MAJLIS RUMAH TERBUKA DEEPAVALI PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS RUMAH TERBUKA DEEPAVALI PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022
13 NOVEMBER 2022 | AHAD
VTECH, BATU KAWAN
___________________________________
Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, dan
Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd Nor
YB Dato’ Law Choo Kiang
Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, dan
Yang Berbahagia Datin Teoh Hooi Tuang
YB Dato’ Haji Ir. Ahmad Zakiyuddin bin Abd. Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang, dan
Yang Berbahagia Datin Hajah Mohaini binti Mohd Saffar
YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang, dan
Yang Berbahagia Puan Kalaiarasi a/p Kolandhavelu
YB Puan Zabida binti Safar
Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dan
Yang Berbahagia Tuan Shafee bin Yusoff
YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan isteri
YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
Konsul-Konsul Jeneral & Konsul-Konsul Kehormat
Yang Berbahagia Tan Sri/ Dato’ Seri/ Dato’-Dato’
Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan
Rakan-Rakan Media
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.
Salam Sejahtera.
Pertamanya, marilah kita semua memanjatkan rasa syukur atas peluang berkumpul bagi meraikan Majlis Rumah Terbuka Perayaan Deepavali Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 pada malam yang berbahagia ini.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengalu-alukan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd. Nor serta para tetamu dan dif jemputan yang turut serta dalam majlis ini. Sesungguhnya kehadiran ini amat bermakna sebagai cerminan untuk sebuah kekuatan perpaduan serta keharmonian negeri yang tercinta ini.
Tahniah dan syabas kepada jawatankuasa induk yang terdiri daripada Pejabat Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) dan semua pihak yang terlibat atas kolaborasi serta komitmen bersama dalam menjayakan majlis yang sederhana tetapi cukup bermakna ini.
Tuan Yang Terutama Tun, Yang Amat Berbahagia Toh Puan dan hadirin yang dihormati sekalian,
Sebagaimana sinonimnya perayaan Deepavali yang diibaratkan sebagai ‘Pesta Cahaya’, begitu juga kemeriahan sambutan ini yang penuh warna-warni dan kegembiraan.
Setelah dua (2) tahun meraikan perayaan dalam keadaan sederhana dan normal baharu dengan pelbagai sekatan berikutan pandemik COVID-19, inilah saat yang dinanti-nantikan oleh semua, khususnya rakan-rakan kita yang beragama Hindu dan Sikh.
Saya percaya kegembiraan ini turut dikongsi dan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum serta agama, sekaligus menyumbang kepada keutuhan dan keamanan yang dikecapi kini.
Setiap daripada kita mempunyai peranan besar untuk memanfaatkan peluang yang ada untuk meraikan perbezaan ini dengan sebaiknya dan mengukuhkan permahaman dan rasa hormat antara satu sama lain.
Tuan Yang Terutama Tun, Yang Amat Berbahagia Toh Puan dan hadirin yang dihormati sekalian,
Mendepani impak pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk terus mewujudkan pelbagai inisiatif dan insentif dalam memperkasakan komuniti India di negeri ini. Pelbagai program dan projek khas dirangka bagi memastikan komuniti India di negeri ini bergerak seiringan dalam merealisasikan serta mempercepatkan pencapaian Visi Penang2030 iaitu sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Sesungguhnya, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri untuk menjayakan agenda perumahan rakyat yang mampu memberi nilai tambah lebih baik kepada masyarakat Pulau Pinang terutamanya dari segi peningkatan status ekonomi dan kualiti hidup rakyat secara keseluruhan. Ini termasuk tekad Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyediakan kediaman yang kondusif kepada penduduk Ladang Kalidonia setelah lebih 30 tahun mereka memperjuangkan sebuah kehidupan yang kondusif dan berkualiti khasnya bersama-sama keluarga tersayang. Lazimnya, ia merupakan ‘hadiah’ yang paling bermakna kepada penduduk Ladang Kalidonia bersempena sambutan Deepavali tahun ini.
Sebagaimana ditekankan, Kerajaan Negeri memandang serius akan aspek pengukuhan dan pemerkasaan modal insan. Bertitik tolak dari itu, saban tahun peruntukan khas disalurkan kepada sekolah-sekolah yang memerlukan kerana kita percaya bahawa suasana pembelajaran serta pengajaran lebih selesa bakal membantu para pelajar mencapai potensi pembelajaran yang lebih baik.
Selaras itu, Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang telah menyalurkan bantuan pendidikan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi . Malah, sejak tahun 2019, Kerajaan Negeri turut meningkatkan peruntukan dana pendidikan membabitkan sekolah-sekolah Tamil serta Punjabi di negeri ini.
Dengan suntikan semangat ❤️PENANG, kita berharap lembaran baharu ini dapat membantu menyemarakkan lagi semangat pemulihan rakyat untuk sama-sama bangkit dan bertindak menerusi pendekatan menyeluruh masyarakat.
Akhir kata, saya sekali lagi ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022.
Semoga dengan penganjuran acara pada malam ini dapat menyimpulkan ikatan tali perpaduan antara kita semua. Semoga kita berjumpa lagi di masa-masa akan datang.
Sekian, terima kasih.