MAJLIS PERASMIAN PENUTUP KARNIVAL USAHAWAN DAERAH SEBERANG PERAI SELATAN

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PENUTUP

KARNIVAL USAHAWAN DAERAH SEBERANG PERAI SELATAN

 

11 Disember 2022 (4.00 pm)

Jawi Arena, Nibong Tebal

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertamanya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak urusetia atas jemputan sempena Majlis Penutup Karnival Usahawan Daerah Seberang Selatan pada petang yang berbahagia ini.

Saya kira penganjuran karnival sebegini merupakan strategi yang sangat baik, bersesuaian dan bertepatan dengan slogan/tagline “Keusahawanan Satu Budaya” yang telah dilancarkan di mana program keusahawanan telah bermula sejak Julai 2022 dan akan diteruskan sehingga Jun 2023.

Saya difahamkan karnival ini yang telah berlangsung sejak semalam telah mendapat sambutan yang cukup baik daripada masyarakat tempatan di sini, dengan objektif utama adalah untuk mempromosikan Skim Pinjaman Harapan (SPH) yang menawarkan pinjaman perniagaan kepada usahawan di bawah inisiatif MMK Pembangunan Usahawan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

SPH kini sudahpun memasuki siri kedua. Pada siri pertama, SPH telah memanfaatkan seramai 3,818 pemohon dengan jumlah peruntukan sebanyak RM21,952,630.40.

Untuk SPH 2.0 pula, meskipun baru sahaja dilancarkan pada 28 Oktober 2022 yang lalu, kita sudah pun mencatat bilangan penerima SPH2.0 seramai 45 orang dengan menelan peruntukan sebanyak RM790,000. Pakej bantuan SPH 2.0 ini telah bermula daripada RM5,000 sehingga RM50,000 melalui dua (2) skim pinjaman berbeza berdasarkan kelayakan perniagaan pemohon. Saya difahamkan majoriti penerima skim ini merupakan mereka yang berkecimpung dalam  food and beverage (F&B).

 

Justeru, saya berharap para usahawan sedia ada dan bakal usahawan dapat memanfaatkan kesempatan ini dengan sebaiknya, sekaligus menjadi batu loncatan untuk membina keupayaan dan kemajuan perniagaan masing-masing.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Semasa Pembentangan Bajet 2023 di Sidang Dewan Undangan Negeri pada 21 November 2022 lalu, saya telah menekankan bahawa Kerajaan Negeri akan terus mengemudi negeri melalui perancangan serta pelaksanaan yang rapi untuk mencapai Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Aspek-asepk pemulihan ekonomi akan terus menjadi agenda terpenting agar Pulau Pinang dapat bangkit semula dan terus kekal menjadi negeri berdaya pasca pandemik COVID-19 ini.

Bagi tahun 2023, peruntukan yang disediakan kepada Jawatankuasa MMK Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan adalah sebanyak RM1.66 juta.

Selain itu, Kerajaan Negeri melalui MMK Luar Bandar juga meneruskan Bantuan Peralatan Ekonomi di bawah program Agenda Ekonomi Saksama (AES) dengan membekalkan barangan dan kelengkapan peralatan perniagaan seperti peniaga-peniaga kecil. Antara barangan yang dibekalkan adalah mesin pengadun, peti sejuk beku, dapur dua tungku dan sebagainya.

Inilah antara komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk mewujudkan kerjasama strategik dan jalinan dua hala yang lebih positif, sekaligus melahirkan usahawan yang lebih kompetitif dan peneraju ekonomi pada masa akan datang.

 

Akhir kata, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua telah menjayakan program ini. Terima kasih sekali lagi kepada penganjur yang mengadakan pelbagai program yang melibatkan penyertaan dan penglibatan masyarakat  daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang