MAJLIS PERASMIAN BUTTERWORTH FRINGE FESTIVAL 2022
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
BUTTERWORTH FRINGE FESTIVAL 2022
11 DISEMBER 2022 (AHAD)
JALAN JETI LAMA, BUTTERWORTH
Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Arshad
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Ahli Majlis-Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Yang Berusaha Tuan Haji Baderul Amin bin Abdul Hamid
Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Para Jemputan
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada petang ini bagi bersama-sama memeriahkan Majlis Perasmian Butterworth Fringe Festival 2022 (BFF 2022) pada petang yang berbahagia ini.
Syabas dan tahniah kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan semua yang terlibat atas komitmen dan kerja keras secara bersama bagi memastikan penganjuran BFF kali ke-6 ini berjalan dengan jayanya.
Inilah pentas untuk kita menghimpun dan mengangkat para pencinta seni dan budaya untuk berapresiasi secara kreatif, di samping memberi peluang kepada para pengunjung untuk berinteraksi dan melihat lebih dekat karya seni yang luar biasa dari seluruh dunia.
Terdapat lebih kurang 19 pengisian acara untuk dipersembahkan secara percuma, dan saya pasti pelbagai acara dari artis tempatan dan dari negara-negara ASEAN ini membawa nilai estatika yang tinggi untuk dihayati.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Seni adalah pra syarat sesebuah bandaraya antarabangsa dan usaha BFF ini diharapkan sedikit sebanyak dapat memenuhi aspirasi untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandaraya bertaraf antarabangsa dan pintar bukan sahaja di kawasan pulau tetapi juga di Seberang Perai, seiring dengan pelaksanaan Visi Penang2030.
Selain usaha berterusan untuk menjadikan Bandar Butterworth sebagai salah satu hub budaya, kreatif dan inovatif, pentas BFF ini adalah platform yang amat baik untuk mempromosikan budaya tempatan melalui persembahan budaya antarabangsa yang membawa konsep Street Art Festival.
Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), TLM Event Sdn Bhd sebagai event manager serta semua yang terlibat dalam menjayakan BFF Tahun 2022 ini.
Semoga Butterworth Fringe Festival (BFF) 2022 ini dapat dijadikan sebagai salah satu produk yang mempunyai multiplier effect kepada kawasan Butterworth khasnya serta memacu dan menyokong kemajuan industri pelancongan secara keseluruhannya.
Dengan itu, saya merasmikan Majlis Perasmian Butterworth Fringe Festival 2022.
Sekian, terima kasih.