MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN SEKOLAH AGAMA RAKYAT DAN SUMBANGAN PARA HUFFAZ KALI KE-15 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022
UCAPAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN SEKOLAH AGAMA RAKYAT
DAN SUMBANGAN PARA HUFFAZ KALI KE-15
PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022
23 DISEMBER 2022
HOTEL EASTIN
YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang
YB Dato’ Mohd Sayuthi bin Bakar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Yang Berusaha Tuan Zulkifli bin Rashid
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEIPP)
Yang Berbahagia Dato’ Haji Roslan bin Ahmad
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP)
Ketua-ketua/ Wakil Jabatan Negeri dan Persekutuan
Para Pengetua/ Mudir/ Guru Besar Sekolah-Sekolah Islam Pulau Pinang
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEIPP) yang telah mengaturkan Majlis Penyampaian Bantuan Sekolah Agama Rakyat dan Sumbangan Para Huffaz Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 pada pagi yang berbahagia ini.
Saya bersyukur dapat bersama kembali dengan tuan-tuan dan puan-puan pada acara tahunan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri ini.
Sepertimana yang semua sedia maklum, bidang pendidikan adalah di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan, namun di peringkat Kerajaan Negeri, kita masih melaksanakan apa yang terdaya dan sentiasa bersedia untuk sebuah jalinan kerjasama yang baik dalam memastikan aspek penting ini sentiasa diberikan keutamaan.
Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik tanpa meminggirkan mana-mana golongan atau kelompok kerana untuk kita, semua lapisan rakyat negeri ini adalah penting dan memainkan peranan yang tersendiri dalam menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negeri Pulau Pinang secara keseluruhannya.
Justeru, komitmen dan langkah proaktif yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam memartabatkan bidang pendidikan termasuklah institusi pendidikan Islam adalah sangat bertepatan, selaras dengan hasrat dan impian Visi Penang2030 untuk membina masa depan Pulau Pinang yang lebih baik.
Dan untuk itu, Kerajaan Negeri pada hari ini dengan sukacitanya meneruskan tradisi pemberian inisiatif Bantuan Sekolah Agama Rakyat dan Sumbangan Para Huffaz yang telah disalurkan saban tahun ini sejak kita mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2008.
Sebanyak RM3,170,138.00 telah diperuntukkan kepada lapan (8) kategori sekolah agama di negeri ini. Pecahan peruntukan adalah seperti berikut :
Bil |
Perkara |
Bil. Sekolah |
Jumlah (RM) |
1. |
Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) |
18 |
540,250.00 |
2. |
Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) |
11 |
110,000.00 |
3. |
Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) |
16 |
603,980.00 |
4. |
Maahad Tahfiz |
49 |
216,820.00 |
5. |
KAFA Integrasi (SAR) |
104 |
882,000.00 |
6. |
Tadika Islam (TADIS) |
17 |
63,800.00 |
7. |
Pondok |
14 |
160,000.00 |
8. |
KAFA Tulen |
104 |
593,288.00 |
Adalah diharapkan agar pemberian sumbangan ini dapat membantu pihak sekolah untuk penyediaan keseluruhan ekosistem yang lebih baik sekaligus memangkin lebih banyak kecemerlangan pada masa akan datang.
Pada tahun 2023, sebanyak RM3,500,138.00 telah diperuntukkan untuk tujuan yang sama dan Kerajaan Negeri berharap proses ini dapat dipercepatkan pada tahun hadapan.
Selain bantuan kepada insititusi pendidikan ini, Kerajaan Negeri pada hari ini juga akan meneruskan pemberian sumbangan kepada para huffaz, dengan melibatkan 605 orang penerima sedia ada dan baharu, masing-masing akan menerima RM500.
Semoga dengan sedikit insentif ini ia membangkitkan semangat para huffaz yang ada untuk mengekalkan kepakaran dan kecemerlangan yang cukup unik ini. Kerajaan Negeri amat kagum dengna pencapaian dan kebolehan ini. Sesungguhnya anda semua adalah permata yang sangat bernilai.
Saya telah dimaklumkan bahawa pihak Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) sedang melaksanakan Program Iltizam Huffaz iaitu kelas persediaan khas untuk pelajar tahfiz bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Oleh itu, Kerajaan Negeri mencadangkan agar para huffaz dapat meneroka potensi ini, yang dijalankan secara percuma oleh YIPP dengan bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) sebagai salah satu nilai tambah positif untuk kemajuan diri dan institusi pendidikan Islam secara keseluruhannya.
Kerajaan Negeri melalui semua agensi berkaitan bersedia untuk membuka ruang perbincangan bagi penambahbaikan sistem pengurusan pendidikan Islam sedia ada. Oleh itu, Kerajaan Negeri ingin menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk berganding bahu dengan Kerajaan Negeri untuk membentuk satu jaringan kerjasama pintar atau “smart partnership” ke arah memperkasakan institusi ini sejajar dengan kehendak dan keperluan semasa .
Akhir kata sekali lagi saya ucapkan ribuan terima kasih kepada YB TKM 1 Pulau Pinang, JHEIPP dan semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga kita dapat berjumpa lagi pada program-program yang akan datang.
Sekian, terima kasih.