahupun perunding-perunding swasta; baik yang masih berkhidmat mahu pun yang sudah bersara.

Teruskan komitmen anda, bersama-sama kita memajukan negeri yang tercinta ini.

Dengan kata-kata itu, saya dengan ini merasmikan Majlis Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022.

Sekian, terima kasih.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang