SIDANG MEDIA KARNIVAL LOVEPENANG
UCAPAN OLEH YANG AMAT BERHORMAT
TUAN CHOW KON YEOW
KETUA MENTERI PULAU PINANG
BERSEMPENA
SIDANG MEDIA KARNIVAL LOVEPENANG
28 DISEMBER 2022 | 11 PAGI | BILIK GERAKAN, TINGKAT 28, KOMTAR
_______________________________________
Encik Ooi Chok Yan
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Barisan media dan hadirin sekalian,
Selamat pagi dan Salam LovePENANG.
Sekalung penghargaan kepada semua yang sudi meluangkan masa menghadiri sidang media pada pagi ini, yang mana saya amat berbesar hati ingin berkongsi program yang dibawa khas kepada seluruh rakyat negeri ini bersempena kempen LovePENANG yang kita laksanakan sejak Jun lalu.
Hasil gabungan elemen-elemen keunikan negeri Pulau Pinang. Karnival LovePENANG yang julung kali diadakan merupakan gabungan keserasian festival makanan tempatan, warisan serta budaya dan juga hiburan untuk pelbagai lapisan masyarakat serta seisi keluarga. Ia bakal menemui rakyat Pulau Pinang khasnya pada 7 Januari 2023, hari Sabtu di Padang Kota Lama.
Kepelbagaian aktiviti menarik disediakan bermula pada jam 4 petang, disusuli dengan persembahan artis-artis hebat persada seni sama ada tempatan mahupun di pentas antarabangsa sehingga waktu kemuncak pada jam 11 malam.
Saudara dan saudari sekalian,
Ketahanan rakyat Pulau Pinang yang berupaya bangkit daripada pandemik COVID-19 menyuntik inspirasi Kerajaan Negeri berhubung penganjuran ini. Kita ingin sebarkan semangat perpaduan tanpa mengira latar belakang etnik, agama mahupun kecenderungan politik dalam bersama-sama meraikan kejayaan ini dengan semangat kekitaan.
Seruan LovePENANG telah berjaya menyatukan kita dan dengan keazaman serta semangat perpaduan yang termeterai, kita berjaya menempuh cabaran getir tersebut. Kini, kita bakal melangkah ke tahun baharu 2023 dengan lebih teguh serta utuh sebagai sebuah pasukan. Inilah masanya untuk kita sama-sama meraikannya demi merealisasikan gagasan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Karnival LovePENANG bukan hanya bakal menyajikan keenakan serta keunikan makanan negeri ini, malah percantuman kepelbagaian tradisi, budaya serta warisan juga bakal mewarnai penganjuran Karnival LovePENANG yang sesuai untuk seisi keluarga secara keseluruhan.
Barisan artis seperti Datuk David Arumugam, Acidic Bunch, Jaclyn Victor, Faizal Tahir, PongPong, Santesh dan Shawn Lee bakal menggegarkan pentas yang disediakan. Malah, kepada peminat warisan seni, persembahan tarian kontemporari daripada Euphoria Penang dan Wak Long Music & Art Centre juga bakal mewarnai persembahan untuk tatapan bersama selain gerai-gerai pameran agensi kerajaan yang turut mengambil bahagian.
Sebagai perkongsian bersama, sejak kempen LovePENANG dilancarkan, beberapa aktiviti serta inisiatif telah dilaksanakan iaitu bermula daripada siri jelajah sehinggalah pelancaran laman web dan media sosial LovePENANG. Tidak terkecuali adalah beberapa pertandingan menarik dengan penyediaan hadiah lumayan dan juga program-program penghargaan komuniti iaitu ‘Community Award’ yang bertujuan mengembalikan segala kebaikan kepada komuniti atau ‘give back to the community’. Kita ingin rakyat Pulau Pinang mengetahui bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan sebuah kerajaan yang senantiasa cakna rakyat, cakna kebajikan, menghargai dan mendengar suara rakyatnya.
Dengan ini, saya menjemput seluruh rakyat Pulau Pinang untuk sama-sama memeriahkan Karnival LovePENANG yang dibawa khas kepada anda semua. Kita sayang Pulau Pinang dan kita LovePENANG!
Sekian, terima kasih.