PROGRAM WANITA PEMANDU KEBUDAYAAN
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA PROGRAM WANITA
PEMANDU KEBUDAYAAN
10 DISEMBER 2022
PUSAT BELIA, LEBUH ACHEH
YB Lim Hui Ying
Ahli Parlimen Tanjong
YB Lim Siew Khim
ADUN Sungai Pinang
Yang Berbahagia Datin Yeoh Phaik Suan
Pengerusi JPWK KADUN Padang Kota
Jawatankuasa Program Wanita Pemandu Kebudayaan
Para Jemputan
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Padang Kota atas inisiatif penganjuran Program Wanita Pemandu Kebudayaan pada petang yang berbahagia ini.
Terima kasih kepada semua yang hadir dengan menggayakan pelbagai busana tradisional berwarna-warni, mengikut tema yang ditetapkan.
Saya dimaklumkan beberapa pertandingan telah dianjurkan bagi memeriahkan program hari ini seperti pertandingan memasak dan tarian, dan saya gembira dengan penglibatan dan penyertaan daripada anda semua bagi menjayakan program ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sememangnya Pulau Pinang ini adalah negeri yang unik kerana negeri ini mempunyai kepelbagaian etnik seperti Melayu, Cina, India, Punjabi, Jawi-Peranakan, Baba-Nyonya, Serani, Siam dan pelbagai lagi yang telah berasimilasi, sekaligus membentuk kerencaman kebudayaan yang unik.
Dalam usaha menyanjung pemartabatan Warisan Kebudayaan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang (PETACE) telah memperkenalkan Anugerah Cemerlang Warisan Seratus Tahun Pulau Pinang pada bulan Julai yang lepas di mana anugerah tersebut diperkenalkan bagi menyanjungi usaha pelbagai pihak termasuk persatuan, organisasi, perniagaan, institusi serta entiti yang telah lama bertapak dan masih aktif dalam memelihara dan memulihara warisan di negeri ini.
Ini adalah antara usaha berterusan di peringkat Kerajaan Negeri bagi kita memastikan sejarah dan kebudayaan negeri ini terus terpelihara.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Program Wanita Pemandu Kebudayaan sebenarnya adalah salah satu program yang menjadi pemangkin kepada kelestarian kebudayaan di negeri ini.
Maka, wajarlah program sebegini diperbanyakkan lagi bagi terus mendedahkan kepada masyarakat di luar sana akan kemampuan kita semua untuk mempertahankan dan memperkukuhkan pemahaman ini, sekaligus membangkitkan rasa hormat dan harmoni di kalangan masyarakat.
Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada JPWK Padang Kota atas penganjuran Program Wanita Pemandu Kebudayaan Tahun 2022.
Semoga penganjuran program pada hari ini dapat mencapai objektif dan diteruskan pada masa-masa akan datang.
Sekian, terima kasih.