MAJLIS PERASMIAN PROGRAM KHATAN PERDANA KADUN JAWI 2022

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROGRAM KHATAN PERDANA

KADUN JAWI 2022

 

10 Disember 2022 ( Sabtu )

Dewan Serbaguna Jawi, Sungai Jawi

 

 

YB Fadhlina binti Sidek

Ahli Parlimen Nibong Tebal merangkap Menteri Pendidikan Malaysia

 

YB Jason H’ng Mooi Lye

ADUN Jawi

Yang Berusaha Puan Marlia binti Mohd Belia

Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS)

Yang Berusaha Superintendan Lee Chong Chern

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS)

Yang Berusaha Puan Noor Asfariza binti Mohamad Abdul Kadir

Ketua Balai BBP Nibong Tebal

Yang Berusaha Ustaz Mohd Syabani bin Haji Awang

Imam Utama Masjid Daerah Seberang Perai Selatan

Ahli-ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Para Pemimpin Masyarakat – MPKK, JPWK & JBPP KADUN Jawi

Para Ibu Bapa dan Penjaga

Para Peserta Program Khatan Perdana KADUN Jawi

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ADUN Jawi, YB Jason H’ng Mooi Lye dan pasukannya yang telah mengaturkan Program Khatan Perdana pada pagi yang berbahagia ini.

Saya gembira untuk hadir, bersama dengan semua hadirin ke acara yang paling popular dan cukup sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu Islam terutamanya, lagi-lagi ketika tibanya musim cuti sekolah.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Seperti yang dimaklumkan oleh YB Jason, ini merupakan penganjuran kali ketiga oleh Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi, dengan objektif utama masih menyasarkan penyertaan daripada keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan.

Ada lebih kurang 100 peserta yang berumur dari lima (5) hingga 12 tahun yang telah berdaftar, dengan bayaran hanya RM30 berbanding caj perkhidmatan sebenar di luar mungkin ada yang mencecah dari RM100 ke RM250.

Tahniah dan syabas sekali lagi kepada YB Jason dan pasukan serta rakan-rakan di jabatan dan agensi lain yang turut sama menjalinkan kerjasama yang baik dalam memastikan kelancaran program ini.

Kita dapat saksikan pelbagai gelagat para peserta khatan yang begitu riuh, semangat dan teruja sekali dengan acara yang diatur terutama acara simbolik mandi beramai-ramai dengan semburan menggunakan pili dari jentera Pasukan Bomba Nibong Tebal dan Bomba Sukarela Sungai Jawi.

Semoga ia dapat memberikan pengalaman manis sekaligus mengurangkan rasa debaran dan gemuruh anak-anak dan golongan ibu bapa.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Jason H’ng Mooi Lye dan semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Terima kasih juga kepada para ibu bapa dan masyarakat tempatan yang turut serta memeriahkan program ini.

Sesungguhnya penglibatan dan penyertaan anda semua terhadap program-program yang dianjurkan adalah sangat penting sebagai terjemahan kepada kesepakatan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Melihat pada sambutan yang cukup baik dan menggalakkan, saya pasti YB Jason dan pasukan boleh mempertimbangkan acara tradisi ini untuk dijadikan sebagai acara tahunan pada masa-masa akan datang.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Program Khatan Perdana KADUN Jawi Tahun 2022 ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang